Make your own free website on Tripod.com

NASIONALISMA: PUNCA UMAT ISLAM BERPECAH BELAH

 

Sejak beberapa minggu lepas telah ditimbulkan isu perpecahan di kalangan ‘orang-orang Melayu’ di Malaysia. Pelbagai faktor perpecahan ditampilkan oleh pelbagai pihak mengikut kepentingan masing-masing. AJ keluaran ke-13 tidak bermaksud untuk mengupas isu ini namum ingin membawa para pembaca untuk melihat perpecahan yang lebih besar iaitu perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Yang pasti perpecahan ini ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuklah kuncu-kuncu mereka di kalangan umat islam sendiri.

Realiti Nasionalisma

Dalam abad ke 18 dan 19, ketika benua Eropah sedang mengalami zaman ‘intelektual’ yang mendewa-dewakan pemikiran manusia, pelajar-pelajar Muslim mula membanjiri Eropah dan terpedaya dengan hujjah-hujjah sarjana Eropah yang membincangkan asal usul dan ciri-ciri tamadun. Idea-idea nasionalisma dibincangkan dengan meluas di kalangan pemikir-pemikir Eropah pada masa seperti itu seperti isu bangsa manakah yang paling tulen?, kesusasteraan bangsa manakah yang paling hebat? atau negara manakah yang merupakan negara bertamadun yang tulen?. Di antara pemikir-pemikir Eropah yang menonjol ialah Rousseau, Voltaire, Adam Smith dan Montesquieu. Rousseau berpendapat kesetiaan paling baik ialah kecintaan terhadap negara sendiri yang merupakan asas nasionalisma. Rakyat pada pendapatnya mesti dididik tentang kelebihan dan kebahagiaan semangat patriotik. Idea-idea ini berjaya mempengaruhi orang-orang Islam yang meraba-raba untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi mereka ketika itu. Di antara mereka yang terpengaruh ialah Sheikh Muhammad Abduh (Mesir), Mustafa Kamal (Turki) dan Zia Golkap (Turki). Penjajahan wilayah umat Islam oleh kuasa-kuasa Eropah telah membolehkan kuasa-kuasa Eropah mewujudkan institusi-institusi politik dan pendidikan seperti di Lubnan, Mesir dan Syria untuk mengembangkan idea-idea mereka yang bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Hasil-hasil pemikiran Voltaire, Rousseau dan Montesquieu boleh didapati di perpustakaan-perpustakaan wilayah umat Islam sejak 1816 lagi. Idea-idea itu masih lagi kekal dianuti oleh sebilangan besar umat Islam dan malangnya merekalah yang memimpin umat Islam seperti Benazir Bhutto, Yaser Arafat, Gadafi dan Saddam Husin.

Orang-orang Eropah menggunakan pelbagai cara untuk menyemai benih-benih keraguan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Salah satu kaedah yang digunakan ialah dengan memesongkan fakta sejarah. Pemikir-pemikir Eropah berpendapat jika orang-orang Islam boleh diperdayakan bahawa kerajaan Islam adalah zalim dan tidak bermoral, mereka boleh mempengaruhi orang-orang Islam bahawa jalan penyelesaiannya ialah mencari alternatif baru bagi menggantikan Islam. Pemikir-pemikir Eropah mengemukakan gagasan seperti demokrasi, kapitalisma, kebebasan (freedom), sosialisma dan komunisma kepada umat Islam. Kaedah ini digunakan ketika Napoleon (Perancis) menjajah Mesir dan seterusnya beberapa orang penulis sejarah Muslim seperti Abdul Rahman ibnu Hasan al-Jabarti (1756-1825) mengubah fakta sejarah untuk disesuaikan dengan aliran pemikiran Eropah yang kononnya bertamadun. Karya Abdul Rahman penuh dengan cerita tentang penderitaan orang-orang Mesir yang kononnya disebabkan oleh dasar-dasar Islam. Sheikh Muhammad Abduh (Mesir) pula mengarang kitabnya ‘Tafsir al-Manar’ yang mengandungi tafsiran-tafsiran yang menyeleweng yang dilakukan untuk disesuaikan dengan corak pemikiran Eropah. Idea-idea Eropah hari ini telah sebati dengan ramai umat Islam malah pemimpin pergerakan Islam seperti Rashid Ghanushi (Tunisia) yang memperjuangkan idea Islam adalah sebati dengan demokrasi turut memperjuangkan idea-idea ini sebagai cara untuk mengembalikan kebangkitan umat Islam. Tokoh-tokoh orientalis Eropah sengaja mewujudkan permusuhan antara orang-orang Arab dengan bangsa bukan Arab yang beragama Islam. Kuasa-kuasa Eropah menghasut rakyat negara Islam yang berada di bawah naungan Khilafah Usmaniyah yang berpusat di Turki dengan membangkitkan nasionalisma Arab, Kurd, Farsi, Armenia, Greek dan sebagainya untuk menentang kerajaan Islam yang dipimpin oleh Khalifah berbangsa Turki. Bangsa Turki seperti Mustafa Kamal pula diapi-apikan dengan semangat nasionalisma Turki yang kononnya serumpun dengan bangsa Eropah yang bertamadun dan dihasut supaya membenci bangsa Arab dan membenci Islam yang disampaikan melalui Nabi Muhammad (SAW) berbangsa Arab dan Quran dalam bahasa Arab. Tidak hairanlah selepas Mustafa Kamal merampas kuasa di Turki, beliau mengisytiharkan secara rasmi dalam tahun 1924 bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang lapuk dan perlu digantikan dengan peradaban Eropah yang kononnya canggih dan beliau dengan rasminya mengumumkan bahawa kerajaan Islam sudah tidak wujud lagi dan Turki dijadikan sebuah negara bangsa berdaulat. Beliau juga memaksa azan dilakukan dalam bahasa Turki, memaksa penggunaan topi Eropah, melarang umat Islam di Turki dari mengerjakan haji, menukar tulisan Turki yang asalnya menggunakan huruf-huruf Arab, memberi kebebasan kepada wanita termasuk untuk mendedahkan aurat mereka, melarang sejarah kegemilangan kerajaan Islam yang lepas daripada didedahkan kepada orang ramai dan juga mewasiatkan bahawa selepas kematian beliau, Turki hendaklah dipimpin oleh British.

Umat Islam dihasut bahawa Islam adalah panduan lapuk yang turun lebih seribu tahun dahulu kepada orang-orang Badwi yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman moden. Pemimpin-pemimpin boneka British dan Perancis seperti Keluarga Ibnu Saud yang memerintah Arab Saudi (sepatutnya bernama wilayah Hijaz dan Najd tetapi diubah kepada Arab Saudi yang bermaksud wilayah milik keluarga Ibnu Saud) mengikut telunjuk tuan mereka dengan mengemukakan nasionalisma yang mencerminkan identiti bangsa dan negara mereka. Idea-idea nasionalisma ini juga berkembang ke Rantau Melayu dan memukau intektual-intelektual Melayu. Akibatnya, rakyat negara Islam mula memberontak untuk menubuhkan kerajaan berasingan yang dipimpin oleh bangsa sendiri. Inilah yang menyebabkan tertubuhnya negara-negara seperti Syria, Mesir, Lubnan, Jordan dan sebagainya yang asalnya bersatu di bawah satu kepimpinan Islam.

Racun nasionalisma masih lagi digunakan oleh kuasa-kuasa barat pada hari ini untuk melumpuhkan perpaduan umat Islam. Di Irak, kuasa-kuasa barat ingin melihat Irak berpecah belah menjadi 3 buah negara masing-masing dipimpin oleh Saddam, puak Shiah dan bangsa Kurd. Di selatan Sudan, puak Kristian yang diketuai oleh John Garang melancarkan pemberontakan ke atas umat Islam. Di Malaysia, kuasa-kuasa barat pernah menghasut orang-orang Sabah supaya keluar dari Malaysia dan menubuhkan negara sendiri (dan banyak kes lain lagi). Di Indonesia, penduduk-penduduk di Timur-timur dihasut supaya menubuhkan kerajaan berasingan yang didalangi oleh Portugis. Di Filipina, Amerika menghasut kerajaan Filipina supaya memberi kuasa autonomi terhad kepada Nor Misuari yang dilantik menjadi gabenor boneka supaya umat Islam di Filipina melupakan hasrat mereka untuk bersatu padu dengan umat Islam di seluruh dunia di bawah satu kepimpinan.

Pendidikan sekular: Mangkin kepada Nasionalisma

British dan Perancis menubuhkan sekolah-sekolah yang mengembangkan pendidikan sekular yang mana Islam dihadkan kepada perkara-perkara ‘ritual’ sahaja seperti sembahyang, mengerjakan haji, menyambut Hari Raya dan sebagainya tetapi dalam bidang seperti politik, ekonomi dan sosial, Islam dipinggirkan dan diganti dengan sistem buatan manusia. Lulusan-lulusan sekolah ini kemudiannya menjadi pemimpin umat Islam. Di Syria, Perancis menubuhkan sekolah-sekolah dan biara-biara Kristian. Dalam abad ke 18, pendidikan Kristian lazimnya dilaksanakan oleh Perancis dan Itali. Pendidikan Kristian di Aleppo, Syria, menimbulkan minat yang mendalam dalam bahasa dan kesusasteraan Arab. Sekolah-sekoleh mubaligh Amerika seperti di Lubnan menggabungkan budaya Arab dengan falsafah Barat. Salah sebuah sekolah terkemuka di Syria, al-Madrasah al-Wataniyah (Sekolah Kebangsaan) diwujudkan oleh Butrus al-Bustani yang datang dari puak Maronit Kristian. Konsep Sekolah Kebangsaan di Syria (yang serupa dengan sekolah kebangsaan yang diwujudkan oleh British di Asia dan Afrika) bertujuan menyampaikan pendidikan ‘hubbul watan’ (cintakan tanahair). Di Mesir, Rifaa Badawi al-Tahtawi (mati 1873) mempopularkan idea ‘wataniah’ (cintakan tanahair) dan sekularisma. Istilah ‘watan’ merujuk kepada kawasan geografi yang terhad dan mengenepikan perpaduan umat Islam yang berlainan bangsa dan kedudukan geografi. Tahtawi berpendapat punca kecintaan kepada tanahair adalah kebebasan (freedom) dan markas bagi mengembangkan ideologi buatan manusia ialah Mesir. Mengikut idea ini, orang-orang yang menjadi penghuni tanahair yang sama adalah bersaudara tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Ini bercanggah dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam bersatu padu atas dasar keimanan kepada Allah SWT dan RasulNya dan bukan atas dasar bangsa, negara, bahasa, kebendaan dan lain-lain yang sempit lagi kolot. Sesetengah puak nasionalis ini memutarbelitkan ayat al-Quran dan hadis yang kononnya Islam menyokong semangat nasionalisma walhal Islam menyelar sikap berpuak-puak dan perkauman yang menyebabkan manusia berpecah belah dan bersengketa antara satu sama lain.

Peringatan

Perang Dunia Pertama, Revolusi Arab dan akhirnya kehancuran Khilafah Usmaniyah dalam Mac 1924 sepatutnya mengingatkan kita tentang peristiwa-peristiwa lampau yang malang. Kita sepatutnya memahami kesan dan akibat dari peristiwa-peristiwa itu dan faham tentang peranan kuasa Eropah seperti Perancis dan Britain dalam menghancurkan perpaduan umat Islam. Kajian secara kritikal tentang peristiwa-peristiwa lampau dan masa kini menunjukkan kita tinggal dalam dunia yang mengamalkan sikap permusuhan terhadap umat Islam dan mereka bersembunyi di sebalik topeng keamanan, Bangsa-bangsa Bersatu, demokrasi, kebebasan (freedom, liberty), keadilan dan hak asasi manusia untuk melindungi kepentingan kebendaan mereka terhadap kebangkitan umat Islam.

Aspek menyayat hati dalam Perjanjian Sykes-Picot yang dipersetujui oleh British dan Perancis ialah pembahagian wilayah umat Islam di Timur Tengah. Britain dan Perancis bersetuju untuk memecahbelahkan umat Islam dan dibahagikan antara satu sama lain. Contohnya, Perancis memerintah Syria manakala British memerintah Irak. Pembahagian ini dilakukan walau pun ia tidak disukai oleh penduduk-penduduk di kawasan itu dan ia merupakan punca yang menyebabkan berlakunya konflik di wilayah umat Islam seperti di antara Irak dan Kuwait. Kuwait pada asalnya terletak di wilayah Basrah tetapi dipisahkan oleh British dan diberi kemerdekaan untuk dipimpin oleh boneka British, keluarga as-Sabah dalam tahun 1962. Bangladesh dipisahkan daripada Pakistan dalam tahun 1971 dengan disokong oleh Kerajaan India yang menerima bantuan Barat. Singapura dipisahkan dari Malaysia dalam tahun 1965 atas desakan Lee Kuan Yew yang menerima arahan dari White House.

Khatimah

Kuasa Barat yang tidak pernah duduk diam dengan mudahnya dapat mengeksploitasi umat Islam kerana mereka telah berpecah belah menjadi lebih dari 50 buah negara sekular. Islam disempitkan sebagai prinsip-prinsip akhlak dan nilai-nilai murni/mulia dan sistem demokrasi dijadikan sistem politik. Sesetengah pemikir-pemikir Islam terpengaruh dan terikut-ikut dengan idea negara-bangsa dan mengkritik idea penyatuan umat Islam di bawah satu kepimpinan yang dituntut oleh Quran dan Sunnah. Contohnya, Fazlur Rahman, seorang pemikir Islam kontemporari menekankan bahawa matlamat Perpaduan Politik Islam tidak sesuai dengan keadaan geografi negara bangsa yang terhad lagi merdeka di dunia ini. Inilah warisan dan kejayaan musuh-musuh Islam dalam memporak perandakan umat Islam.

Hanya satu jalan penyelesaian yang harus ditempuh oleh seluruh kaum muslimin di manapun mereka berada untuk bersatu kembali dan seterusnya menyelesaikan segala permasalahan umat yang lainya. Apakah dia jalan itu ? Kaum muslimin haruslah menambahkan tsaqafah Islam dengan lebih mendalam dan melibatkan diri dengan gerakan yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh dengan membawa fikrah dan thariqah yang jelas tanpa mengenal batasan geografi. Umat Islam juga seharusnya mengikis kesemua habuk-habuk pemikiran sekularisma dan menjauhkan diri dari berjuang di dalam medan yang diciptakan oleh musuh-musuh Islam seperti demokrasi dalam apa bentuk sekalipun. InsyaAllah kejayaan yang hakiki sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah pasti akan dimiliki.

"Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan (membawa) petunjuk dan agama yang haq, agar Dia memenangkan agamanya ke atas agama-agama yang lainnya" [At Taubah:33/ Al Fath:28/ As Shaf:9]

 

International Islamic and Development Studies