KADAR JENAYAH MENINGKAT !

SIAPAKAH YANG HARUS DIPERSALAHKAN

Beberapa minggu yang lepas kita kita disajikan dengan berita-berita berhubung masalah sosial yang berlaku. Masalah seperti penderaan, rompakkan, kecurian, perogolan, pergaduhan, ‘geng nakal’ di sekolah, peras ugut, bohsia, bohjan dan banyak lagi seolah-olah telah menjadi santapan rutin yang dimuatkan oleh pihak media massa tak mengira di mana sekalipun mereka berada. Bukan sahaja di wilayah nusantara ini bahkan di seluruh dunia masalah ini berlaku. Pelbagai pendekatan cuba dibawa namun kadar jenayah yang ada terus jua meningkat. Pelbagai pihak cuba disalahkan dan timbullah saling tuduh menuduh mengapa perkara ini terus berlaku. Keadaan ini menimbulkan kerisauan di pelbagai pihak terutamanya kepada ibubapa yang mempunyi anak-anak yang bakal meniti kehidupan ini di masa akan datang. Mereka merasakan ketidakselamatan jalan yang anak mereka bakal tempuhi. InsyaAllah AJ pada minggu ini akan cuba mengupas dan memberikan penyelesaian yang sepatutnya diambil untuk menghapuskan permasalahan ini dan menghilangkan kerisauan yang ada.

Membasmi kejahatan dengan membasmi/mencegah faktornya

Tindakan jenayah bukanlah suatu fitrah bagi manusia. Ianya juga bukan berasal dari keturunan (genetik) manusia dan bukan pula tergolong sebagai penyakit yang dideritai oleh manusia sebagaimana anggapan para ahli psikologi. [lihat Nidzamul Uqubat-Abdurrahman Al Maliki]. Tindakan jenayah merupakan satu bentuk perlanggaran terhadap aturan yang mengatur tata kehidupan manusia dalam bermasyarakat mahupun bernegara.

Apabila sistem yang mengatur kehidupan manusia itu baik, adil dan sempurna maka tidak akan ada unsur-unsur yang mendorong manusia melakukan kejahatan atau jenayah. Ertinya sistem yang mampu mengarahkan kecenderungan manusia ke arah ketenteraman dengan terpenuhi segala keperluan fizikal mahupun naluri manusia yang asasi. Sesiapapun memerlukan kepuasan dan pemenuhan ke atas kemahuan fizikalnya dengan cara makan dan minum. Begitu pula manusia memerlukan ketenangan dengan memenuhi naluri yang dimilikinya. Naluri untuk berkasih sayang, melestarikan jenis (gharizatun nau’) jika tidak diatur dengan baik, benar, adil dan sempurna akan mengakibatkan kerosakan akhlak (masalah sosial) dengan merebaknya kes-kes rogol, homoskes, lesbian, pergaulan bebas. Begitu pula dengan naluri mempertahankan hidup (gharizatul baqa’) jika tidak diatur dan dilindungi maka menyebabkan banyaknya kes-kes seumpama penderaan, pergaduhan, permusuhan, penganiyaan dan pembunuhan berlaku. Sama akan halnya apabila Naluri mencintai harta benda (hubbut tamalluk) tidak dijamin dengan aturan yang adil dan sempurna maka berlakulah kecurian, rompakan dan penyelewengan.

Pendek kata, tindakan kejahatan manusia umumnya didorong oleh kelemahan memenuhi tuntutan unsur asasi yang telah di nyatakan tadi. Ramai orang melakukan pencurian, rompakan, pembunuhan bahkan perkosaan akibat daripada tekanan ekonomi dan tidak terpenuhi keperluan asasi tadi. Sistem pengagihan kekayaan yang tidak seimbang menyebabkan jurang kemiskinan yang tinggi. Sehingga menyebabkan kepada kenaikan kadar pengangguran dan kesukaran mendapatkan sumber rezeki yang halal. Hal ini menggalakkan seseorang melakukan tindakan jenayah, Sistem peraturan yang bebas tanpa batas, bahkan tiada peraturan sama sekali akan meningkatkan lagi keruntuhan moral sehingga kes perkosaan serta masalah salah-laku seksual berlaku dengan peningkatan yang membimbangkan. Selain itu pelbagai bukti lain juga dapat dikesan.

Berdasarkan paparan yang telah dinyatakan tadi, kita boleh memahami bahawa tindakan jenayah berkait rapat dengan pemenuhan keperluan-keperluan fisikal mahupun naluri kemanusiaan. Maka, tepat jika kita bertanya, adakah sistem pemecahan terhadap keperluan fizikal manusia dan naluri telah sempurna atau belum? Lantas, hak siapa yang layak dalam menentukan sistem yang mengatur kehidupan manusia dengan sempurna dan adil?

Sistem Yang Adil Hanyalah Sistem Dari Allah SWT

Allah SWT adalah Al-Khaliq (Sang Pencipta) yang mencipta manusia dan seluruh makhluq. Dialah yang menentukan keperluan fizikal dan naluri manusia. Dialah Zat yang tidak memerlukan kepada sesuatu apapun. Dialah Zat yang memberikan pilihan kepada manusia untuk menentukan sistem apa yang harus dipilih oleh manusia samada sistem yang telah dicipta oleh Allah SWT atau sistem yang dibuat oleh manusia sendiri? Allah SWT berfirman: "Dan kami telah menunjukan kepadanya dua jalan." (QS. Al-Balad:10)

Untuk menentukan pilihan itu Allah SWT menganugerahkan manusia dengan akal agar mampu memahami sesuatu, membezakannya serta memilih. Akal manusialah yang mampu memahami sesuatu, apa jua alasannya jika manusia yang membuat peraturan, tentu si pembuat aturan tidak akan membuatkan kerugian buat dirinya ataupun keluarganya, atau suku mahupun bangsanya. Akal manusia dapat merasakan bahawa peraturan yang di buat oleh manusia banyak kelemahannya. Manusia di antara satu dengan yang lain, memiliki banyak perbezaan dalam menentukan yang mana betul dan salah. Begitu jua dalam menentukan sesuatu yang terpuji dan tercela. Akal manusia pula akan memastikan bahawa Zat yang paling layak untuk membuat sistem atau peraturan berkaitan dengan kehidupan manusia, baik berkenaan dengan keperluan fizikalnya ataupun keperluan nalurinya, bahkan berhak menentukan sistem hukuman yang dikenakan terhadap perlanggaran peraturan hanyalah daripada Al Khaliq, iaitu Allah SWT. Firman Allah SWT: "Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya." (Al Mukminun: 71) Inilah yang akan berlaku dan pasti berlaku sekiranya manusia yang dipenuhi kekurangan dan kelemahan ini membuat peraturan mengikut hawa nafsunya dan kepentingannya semata.

Penyelesaian Islam

Islam merupakan sistem yang integral dan global. Di sebalik kesempurnaannya aturan Islam juga saling berkait antara satu dengan yang lain. Islam tidak boleh di ambil hanya dalam sistem pengadilan hukuman (‘uqubat) untuk mengatasi tindakan kejahatan atau mengambil sistem ekonominya sahaja untuk memperolehi kemajuan ekonomi atau mengadoptasikan sistem sosialnya sahaja dalam rangka untuk mencegah kejatuhan nilai akhlaq dan kerosakan moral masyarakat. Islam harus di praktikkan secara global agar unsur-unsur yang dapat menyebabkan timpangnya masyarakat dapat di atasi. Dengan kata lain, sistem Islam haruslah diterapkan dan dilaksanakan secara menyeluruh dan bukannya sedikit demi sedikit (tadarruj) seperti mana yang disebut sebagai proses Islamisasi.

Sesungguhnya untuk memenuhi keperluan hajat fizikal manusia, Islam telah menentukan sistem ekonomi yang bertumpu kepada strategi pengagihan kekayaan yang di jamin melalui nas Al Quran dan As Sunnah. Sistem pemilikan pun telah di atur sehingga jelas yang mana termasuk pemilikan individu dan yang mana pemilikan masyarakat mahupun negara. Di samping itu, jaminan tentang keperluan masyarakat itu ditanggung oleh negara sebagai pilihan terakhir bilamana hal ini telahpun direalisasikan. Dapat dikaji dari realiti yang berlaku selama ini bahawa faktor-faktor daripada tekanan ekonomilah yang menyebabkan terjadinya peningkatan kadar jenayah, dan ia hanya dapat di atasikan dengan sempurna (masalah jenayah) dengan kembali kepada sistem ekonomi Islam.

Dalam sistem sosial, Islam telah menentukan; sistem perkahwinan, pergaulan lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian wanita muslimah, memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan pelecehan bahkan perkosaan.

Sedangkan dalam menata peradaban manusia, Islam memiliki perkara-perkara yang ditetapkan yang menjadi hak Allah SWT dan bukan hak yang diberikan kepada manusia. Ini meliputi:

  1. Memelihara keturunan dan nasab. Bahkan Allah menentukan hadd zina (hukuman pelaku zina) dengan rejam.
  2. Memelihara akal agar manusia tetap memiliki dan menggunakan akal yang dengan sihat, sehingga Allah SWT menentukan hadd minum khamr dengan disebat sebanyak 40 kali sebatan.
  3. Memelihara kehormatan dan martabat manusia, maka Allah SWT telah menetapkan hukuman bagi seseorang yang memfitnah dan mencemarkan aib seseorang dengan hadd qazaf, iaitu; di sebat dengan 80 kali sebatan.
  4. Memelihara jiwa, Allah SWT telah menetapkan hukuman bagi seseorang yang membunuh dengan Qisas, iaitu hukum bunuh balas. Tetapi sekiranya keluarga mangsa pembunuhan memaafkannya maka, pembunuh akan dihukum dengan pembayaran diyat yang amat berat.
  5. Memelihara harta, Allah SWT telah menetapkan hukuman potong tangan terhadap pencuri.
  6. Memelihara agama, Allah SWT telah menetapkan juga hukuman bunuh terhadap muslim yang murtad (bilamana ia tidak bertaubat dalam masa yang di tentukan).
  7. Memelihara keamanan dan kesejahteraan, hukuman memotong tangan dan kaki secara bersilangan (disalib) telah di tetapkan oleh Allah SWT terhadap sekumpulam individu yang mengancam serta melakukan keganasan di dalam masyarakat.
  8. Memelihara negara, Allah SWT telah menentukan hukuman bagi sekumpulan individu yang melakukan pemberontakan terhadap negara (yang telah mengamalkan sistem Islam) dengan hadd bughat iaitu memeranginya ataupun dengan membunuhnya.

[Lihat Diraasatul fil fikri Islami. Muhammad Hussein Abdullah, hal 44]

Apabila si pembunuh menerima keadaan yang sama iaitu hukuman bunuh balas, manakala orang yang telah melakukan pemerkosaan akan menerima hukuman mati (bagi penzina muhson/yang sudah beristeri), bagi pemabuk pula hukuman sebat sebanyak 40 kali sebatan, si pencuri akan dipotong pergelangan tangannya, yang melakukan keganasan dan perompakan pula akan disalib bersilangan tangan dan kaki sehingga mati, maka masih adakah orang yang berani melakukan tindakan jenayah dan kejahatan? Tentu kejahatan yang berlaku akan menurun, dan hanya orang yang bodoh sahaja yang akan melakukan tindakan jenayah dan kejahatan sewaktu Islam telah diterapkan dan dilaksanakan sepenuhnya di dalam kehidupan.

Apakah cukup dengan sistem hukuman dan pengadilan yang telah Allah SWT turunkan ini sahaja untik mencegah tidakan jenayah itu? Tentu sahaja jawaban adalah tidak cukup. Allah SWT telah menurunkan Syari’at Islam dari pelbagai aspek iaitu, walau sebesar manapun kejahatan yang telah dilakukannya yang pastinya mereka akan menerima azab siksaan yang amat menyeksakan akibat daripada perbuatan mereka iaitu azab Neraka. Na’uzubillah min zalik

Ratusan ayat-ayat Allah yang telah menjelaskan kepada kita dengan cara yang terpeinci gambaran yang telah diberikan oleh Allah SWT tentang bentuk penyeksaan, sehingga bagi kaum muslimin yang beriman terhadap adanya neraka gerun dan menggeletar kerana ketakutannya yang luar biasa, dibimbangi sekiranya dia akan dicampakkan oleh Allah kedalam siksa Neraka bilamana ia melakukan melakukan jenayah. Sebagaimana firman Allah SWT:

" Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarahpun, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Al Zalzalah: 8]

"Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun."

[Al Baqarah: 281]

Sistem Islam adalah satu yang amat wajar dan bersifat mencegah (preventif),[lihat Fikrul Islam, Muhammad Ismail, hal 55], yang mana ia telah menghuraikan sistem Islam dapat mencegah manusia dari melakukan tindakan kejahatan sebab, bilamana ia melakukan juga kejahatan itu dia akan berhadapan dengan masyarakat dunia, negara dan sistem hukuman Islam yang sangat keras. Di akhirat kelak ia akan menghadapi azab Allah SWT yang sangat pedih lagi menyeksakan.

Kesempurnaan serta betapa adilnya system Islam telah mendorong seorang sahabat Rasulullah saw yang bernama Ma’iz Al Aslami telah mendatangi Rasulullah saw untuk ‘di sucikan’ (dikenakan hukuman di dunia) yang mana ia telah melakukan dosa iaitu berzina. Ini terjadi di sebabkan dorongan rasa takut ke atas azab Allah di akhirat nanti lebih pedih dan amat keras.

Khatimah

Sejarah telah membuktikan bahawa sistem Islam yang telah diterapkan pada zaman pemerintahan Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab ra. Berjaya menghapuskan jenayah yang ada. Ini dapat dibuktikan melalui rekod jenayah yang di laporkan. Begitu juga di dalam pemerintahan khalifah yang lain di mana apabila sistem Islam diterapkan sepenuhnya kadar jenayah amat sedikit.

Maka menjadi keazaman bagi kita untuk mengembalikan kehidupan Islam untuk melanjutkan kehidupan Islam sepertimana yang telah dilalui oleh umat terdahulu (zaman sebelum runtuhnya kekhilafahan) dengan menegakkan kembali Daulah Khilafah minhaj an nubuwwah di muka bumi ini. Daulah inilah yang akan menaungi umat islam di manapun mereka berada di bawah seorang khalifah yang satu. Bila mana ini tercapai maka pada saat itulah Islam akan kembali sebagai kuasa yang cukup ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuhnya. InsyaAllah.

Apa yang berlaku saat ini, umat Islam masih tetap berada di bawah pemerintahan penghukuman di luar sistem Islam , masing-masing berada di bawah kekuasaan sistem buatan manusia yang penuh dengan kebatilan dan kerosakan. Padahal sistem inilah yang menyebabkan meningkatnya kadar jenayah secara kualiti mahupun kuantitinya.

"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah." [Al Maidah:50]