JAMINAN PEMENUHAN KEPERLUAN ASAS

Dewasa ini, banyak negara termasuk negeri-negeri Islam mengambil Kapitalisme (cara hidup barat) dan Sosialisme (cara hidup golongan yang tidak mempercayai tuhan) sebagai cara hidup yang dilaksanakan dalam kehidupan. Hasilnya dapat dilihat hari ini. Keperluan asas rakyat tidak dapat dipenuhi. Masalah kemiskinan rakyat tidak dapat diatasi secara menyeluruh.

Dalam negara Kapitalis, hanya kelompok dan individu-individu tertentu sahaja yang dipenuhi keperluan asasnya. Puak kapitalis memandang masyarakat adalah kumpulan individu-individu yang hidup bersama di satu tempat. Jadi apabila kepentingan individu tertentu itu terjamin penuh, maka secara keseluruhan kepentingan masyarakat juga telah terjamin. Dengan demikian, sudah menjadi perkara yang lazim di negara Kapitalis akan wujud perbezaan jurang yang amat ketara antara golongan kaya dengan golongan miskin. Walaupun pendapatan perkapita tinggi, tetapi keperluan asas setiap individu rakyatnya tidak terjamin. Ini kerana pendapatan perkapita tidak menunjukan keadaan sebenar pemenuhan keperluan asas setiap individu dalam suatu masyarakat itu. Penjumlahan pendapatan yang dibahagi kepada jumlah bilangan semua penduduk itu termasuk individu - individu yang kaya, yang memiliki hampir 80% kekayaan negara itu. Pendapatan perkapita ini tidak mempertimbangkan perbezaan pendapatan yang tinggi yang wujud dalam masyarakat. Ia hanya mengambil kira purata pendapatan, tidak memastikan pemenuhan keperluan asas bagi setiap individu dalam masyarakat. Buktinya di Amerika, iaitu sebuah negara yang mengembangkan ideologi Kapitalis, di sana masih terdapat lagi rakyat yang lapar dan hidup merana tinggal di longkang-longkang bawah tanah, di kaki lima bangunan-bangunan tinggi milik korporat besar.

Sementara di negara Sosialis, sistem kemasyarakatannya telah menjadikan taraf kehidupan rakyatnya amat rendah. Prinsip kesamarataan telah menekan fitrah kemanusiaan yang secara individu mempunyai perbezaan kekuatan fizikal dan kecerdikan, serta mempunyai keperluan-keperluan yang berbeza juga. Seseorang itu mampu mendapatan harta yang berbeza tingkatnya. Ada yang mampu mendapatkan harta dengan banyak tetapi tiada gunanya juga kerana jika dia berkerja keras pun, pendapatan yang diberikan oleh kerajaan kepadanya sama sahaja.

Sistem Sosialis menghalang naluri pemilikan harta (naluri untuk menjadi kaya) yang telah menjadi salah satu fitrah manusia. Seorang manusia itu juga mempunyai tingkat keperluan yang berbeza. Ada yang keperluan asasnya tinggi dan ada yang keperluan asasnya rendah. Jumlah yang diagihkan boleh jadi tidak mencukupi dan boleh jadi berlebihan bagi seseorang itu bergantung kepada jumlah keperluannya. Seseorang yang keperluannya tinggi, agihan itu sudah pasti tidak mencukupi untuk menampung keperluan asasnya. Kesamarataan yang diagihkan oleh negara tidak menjamin pemenuhan keperluan asas setiap individu. Dan memang pada realitinya, taraf kehidupan rakyat Sosialis amat rendah seperti di Russia dan negara Sosialis dan Komunis yang lain, yang keperluan asasnya tidak terpenuh. Tambahan pula ada penyelewengan oleh pemerintah Sosialis, mereka hidup mewah dan senang sedangkan rakyat hidup dalam kemiskinan. Negara telah menekan dan menindas rakyat dengan pemerintahan kuku besi. Akhirnya rakyatnya sendiri yang memberontak lalu menjatuhkan sistem sosialis ini pada tahun 1991. Ia hanya mampu bertahan kurang lebih 20 tahun sahaja. Ini adalah kerana sistem sosialis ini bertentangan dengan fitrah manusia.

Pemenuhan keperluan asas adalah amat penting bagi manusia. Manusia bekerja keras untuk memenuhi keperluan asas ini Berbeza degan cara hidup yang lain sama ada Kapitalis ataupun Sosialis, Islam adalah satu cara hidup yang mempunyai aqidah dan sistem kehidupan yang sempurna serta unik. Ia memberikan sejumlah hukum (syariat) yang menjamin secara menyeluruh keperluan asas rakyatnya. Pandangan Islam terhadap masalah ini berbeza dengan ideologi lain baik secara asas (konsep dasar) ataupun cara-cara penyelesaiannya. Islam telah membahagikan keperluan asas manusia kepada dua iaitu:

1. keperluan asas setiap individu rakyat.

2. keperluan asas keseluruhan rakyat.

Keperluan asas setiap individu rakyat

Abdurrahman Al Maliki menyatakan dalam kitabnya As-Siyaasatul Iqtishodiyatul Muthsla dalam mukasurat 165 bahawa keperluan asas setiap individu meliputi makanan, pakaian, dan perumahan. Dalil berkenaan keperluan asas ini diambil dari firman Allah swt dalam Al-Quran, iaitu dalam Surah Al-Baqarah: 233, An-Nisa: 5, Al-Hajj: 28 dan At-Tholaq: 6. Begitu juga dari Hadis Rasulullah saw samasa berkhutbah ketika haji Wida’:

"Mereka (para isteri) mempunyai hak atasmu untuk meminta makanan dan pakaian yang baik."

Keperluan asas ini adalah suatu yang mesti ada pada manusia. Pemenuhannya merupakan hak bagi setiap individu. Ia adalah hak hidup bagi setiap manusia. Keperluan-keperluan yang lain adalah merupakan pelengkap sahaja.Jaminan Islam terhadap keperluan asas individu rakyat adalah dengan mewajibkan bekerja bagi setiap lelaki yang mampu jika dia masih belum memiliki harta untuk memenuhi keperluan asasnya dan keperluan asas orang-orang yang berada dibawah tanggungjawabnya. Islam mendorong manusia untuk bekerja mencari rezeki dan berusaha sebagaimana firmannya:

"Maka berjalanlah di segala penjurunya serta makanlah sebahagian dari rezekiNya." ( Al-Mulk : 15)

Dalam satu hadis diriwayatkan: Bahawa Rasulullah saw telah bersalam tangan dengan Saad bin Mu’adz ra dan ketika itu pada kedua tangan Saad ada kesan-kesan dari digunakan untuk bekerja. Kemudian perkara tersebut ditanyakan oleh Rasulullah saw. Saad menjawab : "Saya selalu menghayun kapak dan skop untuk mencari nafkah bagi keluargaku" Kemudian Rasulullah saw mencium tangan Saad seraya bersabda: " (inilah) dua tapak tangan yang disukai oleh Allah SWT "

Rasulullah juga bersabda :

"Tidaklah seseorang makan sesuap saja yang lebih baik, selain ia makan dari hasil kerja tangannya sendiri".

Dalam Hadis yang lain: Dari Zubair bin Awwam ra, dari Nabi saw bersabda:

"Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu dibelakangnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya. Itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang, diberi ataupun tidak". (HR Bukhari)

Oleh kerana itu bagi lelaki yang mampu wajib keatasnya untuk memenuhi keperluan asas dirinya dan keperluan asas orang-orang dibawah tanggungjawabnya. Jika dia tidak memiliki harta untuk menanggung nafkah mereka, maka wajib baginya untuk bekerja mencari nafkah terutamanya untuk anak dan isterinya (selepas dirinya sendiri) kemudian kedua orang tuanya apabila mereka tidak mampu seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah : 233 dan At-Tholaq : 6.

Dari Aisyah ra meriwayatkan bahawa Hindun binti Utbah berkata:

" Wahai Rasulullah ...sungguh Abu Sufyan adalah seorang yang kikir. Ia tidak memberiku dan anak-anakku belanja yang cukup sehingga aku mengambil darinya tanpa sepengetahuannya". Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Ambillah apa yang mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf". (HR Bukhari & Muslim)

Dalil-dalil di atas menunjukkan nafkah seorang perempuan adalah tanggungjawab kepada suaminya atau kepada ayahnya. Kaum wanita tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. Mereka tidak dituntut untuk membanting tulang menyara kehidupan. Semua keperluan hidupnya dibebankan kepada lelaki. Perempuan tidak wajib mencari nafkeh untuk menyara sesiapapun termasuk dirinya sendiri. Keperluan wanita dibebankan kepada suami, keluarga, atau saudara-maranya menurut ketentuan syarak. Bagi yang tidak mempunyai keluarga atau saudara-mara, tanggungjawab ini terbeban kepada negara (dari Baitul Maal). Dengan itu tidak menjadi masalah antara fungsi produksi (kerja mencari nafkah) dengan fungsi reproduksi (cuti hamil, keguguran, bersalin, dan cuti haid) untuk wanita. Yang menjadi tugas utama bagi seorang wanita seperti yang telah ditetapkan oleh Islam ialah sebagai ibu dan pengatur (pengurus) rumahtangga. Wanita tidak dibebani tugas produksi (mencari nafkah).

Nafkah bagi lelaki jika dia masih kecil adalah terbeban kepada ayahnya. Apabila telah dewasa dan mampu berkerja maka nafkahnya terbeban ke atas dirinya sendiri. Jika dia tidak dapat perkerjaan walaupun telah berusaha semaksimumnya , maka wajib bagi negara (Daulah Islam) untuk menyediakan peluang pekerjaan. Syariat Islam telah membebankan tugas menjamin keperluan asas setiap warganegara (rakyat) kepada negara, yang mana perlaksanaannya dibawah tanggungjawab pemimpin (Khalifah), salah satu daripadanya adalah meyediakan peluang pekerjaan. Apabila seorang lelaki mempunyai harta yang lebih setelah dia memenuhi nafkah dirinya, anaknya dan isterinya sendiri, maka dia wajib pula menafkahi orang tua dan saudaramaranya yang tidak mampu. Diriwayatkan dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang bertanya kepada beliau tentang perbelanjaan beberapa dinar miliknya. Rasulullah SAW bersabda :

"Nafkahkanlah ia (dinar) untuk dirimu". Lelaki itu berkata lagi : "Saya masih mempunyai yang lain ". Rasulullah SAW menjawab : "Nafkahkanlah ia kepada keluargamu". Lelaki itu berkata lagi : " Saya masih punya yang lain". Rasulullah SAW menjawab : "Nafkahkanlah ia kepada pembantumu". Kemudian Rasulullah SAW bersabda : Mulai kepada orang yang engkau beri nafkah dari ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu kemudian yang lebih dekat denganmu (kerabat yang lebih dekat)".

Hadis-hadis di atas menjelaskan bahawa seorang lelaki yang masih mempunyai kelebihan harta setelah menafkahi dirinya sendiri berkewajiban menafkahi keluarganya yang tidak mampu. Negara berkewajiban untuk memaksa orang yang mampu yang wajib menafkahi tanggungannya apabila mereka ini melalaikan tanggungjawabnya.

Dengan adanya kewajiban nafkah dan tanggungjawab memenuhi keperluan asas anak, isteri, orang tua, dan saudara-mara yang tidak mampu oleh syarak bererti Islam telah menjamin pemenuhan keperluan asas individu-individu rakyat. Bagi orang-orang yang lemah, cacat, dan tidak mampu serta tidak mempunyai seorangpun saudaramara yang boleh menanggungnya maka jaminan nafkahnya terbeban kepada negara iaitu melalui Baitul Maal. Apabila tabung negara kosong, negara wajib mengusahakannya dengan memungut pajak dari orang-orang kaya.

Selain daripada itu, syariat Islam juga memerintahkan kaum muslimin untuk menunaikan infaq dan sedekah. Islam mengharapkan setiap orang kaya agar memberikan hartanya yang lebih untuk disedekahkan kepada orang fakir miskin sebagai amalan kepada Allah SWT dalam rangka mendapat keredhaan dan pahala yang besar daripadaNya. Sebaliknya orang yang menimbun harta tanpa menginfaqkannya di jalan Allah digolongkan dalam orang-orang yang membuat dosa dan diancam dengan siksaan yang berat di akhirat nanti. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah : 117, Al-Baqarah : 215 dan Al-Baqarah : 254. Hampir di setiap Al-Quran terdapat ayat-ayat yang mengisyaratkan untuk bersedekah serta menginfaqkannya kepada orang-orang yang memerlukan, antaranya adalah dalam surah Al-Baqarah : 261-262, Al-Baqarah : 265, Ali Imran : 92, An-Nisa : 36-37, At-Taubah : 34-35. Infaq dan sedekah adalah salah satu cara untuk menperolehi harta bagi orang-orang yang tidak mampu.

Keperluan asas keseluruhan rakyat

Keperluan asas bagi seluruh rakyat iaitu meliputi keamanan, kesihatan dan pendidikan. Negara bertanggungjawab untuk memenuhi keperluaan asas ini. Syariat Islam telah menetapkan bahawa tanggungjawab pemenuhan keperluan asas ini terbeban kepada pemimpin negara.

"Imam itu adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya". (HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Tanggungjawab menjamin keperluan asas ini tidak hanya makanan, pakaian, dan tempat tinggal sahaja tetapi juga meliputi keamanan, kesihatan dan pendidikan.Penetapan keamanan, kesihatan dan pendidikan sebagai keperluan asas ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW :

"Barangsiapa yang bangun di pagi hari merasa aman di sekitarnya, sihat badannya serta mempunyai makanan pokok pada hari itu, seolah-olah dia telah memiliki dunia dan seisinya".

Kesetaraan antara keamanan dan kesihatan dengan makanan sebagai keperluan asas menunjukkan dahawa keamanan dan kesihatan itu juga termasuk dalam kategori keperluan asas. Mengenai pendidikan (ilmu) sebagai keperluan asas pula berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Musa ra. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Perumpamaan petunjuk dan ilmu, yang Allah mengutusku untuk menyampaikannya seperti air hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur, menghisap air, menumbuhkan tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga bertakung. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak), dan untuk bercucuk-tanam (pertanian). Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian yang lain iaitu di atas tanah yang menakung air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama (Deen). Yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah untuk menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang-orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah, yang aku diutus untuk menyampaikannya".

Perumpamaan antara petunjuk dan ilmu dengan air itu menunjukkan bahawa pendidikan adalah termasuk keperluan asas. Ini kerana pendidikan adalah perkara yang sangat penting untuk manusia berperanan dalam kehidupannya sebagaimana pentingnya air dalam kehidupan manusia. Oleh itu keamanan, kesihatan dan pendidikan merupakan keperluan asas yang menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakan segala peralatan dan memberi kemudahan secukupnya untuk memenuhi keperluan ini. Dengan itu negara mesti menyediakan peralatan dan kemudahan pendidikan dan perubatan yang baik serta menjamin keamanan rakyatnya baik lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang dewasa, orang kaya , orang miskin, muslim atau tidak muslim tanpa diskriminasi sedikitpun. Negara (daulah) melalui pemimpinnya (khalifah) bertanggungjawab menjamin keperluan asas individu rakyat secara menyeluruh.

Ini semua tidak akan berlaku jika Islam dilaksanakan dalam kehidupan. Masyarakat mengamalkan cara hidup Islam secara keseluruhan. Setiap individu menjalankan tanggungjawabnya. Islam telah menyediakan sejumlah hukum syariat kepada lelaki, daulah dan masyarakat untuk menyelesaikan permasalahan keperluan asas manusia. Negara, masyarakat dan individu dalam masyarakat itu mestilah menjalankan tugas masing-masing untuk memastikan tercapainya pemenuhan keperluan asas setiap individu dan masyarakat. Oleh itu untuk memastikan jaminan keperluan asas ini tercapai, ada dua perkara yang perlu diwujudkan:

1. Perlaksanaan hukum syariat sepenuhnya dan ini berlaku hanya apabila ditegakkan sebuah Daulah Islam, Khilafah yang mana segala sistem seperti sistem masyarakat, ekonomi, politik, pendidikan, dasar luar negeri serta sistem penghakiman Islam.

2. Masyarakat Islam yang mempunyai ketaqwaan yang tinggi. Yang mana negara dan setiap individu di dalamnya akan menjalankan setiap tanggungjawabnya dengan baik dalam rangka mendapat keredhaan Allah dan balasan daripadaNya semata-mata.

Permasalahan-permasalahan yang timbul sekarang ini, seperti perbezaan yang tinggi antara orang kaya dan miskin, tunjuk perasaan golongan buruh, mogok oleh peniaga dan pengusaha terhadap pemerintah, tuntutan kemudahan sosial , kesihatan dan lain-lain termasuk banyaknya kes gangguan seksual terhadap pekerja wanita tidak akan berlaku dalam sebuah daulah yang menerapkan atauran-aturan Islam sepenuhnya.

Strategi politik ekonomi Islam menjamin tercapainya pemenuhan keperluan asas rakyat secara menyeluruh, bahkan membolehkan setiap orang untuk memenuhi keperluannya yang termasuk dalam kategori pelengkap mengikut kemampuannya. Perkara ini hanya boleh dicapai oleh satu masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam. Islam memandang setiap orang sebagai manusia yang mesti dipenuhi semua keperluan asasnya secara menyeluruh. Kemudian barulah Islam memandang dalam kemampuan seseorang untuk memenuhi keperluan pelengkap yang termampu. Pada masa yang sama Islam juga memandangnya sebagai individu yang terikat dengan indivuidu lain sesama mereka dalam interaksi tertentu dan dilaksanakan dengan mekanisma tertentu ( Ini dijelaskan secara lengkap dan terperinci oleh Taqiyyuddin an Nabhani dalam kitabnya An Nizhomul Iqtishodi fil Islam). Mekanisma ini akan terlaksana secara sempurna dangan perlaksanaan tanggungjawab daripada semua pihak iaitu negara, masyarakat, dan setiap individu rakyat. Ketaatan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing ini dengan sendirinya akan menghasilkan terpenuhnya hak masing-masing. dengan strategi yang mendasar dan universal ini akan dapat mencegah berbagai kerosakan dan perselisihan dalam kehidupan bermasyarakat. Wallahu ‘alam.