Persepsi Berbahaya Untuk Menghentam Islam:

Suatu Pendahuluan

 

Islam sebagai ideologi yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW 1420 tahun yang lalu telah membawa sinar kesejahteraan bersamanya yang menyinar ke seluruh alam ini. Realiti dan faktanya telah terbukti dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun termasuklah musuh-musuh Islam itu sendiri. Pelbagai usaha dan upaya cuba dilakukan oleh pihak kuffar untuk memudarkan/menghilangkan sinar Islam ini dari muka bumi. Setelah usaha secara fizikal gagal meraih sebarang kejayaan, mereka telah mengalihkan serangan mereka kepada serangan pemikiran dan kebudayaan bagi mencapai hasrat mereka. Apa yang dapat diperhatikan saat ini usaha ini telah membuahkan hasil dan ini memberikan mereka suatu keyakinan untuk terus berusaha gigih mencapai hasrat mereka walaupun terpaksa membelanjakan modal yang tinggi. Atas kesedaran dan rasa kewajipan yang ada maka Al Jawahir melalui edisi mingguannya akan cuba untuk menjelaskan beberapa usaha musuh-musuh Islam ini untuk menghentam Islam dan mengukuhkan peradaban mereka ke atas kaum muslimin melalui penciptaan Persepsi-persepsi berbahaya.

Pendahuluan

Pertarungan antara kebaikan dan kejahatan atau antara haq dan batil adalah satu sunnatullah dalam kehidupan. Ini kerana Allah dengan hikmahNya berkehendak menjadikan pertarungan yang terjadi di antara manusia dan saling menolak keganasan sebagai salah satu faktor untuk menampakkan yang haq dan yang baik serta menghancurkan yang batil dan yang jahat. Allah SWT berfirman:

"Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dari sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini" [Al Baqarah:251]

"Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gerreja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah". [Al Hajj:40]

Rasulullah SAW dan para sahabatnya terjun dalam perseteruan pemikiran (ash shira’ul fikri) dan perjuangan politik (al kifahus siyasi) melawan orang-orang musyrik dalam rangka mendirikan Daulah Islamiyah. Seiring dengan itu, Baginda SAW turut terjun dalam pertarungan berdarah/jihad (ash shira’ud damawi) setelah berdirinya Daulah Islamiyah demi untuk menyebarkan Islam sebagai risalah kebajikan dan petunjuk kepada seluruh manusia. Sejak dari itu, orang-orang kafir senantiasa membuat pelbagai tipu daya terhadap negara ini di sepanjang masa. Pelbagai cara yang ditempuh oleh golongan ini samada melalui aksi fizikal (seperti yang dilakukan oleh oleh bangsa Moghul, kaum salibis dan kafir Sepanyol) mahupun aksi yang mengarah kepada serangan pemikiran dan kebudayaan (tsaqafah) (seperti yang dilakukan oleh kaum zindiq serta para misionaris dan orientalis) dengan tujuan untuk menjatuhkan dan melemahkan kekhilafahan yang ada sebagai institusi pelaksana ajaran Islam dalam kancah kehidupan dunia, di bawah kepimpinan Khalifah.

Pada perang Dunia I mereka berhasil mewujudkan sasaran tersebut. Mereka telah meruntuhkan negara Khilafah dan mengusir Khalifah, memecah belah negeri-negeri Islam menjadi negara-negara boneka yang kerdil dan menerapkan hukum-hukum kufur serta sistem ideloginya di sana. Mereka menyangka bahawa dengan segala upayanya itu telah berhasil menghapuskan Islam dalam jiwa kaum muslimin.

Namun demikian ternyata umat Islam di bawah bimbingan putera- puteri nya yang mukmin, sedar dan ikhlas, kini telah kembali menempuh jalan menuju kebangkitan. Negara-negara kafir pun tersedar, bahawa kekuatan Islam ternyata tidak terbatas hanya pada Khilafah sebagai institusi pelaksana Islam sahaja . Begitu pula usaha mereka untuk mencemari fikiran sebahagian kaum muslimin yang berjiwa lemah dengan kebudayaan (tsaqafah) barat, ternyata tidak juga terhasil angan- angan mereka.

Setelah mengadakan evaluasi dan pengkajian, mereka telah sampai kepada satu kesimpulan bahawa kekuatan Islam dan umatnya sesungguhnya berada di balik aqidah Islamnya berserta dengan pemikiran-pemikiran yang terlahir daripadanya. Hal ini kemudian mengharuskan mereka mengulangkaji strategi yang mereka tempuh untuk lebih dikembangkan lagi. Tujuannya adalah untuk negra-negara kafir, dengan institusi-institusi rasmi dan agen-agennya daripada kalangan penguasa dan intelektual, dapat menjalankan misinya untuk memusnahkan Islam. Caranya adalah dengan menghapus aqidah islamiyah sebagai Aqidah siyasiah (Dasar Sistem Politik) kemudian menggantikannya dengan aqidah sekularisme, iaitu pemisahan agama dari kehidupan. Mereka pun mulai melontarkan dan menerima pakai pelbagai pemikiran untuk mewujudkan tujuan tersebut. Seperti nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, hak asasi manusia, kebebasan dan politik pasaran bebas.

Kemudian mereka melontarkan pemikiran-pemikiran lain yang disertai dengan aksi-aksi, seperti dialog antara agama dan peradaban, perbincangan tentang anak-anak cucu nabi Ibrahim AS melabelkan Islam sebagai predikat terorisme, fundamentalisme dan ekstrimisme.

Penulis merasakan berkewajipan untuk menjelaskan hakikat lontaran-lontaran ini serta bahayanya kepada umat Islam, agar umat Islam menyedarinya dan dapat mengambil sikap yang syar’i terhadapnya apatah lagi dalam usaha mengembalikan Islam ke dalam realiti kehidupan (sebagai ideologi yang global dan sistem politik yang akan diterimapakai dan diterapkan oleh negara Khilafah kepada seluruh umat manusia) merupakan satu perkara yang diyakini adanya secara pasti. Bukan hanya umat Islam yang berjuang semata-mata tetapi juga seluruh umat Islam dan bahkan oleh musuh-musuh Islam yang tak henti-hentinya melakukan persekongkolan terhadap Islam dan kaum muslimin.

Penulis akan membahas pemikiran-pemikiran ini dengan menerangkan bahaya dan kekeliruannya. Pemikiran-pemikiran itu harus dipandang bukan hanya sebagai suatu yang harus difahami, atau hanya sebagai kerancuan yang harus ditolak, melainkan juga sebagai salah satu usaha tipu daya Barat yang kafir di bawah pimpinan Amerika, Inggeris, dan Perancis untuk menghentam Islam dan para aktivis yang mengembalikan Khilafah, bahkan untuk menghentam negara Khilafah itu sendiri ketika ia diistiharkan tertegaknya nanti, Insyallah.

Oleh kerana itu, pelbagai pemikiran dan aksi negara-negara kafir itu harus dibongkar secara tuntas,agar kaum muslimin menyedari apa yang diingini oleh musuh Islam terhadap mereka serta menyedari pelbagai tipu daya terhadap agama mereka. Dengan demikian kaum muslimin akan semakin teguh berpegang kepada Islam dan semakin bersungguh-sungguh untuk berjuang mengembalikan Khilafah yang mengikut metod ( minhaj) kenabian dalam rangka menteladani Rasulullah saw, agar mereka berhasil mendirikan kembali khilafah dan melaksanakan hukum yang diturunkan Allah SWT. Sebagaimana firmanNya :

"Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya."[QS At Taubah:33]

Dan kami yakin sepenuhnya, jika kaum muslimin telah menunaikan kewajiban yang ditetapkan oleh Allah atas mereka, nescaya orang-orang kafir yang melakukan tipu daya terhadap Islam dan kaum muslimin itu akan kecewa dan gagal mencapai cita-citanya, akan merugi harta benda yang dibelanjakannya, dan akan padam segala pengaruhnya. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang kafir itu, menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan."

[QS Al Anfaal: 36]

 

 

International Islamic and Development Studies