Globalisasi dan 'Global Culture'-Apa reaksi kita?

Hari ini, boleh dikatakan segenap masyarakat dunia sedang mengalami suatu transformasi yang amat ketara. Ia bagaikan sebuah reformasi budaya sedunia yang mempengaruhi segenap lapisan masyarakat. Perubahan dalam kehendak dan pemikiran masyarakat amat jelas. Kita hidup dalam arus 'globalisasi' yang begitu banyak digembar-gemburkan oleh dunia barat. Pengertian globalisasi yang pada asalnya diarahkan kepada keterbukaan dalam aktiviti ekonomi sedunia kini telah mula merangkumi keterbukaan dan perubahan dalam aspek politik, sosial dan pemikiran di negara-negara seluruh dunia. Perubahan-perubahan mendadak dalam cara hidup segenap lapisan masyarakat dunia dikatakan sebagai merupakan natijah dari globalisasi. Mahu tidak mahu, tidak kira samada kesan yang timbul akibat dari perubahan ini adalah positif atau negatif, kita secara langsung dan tidak langsung terdedah kepada kesan-kesan globalisasi. Hari ini, walau dimana kita berada, kita tidak akan dapat mengelakkan diri dari bahang globalisasi yang datang dari pergerakan bebas manusia, produk, pemikiran dan cara hidup dari satu tempat kesatu tempat yang lain.

Bagi golongan kapitalis, pengaliran bebas akibat dari globalisasi ini merupakan satu kelebihan. Produk mereka tersebar luas keseluruh dunia. Keuntungan berlipat kali ganda berjaya mereka perolehi berbanding dengan keuntungan penjualan dan konsumsi produk mereka didalam negeri. Bagi mereka, kesan positif mahupun negatif dari pengaliran ini adalah tidak relevan. Pokok pangkalnya adalah keuntungan. Asalkan duit masuk ke poket, semua kesan darinya boleh dijustifikasikan. Globalisasi dijustifikasikan sebagai satu-satunya cara agar setiap negara didunia ini dapat berkongsi kekayaan. Negara-negara seluruh dunia dikatakan akan dapat bersaing dengan lebih sihat dalam senario ekonomi dunia dengan terealisasinya konsep globalisasi ini. Banyak negara ketiga dunia melihat konsep ini sebagai satu peluang bagi mereka untuk bersaing dan memasarkan produk mereka dengan lebih efektif. Mereka terpesona dengan konsep ini.

Namun begitu, realiti bukanlah seindah yang disangkakan. Pengaliran idea, produk dan cara hidup yang disangka akan membolehkan persaingan yang sihat ini hanyalah melibatkan pengaliran satu hala, dari dunia maju, khususnya Amerika ke negara-negara dunia ketiga. Perubahan budaya yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara dunia ketiga lebih sesuai dilabel sebagai serangan budaya yang cuma akhirnya membentuk semacam 'cultural cloning' dengan penghasilan budaya McDonalds, Coca Cola dan Mariah Carey. Ada ahli-ahli sains sosial and ahli antropologi yang berpendapat bahawa pada suatu hari nanti, budaya barat, terutamanya budaya Amerika akan melenyapkan sama sekali seluruh budaya lain didunia ini menghasilkan apa yang diistilahkan sebagai 'one big McWorld' (National Geographic Vol.196(2)). 'Global Culture' atau budaya global ini akan akhirnya diacu mengikut acuan barat. Melihat kepada keadaan dunia hari ini, kesimpulan ini sudahpun mula menunjukkan tanda-tandanya. Dengan sistem komunikasi canggih yang merapatkan dunia seolah-olah tanpa sempadan, pengaliran idea dan cara hidup barat begitu rumit untuk dibendung. Di negara-negara membangun seperti Malaysia sebagai contoh, golongan remaja ramai yang sudah lupa kepada budaya asal mereka. Kehidupan para remaja kita lebih mirip kepada kehidupan barat berbanding kehidupan Islam. Begitu juga dengan negara seperti China yang pada asalnya merupakan sebuah negara komunis yang keras membantah kemasukan idea-idea kapitalisma, tidak lagi mampu untuk menangkis serangan idea dan produk barat yang bertubi-tubi hingga mereka terpaksa mengalah dan membuka ekonomi mereka. Kebanyakan rakyat China sudah menganggap budaya barat sebagai budaya mereka. Ramai yang sudah merasakan mereka tidak akan dapat mencapai status 'maju' tanpa menyandarkan diri mereka kepada aspirasi, idea dan produk barat (National Geographic Vol. 196(2)).

Masyarakat dunia ketiga nyata keliru. Masyarakat Islam yang kebanyakannya berada didunia ketiga juga keliru. Persoalannya sekarang, apakah reaksi kita sebagai seorang Muslim dalam menghadapi serangan-serangan budaya dan bagaimanakah tanggapan yang sepatutnya ada pada setiap Muslim mengenai globalisasi? Adakah kita akan terus membenarkan diri kita keliru dan terus terpedaya dengan helah barat? Adakah Islam, sebagai penyelesai segala masalah manusia sudahpun mempunyai jawapan kepada persoalan ini? Permasalahan inilah yang ingin dikupas oleh tulisan ini.

Menangani 'Global Culture' yang bertentangan dengan Islam

Sebelum kita mengupas persoalan bagaimana bahang globalisasi patut ditangani, marilah kita perhatikan terlebih dahulu realiti globalisasi. Globalisasi yang begitu dikagumi oleh sesetengah negara dunia ketiga sebenarnya merupakan salah satu dari tariqah(kaedah) yang digunakan oleh negara-negara kapitalis terutamanya Amerika untuk menguasai negara-negara dunia ketiga yang kebanyakannya merupakan negara-negara kaum muslimin. Sejak kejatuhan kuasa besar komunis Soviet pada awal 90an, Amerika mula menjadi peneraju dan pendakwah utama kapitalisma, sekaligus menerajui percaturan politik antarabangsa. Globalisasi mengenengahkan konsep negara tanpa sempadan, baik secara fizikal maupun siber; pengaliran idea, produk maupun manusia tanpa halangan. Realiti menunjukkan bahawa globalisasi, dari aspek ekonomi tidaklah memperbaiki tahap kehidupan manusia sejagat bahkan memburukkan lagi keadaan (Laporan UNDP 1999). Selain ekonomi, globalisasi juga banyak menyebabkan perubahan sosial yang negatif apabila masyarakat dunia ketiga menerima dan mengadopsi idea, budaya dan produk barat tanpa sebarang persoalan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa semakin dunia mengalami perkembangan, interaksi antara masyarakat sejagat akan menjadi semakin bertambah. Namun begitu, dalam kita berhadapan dengan perubahan-perubahan yang berlaku akibat dari bertambahnya interaksi ini, kita haruslah membuat keputusan yang shar'i dalam penerimaan kita keatas sebarang idea, produk maupun budaya luar. Dalam tekanan globalisasi yang kita hadapi, hanya Islam yang akan dapat menyelamatkan kita. Dalam menghadapi kesan-kesan globalisasi dan perubahan budaya akibat darinya, konsep yang harus kita fahami adalah yang menyangkut persoalan hadharah dan madaniyyah. Hanya dengan memahami konsep ini, pengaruh negatif globalisasi dapat kita tangani.

Hadharah, dari segi istilah, adalah sekumpulan mafahim atau idea yang dianut oleh sesuatu umat tertentu yang mempunyai fakta tentang kehidupan. Madaniyyah pula adalah bentuk-bentuk fizikal benda-benda yang terindera yang digunakan dalam pelbagai urusan kehidupan. Hadharah mempunyai sifat yang khas bagi sesuatu bangsa atau umat, sesuai dengan pandangan hidup yang dianutinya. Madaniyyah pula, boleh bersifat khas dan boleh juga bersifat umum untuk seluruh manusia. Bentuk-bentuk madaniyyah seperti patung, sebagai contoh, adalah bentuk madaniyyah yang bersifat khas, manakala bentuk-bentuk madaniyyah yang datang dari kemajuan sains dan teknologi adalah madaniyyah yang bersifat umum yang boleh menjadi milik seluruh umat manusia. Perbezaan antara hadharah dan madaniyyah ini harus diperhatikan. Hal ini menjadi penting pada saat kita akan mengambil madaniyyah agar kita dapat membezakan bentuk-bentuknya dalam memutuskan samada ia sesuai atau tidak dengan cara hidup Islam. Pengaliran produk-produk barat yang berasal dari kemajuan sains dan teknologi adalah halal dan tidak ada halangan bagi kita untuk mengambilnya seperti peralatan IT, kejuruteraan ataupun komunikasi. Namun begitu, madaniyyah barat yang dipengaruhi oleh hadharahnya tidak boleh diambil oleh umat Islam kerana adalah jelas bahawa hadharah barat ini bertentangan dengan Islam, baik dari segi asas dan pandangannya terhadap kehidupan maupun dari erti kebahagiaan hidup bagi manusia. Dalam konsep globalisasi yang dibawa oleh barat, mereka bukan sahaja menyalurkan produk-produk madaniyyah yang berbentuk umum, tetapi juga madaniyyah dan budaya yang bersifat khusus yang datang dari pandangan mereka terhadap kehidupan. Hadharah barat berdiri diatas dasar pemisahan agama dari kehidupan dan pengingkarannya terhadap peranan agama dalam kehidupan. Diatas pemahaman sekular inilah mereka mendirikan kehidupan mereka. Bagi mereka, konsep kehidupan ini adalah berasaskan manfaat dan pemikiran manusia yang terhad. Inilah yang menjadi tolok ukur dalam setiap perbuatan mereka, termasuk dalam memproduksi bentuk-bentuk madaniyyah tertentu.

Hadharah Islam pula berdiri diatas suatu landasan yang bertentangan dengan landasan hadharah barat. Pandangan Islam tentang kehidupan dunia juga berbeza dari yang dimiliki oleh barat. Demikian juga erti kebahagiaan menurut Islam sangat berlawanan dengan erti kebahagiaan menurut hadharah barat. Hadharah Islam berdiri atas dasar iman kepada Allah SWT dan bahawasanya Dialah yang menjadikan alam semesta, manusia dan kehidupan. Hadharah Islam berdiri diatas aqidah Islam, iaitu beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, Kitab-kitabNya, Hari Kiamat serta kepada Qada’ dan Qadar baik dan buruknya dari Allah SWT. Hadharah Islam ini berlandaskan suatu asas yang memperhatikan Ruh (hubungan manusia dengan Pencipta).

Dalam era globalisasi barat kini, pemahaman yang jelas mengenai konsep hadharah dan madaniyyah ini adalah sangat penting agar kita tidak terpesong dari ajaran-ajaran Islam.

Kemasukan segala idea, budaya dan produk dari luar harus diteliti terlebih dahulu. Kita ambil, sebagai contoh, pakaian. Pakaian pada hakikatnya adalah merupakan satu bentuk madaniyyah. Konsep pakaian dalam Islam haruslah menutup aurat. Namun begitu, kini kita dapat melihat, akibat dari pengaruh budaya barat yang bertambah giat dengan kemasukan idea dan budaya kedalam negara-negara muslim tanpa halangan, konsep pakaian dalam Islam mula luntur. Para remaja terpengaruh dengan aspirasi fesyen yang kebanyakannya bertentangan dengan hadharah Islam. Kemasukan rekaan-rekaan fesyen barat yang berasaskan hadharah barat membanjiri gedung-gedung pakaian di merata-rata tempat. Mereka langsung tidak merasakan perlunya tanggungjawab untuk menutupi aurat malahan menutup aurat dianggap ketinggalan zaman. Ini adalah bentuk madaniyyah khas yang wajib ditolak.

Selain produk, idea dan budaya barat yang berasaskan hadharah mereka juga telah menyelinap masuk kedalam masyarakat Islam. Gabungan idea dan budaya ini menghasilkan kreativiti terpesong yang banyak menghasilkan bentuk-bentuk madaniyyah yang bertentangan dengan Islam. Kini sudah banyak istilah-istilah baru seperti ‘fusion culture’ dan ‘global culture’ yang disebut oleh peneliti-peneliti barat yang merangkumi sebahagian besar cetusan-cetusan kreativiti terpesong ini. Sebagai contoh, konsep-konsep yang melibatkan ‘architectural design’ atau rekabentuk senibina dalam pembinaan bangunan dan rumah-rumah. Hadharah Islam menghendaki agar sesebuah bangunan atau rumah itu hendaklah dibina sedemikian rupa agar terdapat pemisahan antara wanita dan pria dan agar kesucian wanita terus terjaga. Dalam konsep senibina barat, pemisahan wanita dan pria tidak diambil kira. Akhirnya, bangunan-bangunan yang banyak wujud kini dibina bukan atas dasar hadharah Islam. Begitu juga dengan bentuk-bentuk hiburan yang wujud kini. Boleh dikatakan keseluruhan bentuk hiburan yang wujud di Kuala Lumpur adalah yang bertentangan dengan hadharah Islam. Disko, pub dan kelab-kelab malam membanjiri kota KL(Kuala Lumpur). Kemasukan budaya barat yang diterima tanpa persoalan menyebabkan sebahagian masyarakat menghalakan fokus aspirasi mereka kepada barat; meniru fesyen-fesyen terbaru, meniru gaya hidup bintang-bintang Hollywood dan mengadopsi kreativiti barat yang berasaskan hadharah yang bertentangan dengan Islam. Kejahilan masyarakat dalam membezakan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diambil dari barat akhirnya melahirkan masyarakat sebegini yang merasa selesa bahkan berbangga dengan perkembangan ini.

Mengembalikan kehidupan Islam

Sesuai dengan tariqah(metodologi) kapitalisma dalam menguasai dunia, mereka telah berjaya mengembangkan ideologi mereka keseluruh dunia dengan menjadikan pandangan hidup mereka sebagai aspirasi dan budaya masyarakat dunia ketiga. Pada hakikatnya, mereka masih lagi menjajah kita. Mereka masih menjajah kita dari segi ekonomi, politik dan kehidupan sosial. Dengan kata lain ideologi mereka masih menjajah kita meskipun mereka tidak berada dikalangan kita secara fizikal. Pada hakikatnya, kita masih menjadi hamba dalam ertikata yang lebih buruk dari keadaan kita sebelum ‘kemerdekaan’. Islam yang merupakan pandangan hidup kita sebenarnya sudah berjaya mereka hapuskan. Umat Islam menjadi umat yang hina dimata dunia; tersiksa, ditindas dan keliru. Apakah kita akan terus mengiakan keadaan kita sekarang dan rela menerima siksaan Allah yang amat pedih di akhirat kelak? Ataupun kita harus melakukan sesuatu untuk memastikan Islam kembali menguasai seluruh aspek kehidupan kita dan mendapat keredhaan Allah?

Apabila kita amati semula hadharah Islam yang pernah menguasai dunia selama 1300 tahun lebih dibawah payung kekhilafahan, hadharah ini tidak pernah menjajah kerana memang bukan tabiatnya untuk menjajah. Hadharah ini menjamin kesejahteraan seluruh umat manusia. Hadharah ini tidak membezakan antara kaum muslimin dengan kaum lainnya dalam hak mereka didunia. Keadilan terjamin bagi mereka yang tunduk kepada hadharah ini. Ini adalah kerana hadharah ini berdiri diatas dasar Ruh(kesedaran manusia akan hubungannya dengan Allah). Berdiri diatas dasar yang berusaha mewujudkan seluruh nilai-nilai kehidupan, baik nilai material maupun spiritual yang diredhai Allah. Kehidupan berjalan sesuai dengan kehendak Allah SWT dan kebahagiaan dilihat hanya datang dari keredhaanNya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengembalikan kehidupan Islam yang mulia ini dengan berusaha untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah yang sudah lebih 70 tahun menghilang. Apabila Islam kembali seperti mana sebelumnya ia pasti akan dapat menangani berbagai krisis yang melanda dunia dan akan mampu menjamin kesejahteraan bagi seluruh umat manusia. Wallahua’lam