HAK ASASI MANUSIA : FATAMORGANA YANG MEMBINASAKAN

Pencabulan Hak Asasi Manusia (Human RIght) merupakan istilah yang tidak asing lagi bagi majoriti ummah baik di Malaysia mahupun negeri-negeri kaum muslimin di luarnya. Perlanggaran/ Pencabulan Hak Asasi Manusia ini sering mendapat liputan di media massa dan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan tertentu akan mula melenting apabila pencabulan ini menyentuh dasar kepentingan buat mereka. AJ dalam keluaran minggu ini akan cuba membahas persoalan Hak Asasi Manusia ini dari sudut Kebebasan bersuara serta persoalan berhubung hak untuk menegur penguasa yang melakukan pelanggaran syara’ .

Hak Asasi Manusia

Penggunaan istilah hak asasi manusia telah diterima secara universal, tetapi kefahaman masyarakat dari segi asas dan perlaksanaan masih dipersoalkan. Hak asasi manusia adalah asas kepada sistem(hukum) Demokrasi iaitu ia berprinsipkan kebebasan. Terdapat 4 prinsip kebebasan di dalam hak asasi manusia iaitu; kebebasan beraqidah, kebebasan berpendapat/bersuara, kebebasan hak milik dan kebebasan tingkah laku. Kaum muslimin pada masa kini telah menganggap hak asasi manusia yang berasal daripada barat tetapi tidak bertentangan dengan Islam itu boleh diterima dan diterapkan serta ada yang menjadikannya sebagai matlamat perjuangan Islam.

Perbahasan Syara’

Kebebasan tanpa had yang di canangkan oleh Amerika di dalam hak asasi manusia sebenarnya adalah fatamorgana yang membinasakan kerana, sikap double standard Amerika ke atas kaum muslimin di Timur tengah dan di negara-negara Balkan bahkan di kalangan rakyatnya yang berkulit hitam mendedahkan pekong idea hak asasi manusia yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan demokrasi itu. Kerana itulah kaum muslimin diharamkan daripada menerima pakai nilai-nilai yang terdapat di dalam hak asasi manusia walaupun ia disesuaikan dengan Islam kerana ia sebenarnya tetap bukan daripada Islam. Sebagaimana firman Allah swt:

"Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir."(Al Maidah:44)

"Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah , maka mereka itu adalah orang-orang fasik."(Al Maidah:45)

"Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah , maka mereka itu adalah orang-orang zalim."( Al Maidah:47)

Ia diperkuat dengan hadis Rasulullah saw

"Siapa saja yang melakukan perbuatan yang tidak ada perintah kami atasnya, maka perbuatan itu tertolak". ( HR Muslim)

"Barangsiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami, sesuatu yang tidak berasal daripadanya, maka hal itu tertolak" ( HR. Bukhari)

Berkenaan dengan hak untuk menegur penguasa; dalam pandangan Islam, samada Majlis Ummat, parti-parti politik mahupun rakyat, kesemuanya memang berhak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat secara bebas; selagi mana mereka tidak melanggar hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh syari’at Islam. Di dalam hal ini, Majlis Ummat yang mewakili kaum muslimin dalam memerhatikan apa yang dilakukan oleh Khalifah, atau di jabatan-jabatan lain di dalam daulah, termasuk para pegawai-pegawai di pejabat pemerintah. Aktiviti Majlis Ummat adalah melakukan muhasabah bagi seluruh pejabat pemerintahan. Iaitu dengan menyampaikan nasihat kepada mereka dan juga sekiranya terdapat sebarang usul cadangan dan sentiasa mengajak mereka untuk berbincang. Majlis Ummat juga akan membangkang sebarang tindakan negara yang dilihat terdapat pelanggaran dari segi hukum syara’. Aktiviti yang dilakukan oleh Majlis Umat ini merupakan sebagai wakil kepada rakyat dan merupakan suatu kewajipan sebagaimana firman Allah swt:

"Kalian adalah ummat terbaik yang dilahirkan di antara manusia. Kalian diperintahkan untuk berbuat ma’ruf dan mencegah yang mungkar…" ( Al Imran :110)

FirmanNya lagi:

"Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada yang baik(Islam) dan memerintahkan yang ma’ruf dan mencegah yang munkar" ( Al Imran : 104)

Banyak lagi hadis-hadis Rasulullah saw yang menyatakan tentang amar ma’ruf dan nahi mungkar.

"Demi zat yang jiwaku ada ditangannya, beramar ma’ruf dan nahi mungkarlah kamu semua atau Allah swt akan mengirim siksa dari sisiNya. Lalu kamu semua berdoa tetapi tidak dikabulkan"

Sabda Rasulullah saw lagi:

"Siapa sahaja di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaknya ia mengubah dengan tangannya(kekuasaannya) Jika ia tidak mampu, hendaknya dengan lisannya. Dan jika tidak mampu, hendaknya dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman"

Ayat dan hadis diatas memerintahkan kita melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Dan juga untuk melakukan muhasabah atau menyelidiki tindakan-tindakan penguasa yang merupakan salah satu amar ma’ruf nahi mungkar. Bahkan ada hadis yang secara khusus menyebutkan tentang muhasabah terhadap penguasa. Menyuruhnya berbuat ma’ruf dan mencegahnya berbuat mungkar. Ummu Athiyyah meriwayatkan, telah bersabda Rasulullah saw:

"Jihad yang paling utama adalah menyampaikan perkataan kebenaran kepada penguasa yang jahat".

Hadis ini mewajibkan muhasabah kepada penguasa dan mengucapkan kata-kata yang haq kepadanya. Hadis tersebut menetapkan bahawa aktiviti ini merupakan jihad bahkan " jihad yang paling utama" Kaum muslimin dirangsang agar melakukannya walaupun aktiviti tersebut akan mengancam nyawanya.

Di dalam satu hadis sahih, Rasulullah saw bersabda,

"Penghulu kepada para syuhada adalah hamzah dan seorang yang berdiri dihadapan pemimpin jahat lalu menasihatinya dan kemudian dibunuh penguasa tersebut."

Muhasabah di masa Rasulullah dan Sahabat

Para sahabat r.a pernah melakukan muhasabah kepada Rasulullah saw. Dan para khulafaur rasyidin. Rasulullah saw pernah dinasihati oleh Habbab bin Mundzir dalam menentukan kedudukan pasukan di medan perang Badar. Pada musyawarah ketika menghadapi perang Uhud banyak sahabat yang berbeza pendapat dengan baginda. Begitu juga ketika melakukan perjanjian Hudaibiyah, para sahabat Ansar marah melihat Rasulullah saw memberikan ghanimah kepad para pemimpin Quraisy yang baru masuk Islam tanpa memberi satu bahagian pun untuk mereka.

Para sahabat melakukan muhasabah kepada khalifah Umar bin al Khattab yang sedang berkhutbah di atas mimbar. Mereka bertanyakan tentang pembahagian kain dari Yeman. Beliau juga pernah ditegur oleh seorang wanita kerana cuba membataskan mahar. Para sahabat pernah membangkang tindakan Umar yang tidak membahagikan tanah Syam, Iraq, Mesir setelah negeri-negeri tersebut telah dtewaskan. Antara sahabat yang sangat keras penentangan itu ialah Bilal dan Zubair.

Bagaimanakah sikap Rasulullah saw dan para khalifah yang mendapat petunjuk dari Allah swt dalam menghadapi muhasabah yang dilakukan oleh para sahabat yang berstatus sebagai rakyat. Rasulullah menerima pendapat Habbab lantaran baginda berpendapat bahawa Habbab mempunyai kepakaran di dalam strategi peperangan. Habbab bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah saw, apakah ini wahyu ataukah sekadar strategi pertempuran?" Lalu dia mencadangkan tempat yang lebih strategik dan baginda pun menyetujuinya. Pada masa menentukan strategi perang ketika menentang kaum Quraisy di perang Uhud majoriti para sahabat, terutamanya para pemuda menghendaki mereka keluar Kota Madinah dan menyerang pasukan Quraisy di luar kota. Baginda menerimanya walaupun baginda tidak menyetujuinya. Pada perjanjian Hudaibiyah, baginda tetap bertahan menhadapi bangkangan daripada sahabat sebab hukum perjanjian tersebut merupakan wahyu yang baru beliau terima.

Sedangkan dalam kes pemberian harta ghamimah kepada para muallaf dari Quraisy. Rasulullah saw mengatakan kepada para sahabat Ansar :

"Hai kaum Ansar, apakah kamu jengkel kerana tidak menerima sekelumit sampah keduniaan yang tidak ada ertinya? Dengan sampah itu aku hendak menjinakkan satu kaum yang baru saja memeluk Islam!Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak merasa puas melihat orang lain pulang membawa kambing dan unta, sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah swt yang nyawaku ada ditangannya, Seandainya orang-orang lain berjalan di lereng gunung dan kaum Ansar berjalan dilereng gunung yang lain, aku pasti turut berjalan di lereng gunung yang ditempuh kaum Ansar. Kalau bukan kerana hijrah, tentu aku adalah orang Ansar. Lalu beliau saw Berdoa:"ya Allah, limpahkanlah rahmat-Mu kepada kaum Ansar, kepada anak-anak kaum Ansar dan kepada cucu kaum Ansar…!

Mendengar ucapan itu, banyak kaum Ansar yang menangis sehingga janggut mereka basah kerana air mata. Mereka menjawab: "Kami puas bertuhankan Allah dan menerima Rasulullah saw sebagai ganti kepada pembahagian. ( rujuk Muhammad Al Ghazali , Fiqh Sirah terj. Hal 656-658)

Pada kisah yang lain, ketika wanita membangkang Umar membaca firman Allah swt :

"Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada salah seorang daripada mereka mahar yang banyak, maka jangalah kamu mengambil kembali daripadanya walaupun sedikit"(TMQ An Nisa: 20)

Maka khalifah Umar berkata : "Benarlah kata wanita itu dan sayalah terkeliru"(rujuk Abdul Aziz Al Badri, Peranan Ulama dan Penguasa halaman 48-49). Sedangkan ketika Salman al Farisi mencelah khutbah khalifah Umar menanyakan tentang bahagian kain dari Yemen yang dibahagikan, beliau meminta puteranya Abdullah untuk menjelaskannya. Abdullah pun menyatakan bahwa pakaian yang dipakai oleh Umar adalah bahagian khalifah dan ditambah dengan bahagian yang dia hadiahkan kepada ayahnya." Mendengarkan itu, puaslah Salman (lihat Abdul Aziz Al Badri hal 100-101)

Bahkan khalifah Muawiyyah yang tercatat sebagai khalifah yang telah melakukan penyimpangan syara’ juga mempunyai rekod yang baik dan patut diteladani di dalam perkara ini. Pernah beliau berpidato di hadapan para sahabat. Namun begitu, ia mengawali pidatonya. Abu Muslim al Khaulani mencelahnya dengan mengatakan: "Hai Muawiyyah, sekali-kali kami tidak akan mendengarkan pidatomu dan tidak akan patuh kepadamu." Muawiyyah bertanya: Mengapa demikian wahai Abu Muslim? Abu Muslim menjawab: "Kerana engkau telah berani memutuskan dan berani menyekat bantuan kepada kaum muslimin dari baitul mal. Pahadal harta itu bukanlah hasil keringatmu dan bukan harta ayahmu atau ibumu." Mendengar kata-kata itu wajah Muawiyyah berubah merah dan dia sangat marah. Lalu Muawiyyah turun dari mimbar dan meminta hadirin supaya jangan meninggalkan tempat masing-masing. Muawiyyah pergi sebentar. Kemudian kembali semula dengan keadaan wajahnya basah sambil berkata:"Tadi Abu Muslim melontarkan kata-kata yang menyinggung perasaanku, sehingga aku sangat memarahinya, Tetapi aku teringat sabda Rasulullah saw "Marah itu adalah perbuatan syaitan dan syaitan itu dicipta daripada api. Api itu hanya padam dengan air. Sesiapa saja diantara kamu yang sedang marah, hendaklah ia segera mandi" Aku baru selesai mandi, dan kata-kata Abu Muslim itu adalah benar dan oleh itu barangsiapa yang masih lagi merasakan ia belum mendapatkan haknya bolehlah ke baitul mal dan mengambilnya. (rujuk Abdul Aziz Al Badri, hal 101-102)

Sistem yang Mantap

Demikianlah perilaku kaum muslimin terdahulu. Sesiapa yang menjadi penguasa akan berlapang dada, dan yang menjadi rakyat pula sentiasa melakukan muhasabah keatas pemimpin. Mereka saling nasihat menasihati antara satu sama lain. Mereka bersama-sama mempertahankan kehidupan Islam yang telah mereka lalui bersama-sama Rasulullah saw. Tepat sekali apa yang dinyatakan oleh khalifah Umar ketika ada sebahagian sahabat yang menegur seorang Badwi yang berkata kepada khalifah : " Hai Umar takutlah engkau kepada Allah swt!" Beliau menjawab : " Bukanlah suatu kebaikan bagi kamu apabila kamu tidak mau menegur yang salah dan bukan suatu kebaikan pula bagi kami(para penguasa) apabila tidak au mahu menerima teguran."

Bagaimanakah perkara-perkara di atas itu boleh berlaku? Kerana ketika itu, mereka yang mempunyai kuasa dan pihak yang menegurnya sama-sama mencari keredhaan Allah swt. Ia juga adalah kerana sistem khilfah berbeza dengan sistem Demokrasi. Dalam sistem khilafah tidak ada konsep jawatan bertempoh/penggal. Sistem khilafah merupakan konsep taat berasaskan dimensi kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat. Oleh kerana itu tidak ada penguasa yang takut kehilangan jawatan dengan adanya muhasabah. Juga tidak takut adanya penggulingan kekuasaan atau pemberontakan. Sebab ia diharamkan! Di dalam sistem Islam, parti politik yang boleh didirikan warga masyarakat walaupun tidak perlu izin bukanlah bertujuan untuk membangkang tetapi tugasnya hanya amar ma’ruf nahi mungkar.

Dalam sistem Demokrasi, usaha mengkritik pemerintah sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkannya. Tujuannya itu nanti adalah untuk mengusulkan undi tidak percaya dan seterusnya menggantikan pemimpin yang ada. Ini adalah kerana di dalam sistem demokrasi, terdapat tempoh di dalam perjawatan pemimpin. Ini sangat berbeza dengan sistem Islam. Keadaan umat Islam ketika zaman Rasulullah saw dan para sahabat adalah bersih daripada parti-parti berideologi asing, seperti sosialis, mahupun kapitalis, serta idea-idea kufur yang lainnya Sehingga persatuan dan kesatuan daulah mantap. Rakyat seterusnya sejahtera dibawah naungan Islam.

Oleh kerana itu penubuhan sebuah negara Islam yang akan menyatukan kembali semua negara-negara umat Islam mesti diusahakan segera tanpa bertangguh lagi. Melaksanakan sistem khilafah dan perlantikan seorang khalifah adalah wajib dan mesti direalisasikan. Kerana itulah kaedah yang dapat mengembalikan maruah dan hak kaum muslimin. Firman Allah swt:

"Katakanlah, inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada jalan Allah dengan hujjah yang nyata" (TMQ Yusuf:106)

"Dan ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan(yang lain), kerana jalan-jalan itu akan memecah-belahkan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkah Allah kepadamu, agar kamu bertaqwa" (TMQ Al- An’aam :153).

 

International Islamic and Development Studies