Sesat yang Tersembunyi

Drama bukit Jenalek atau Peristiwa Sauk telahpun berlalu beberapa minggu lepas. Namun tempiasnya masih lagi terasa bahkan hangat diperkatakan. Bertitik tolak dari ini maka pihak berkuasa mengambil peluang yang sedia ada untuk terus memantau dan memperketatkan undang-undang terhadap sebarang pertubuhan atau pergerakan yang berdasarkan ‘Islam’. Samada dirancang atau tidak inilah natijah sebenar daripada peristiwa ini walaupun pada ‘kulit’nya usaha ini bertujuan untuk menghapuskan ajaran sesat di negara ini. Namun isinya adalah menghalang sebarang gerakan yang memperjuangkan Islam sebagai ideologi terus berkembang di kalangan ummat.

Realiti

Realiti yang banyak dipaparkan adalah salah satu dari pelbagai peristiwa ‘ajaran sesat’ yang di lihat secara am. Jelas bahawa paparan kisah-kisah ‘ajaran sesat’ ini adalah berkaitan dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Aqidah Islam. Mereka yang terlibat harus dikumpulkan kesemuanya dan diperintah supaya bertaubat. Mereka mesti diberi peringatan kembali tentang Aqidah Islam yang sebenar. Secara keseluruhan, mereka-mereka yang terlibat didapati semakin bertambah ramai di kalangan masyarakat, iaitu antara 300 hingga 400 pengikut setiap kumpulan (perangkaan daripada Jakim). Ini merupakan penyakit di dalam masyarakat yang mesti diubati dengan segera sebelum menjadi lebih parah. Sebagai umat Islam yang sayangkan Islam dan tidak rela melihat Islam disalah anggapkan, tidak rela melihat Deen Allah ini dipermainkan, maka perlulah kita melakukan sesuatu sebelum perkara ini menjadi lebih parah lagi.

 

 

Secara amnya, masyarakat hanya melihat ajaran-ajaran sesat yang mempunyai bentuk seperti diatas sahaja yang terdapat di kalangan mereka. Masyarakat menganggap bahawa jika sesuatu perkara itu bertentangan dengan pendapat umum , maka ia dianggap salah. Tidakkah mereka tahu bahawa pendapat-pendapat umum yang terdapat di dalam masyarakat itu mengandungi fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam? Masyarakat hanya memandang konsep ajaran sesat ini sebagai ajaran yang bertentangan dengan norma masyarakat dalam hal yang melibatkan aqidah Islam. Hanya ajaran-ajaran yang dipandang bertentangan dengan aqidah Islam dari segi ibadat-ibadat khusus dan ‘kemasyarakatan Islam’ sahaja yang dianggap sesat. Persoalan yang ingin dikupas oleh tulisan ini adalah apakah sebenarnya erti kesesatan dalam Islam? Pemahaman menyeluruh akan istilah ‘sesat’ ini adalah sangat penting dalam membina pemahaman yang betul dalam masyarakat terhadap Islam yang sudah pasti akan kemudiannya melahirkan masyarakat yang sedar dan mampu bangkit untuk kembali meletakkan kalimah Allah sebagai yang tertinggi.

Aqidah Islamiyyah

Perbahasan mengenai aqidah ini merupakan perbahasan yang terpenting jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Aqidah merupakan asas, landasan berfikir, tolok ukur dan ‘standard’ seseorang dalam memecahkan berbagai problematika kehidupannya di dunia. Dengan demikian aqidah menjadi landasan bangunan peradaban manusia, dasar tempat berbagai tonggak didirikan, tempat keluarnya berbagai peraturan, undang-undang, norma dan tata nilai masyarakat. Aqidah juga menentukan arah pandang, cita-cita dan tujuan yang dianut oleh para pemeluknya, diyakini kebenarannya, diperjuangkan, dipertahankan dan disebarluaskan ke seluruh penjuru dunia. Aqidah adalah jawapan kepada persoalan-persoalan utama di dalam diri seseorang manusia (al-uqdatul qubra); persoalan mengenai hubungan di antara manusia, alam dan kehidupan dan apakah yang menghubungkan ketiga-tiga unsur ini dengan sebelum dan selepasnya? Aqidah yang benar perlulah bersifat tasdiq al-jazim (pembenaran yang pasti), sesuai dengan realiti dan berdasarkan bukti dan dalil, samada dalil aqli (pembenaran akal) atau dalil naqli (pembenaran nas). Seseorang itu dikatakan ‘tersesat’ dari landasan aqidahnya apabila dia tidak lagi menggunakan aqidahnya sebagai tolok ukur segala perbuatannya.

Islam telah menjawab persoalan aqidah (al-uqdatul qubra) dengan tidak langsung meninggalkan ruang bagi sebarang keraguan. Islam menjawab persoalan tentang kewujudan Allah serta kebenaran Risalah Islam dengan pembenaran dari aqal (dalil aqli). Pembenaran Risalah Islam dengan aqal membawa kepada banyak lagi aspek aqidah Islamiyyah yang berasas kepada dalil-dalil naqli yang hanya boleh datang dari nas. Ini termasuklah mengimani perkara-perkara yang realitinya tidak dapat dijangkau oleh aqal seperti syurga dan neraka. Dalam hal ini, nas-nas tersebut perlulah qath’i (pasti). Ianya mestilah qath’i dari segi sumbernya dan qath’i juga dalam maknanya. Qath’i dari segi sumber bermaksud sumber dalil tersebut tidak ragu lagi ianya pasti datang daripada Allah dan Rasul. Al-Quran dan hadis mutawatir adalah dua sumber yang telah dibuktikan qath’i . Qath’i dari segi makna iaitu tidak ada sebarang percanggahan atau perselisihan dari segi maknanya. Makna yang jelas daripada dalil tersebut tidak membenarkan sebarang ijtihad dibuat dalam perkara aqidah.( Lihat Ikhwanul wa’ie, Luruskah Aqidah Anda?, Thariqul ‘Izzah, Jakarta, November 1991).

Syariat Islam tidak menerima ijtihad di dalam perkara aqidah. Ijtihad hanya terbatas di dalam perkara-perkara yang berkenaan dengan hukum syara’ sahaja. Diantara ayat-ayat daripada Al-Quran yang mengharuskan perkara aqidah ini mesti qath’i

"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran." (Yunus:36)

"Dan jika mereka menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta(terhadap Allah)." (Al-An’am:116)

Selepas menyelesaikan persoalan aqidah, dari aqidah juga akan lahir hukum syara’ yang bertujuan untuk menyelesaikan seluruh permasalahan manusia (pemerintahan, penghukuman, sistem sosial, pendidikan dan ekonomi) dalam bentuk hukum syara’ (rujuk Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani,Nizhamul Islam, Al Quds, 1953).

Aqidah Islamiyyah selepas pembenarannya dari dalil-dalil aqli dan naqli membawa maksud beriman kepada Allah, Kitab-kitabNya, Malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, Hari Kiamat dan al-Qadha wal-Qadar baik dan buruk itu datangnya daripada Allah swt. Aqidah Islamiyyah berpegang kepada Allah sebagai pencipta bagi segala sesuatu. Dialah yang mengutus Nabi dan Rasul dengan membawa DeenNya untuk seluruh umat manusia dan kelak manusia akan dihisab atas perbuatannya di hari Kiamat. Aqidah Islamiyyah merupakan kepimpinan ideologi (qiyadah fikriyyah), landasan berfikir (qaidah fikriyyah) dan aqidah politik (aqidah siyasiyah) umat Islam. Ini adalah kerana keseluruhan idea-idea, persepsi-persepsi, pandangan dan hukum-hukum yang terpancar dan tumbuh diatas aqidah Islamiyyah terkait dengan kedua-dua urusan dunia dan akhirat. Setiap pemikiran dan perbuatan seseorang muslim itu wajib didasarkan 100% kepada aqidah Islam dalam bentuk mentaati fikrah dan hukum-hukum Islam tanpa sebarang penyelewengan.

Pembinaan aqidah merupakan usaha terawal Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah Islam. Rasulullah saw bukan hanya membina para sahabatnya dengan aqidah yang kukuh bahkan memberikan penekanan keatas ketaatan kepada apa yang Allah perintah dan segala larangannya. Para sahabat ketika itu tidak membantah walau sekelumit terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka.(lihat Ikhwanul wa’ie, Luruskah Aqidah Anda?, Thariqul ‘Izzah, Jakarta, November 1991).

Demikianlah perbahasan aqidah secara ringkasnya. Untuk kita benar-benar faham erti kesesatan, perlulah difahami terlebih dahulu persoalan aqidah. Ini bukanlah persoalan yang remeh. Ini meliputi seluruh aspek kehidupan kita. Persoalannya sekarang, setelah kita kenal apa erti aqidah Islam dan implikasinya keatas kehidupan kita sebagai seorang muslim, adakah kita pasti bahawa apa yang ada di dalam diri kita dan apa yang telah mempengaruhi amalan seharian kita itu benar-benar suci daripada fahaman-fahaman yang bukan datang dari aqidah Islam? Adakah apa yang kita fikirkan didalam benak kita itu masih selari dengan ajaran Islam yang sebenarnya ataupun telah ‘tersesat’?

Sekularisme

‘Secular’ didalam bahasa Yunani membawa maksud "luar daripada kuil". Ia menerangkan bahawa kehidupan rakyat tidak ada kaitan dengan agama. Empayar Rom mengangkat agama Kristian bukannya berdasarkan kebenaran agama itu ataupun kerana keupayaan agama itu untuk menyelesaikan masalah manusia ketika itu, ianya di angkat semata-mata oleh Konstantine pada 325 masihi untuk mengekalkan Empayar dengan mempergunakan agama.

Pada zaman pertengahan Eropah, gereja boleh dikatakan memegang tampuk kuasa pemerintahan dimana kebanyakan raja-raja yang memerintah di Eropah berada dibawah kekuasaan mereka. Penguasaan gereja bermaksud semua urusan harus diputuskan berdasarkan kepada kepercayaan gereja. Ini menimbulkan masalah kerana ajaran gereja selalunya tidak secocok dengan realiti alam nyata. Sedangkan pada masa itu ramai saintis barat yang pulang belajar dari Daulah Islam dan semakin mencetuskan banyak penemuan-penemuan saintifik dan bercanggah dengan ajaran gereja. Sebagai contoh, seorang tokoh sains Itali, Galileo, telah dipaksa untuk membuang kepercayaannya dan tulisan karyanya yang menyokong teori Copernicus yang menyatakan: "Matahari berada di tengah cakerawala" dan bukannya bumi seperti mana yang dinyatakan oleh pihak gereja. Banyak juga bukti yang menunjukkan beratus ribu wanita telah dibakar hidup-hidup atau mati lemas kerana dituduh sebagai ahli sihir.

Kesan penindasan yang sangat kuat ketika itu menyebabkan saintis, para pemikir dan ahli falsafah ketika itu seperti Voltaire dan Rousseau tersedar dan mereka telah membangkitkan masyarakat supaya sama-sama menyeru kepada pemisahan di antara gereja dan negara. Dan akhirnya revolusi rakyat tercetus pada abad ke 16 dan ke 17 masihi. Dan setelah menyedari bahawa institusi gereja tidak boleh bertahan lama, maka pihak gereja dan para ahli fikir telah bersetuju untuk memisahkan di antara agama dan urusan kehidupan masyarakat ketika itu. Dari sini kuasa gereja telah dihadkan kepada mendidik moral masyarakat, menjalankan fungsi-fungsi ibadat dan mengetuai adat resam, dan negara pula adalah diperintah oleh undang-undang manusia. Penyelesaian tolak ansur ini, yang juga dikenali sebagai sekularisma, adalah titik tolak terhasilnya ideologi kapitalisma. Pemisahan ini telah sempurna pada abad ke 18 masihi. Hingga kini, barat bertuankan sekularisma dalam setiap pemikiran dan perbuatan mereka. Ini adalah aqidah mereka.

Sekiranya kita berbalik kepada realiti umat pada masa kini, pemikiran dan perwatakan yang ditonjolkan oleh setiap individu muslim jelas menyamai apa yang telah dihuraikan diatas. Sedangkan Allah telah berfirman;

"Hai orang-orang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.." (Al-Baqarah :208)

dan firmanNya lagi; "...Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain ...." (Al-Baqarah :85)

yang menunjukkan pengharaman sekularisma.

Kerana kalau kita lihat apa yang berlaku didalam ummah sekarang ini, ketika hendak beribadat(solat, puasa, zakat, haji) dan berkahwin mereka kembali kepada Islam tetapi apabila hendak berurusan seharian samada jual-beli, urusan pinjaman, pergaulan, pendidikan, penghukuman dan lain-lain, mereka tidak merujuk kepada Islam. Maka tidak hairanlah sekiranya seorang imam di masjid yang biasa memberi ceramah tentang ajaran Islam tetapi apabila berurusan dengan perniagaan, terlibat dengan pinjaman bank yang jelas mempunyai ‘interest’ (riba) atau memiliki saham. Kita sudah tidak hairan melihat seorang wanita muslim yang bersolat di malam hari, tetapi tidak berpakaian secara Islami. Kita sudah tidak hairan apabila beratus-ratus individu muslim terlepas solat maghrib gara-gara sebiji bola sehingga ada yang sanggup mengeluarkan fatwa-fatwa bathil yang mengatakan solat maghrib boleh terus dijamak bersama solat Isyak! Nau’zubillahi min zalik.

Jadi jika kita perhatikan, terlalu banyak pandangan dalam masyarakat ini bahawa sesuatu kebathilan yang bertentangan dengan hukum Islam, sekaligus bertentangan dengan aqidah Islamiyyah, tidak dianggap sebagai ‘sesat’. Pandangan-pandangan yang nyata bertentangan dengan ayat-ayat Allah tidak dianggap sebagai ‘sesat’. Malah lebih dari itu, ada yang memperolok-olokkan penyelesaian-penyelesaian Islam dengan mengatakannya tidak moden dan kuno!!! Ini merupakan ‘trend’ kehidupan zaman kini. Cara hidup sebegini merupakan cara hidup yang dianggap sebagai norma hidup zaman moden. Norma hidup zaman kini sudah tidak berteraskan aqidah Islam lagi. Hidup kini hanya berteraskan sekularisma! Islam hanya tinggal sebagai satu agama yang hanya layak dibincangkan dalam masjid-masjid dan kalau dibincangkan sekalipun, hanya sekadar persoalan-persoalan ibadah khusus yang hanya merupakan sebahagian kecil kehidupan...bukan satu cara hidup yang boleh menyelesaikan seluruh masalah kehidupan. Ibadat kepada Allah bukan hanya dalam masjid, tetapi ibadat kepada Allah adalah erti kehidupan itu sendiri.

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Ku" (Adz-Dzaariyaat: 51)

Ini adalah tujuan hidup. Kehidupan hanya boleh dijadikan satu ibadat jika hukum Allah diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan. Malangnya aqidah Islam yang sepatutnya mendasari amalan umat telah dipotong dan diganti dengan sekularisma oleh penjajah. Mengapa pula ini tidak dikatakan ‘sesat’??

Perkara ini jelas dan nyata. Mana-mana ulama al mujtahid pun akan mengatakan cara kehidupan sebegini adalah bukan daripada Islam. Tetapi awaslah wahai umat Islam semua, jangan dirujuk ustaz-ustaz dan ulama-ulama yang hanya mementingkan periuk nasi mereka!! Mereka inilah yang telah banyak menyebarkan fahaman-fahaman sekularisma dan fahaman-fahaman asing yang dikaburi dengan kopiah dan serban serta perwatakan yang berkarisma. Sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Rasulullah saw seperti dalam riwayat berikut:

"Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik, maka akan baiklah masyarakat. Tetapi apabila keduanya rusak, maka akan rusaklah manusia itu. Kedua golongan manusia tersebut iaitu ulama dan penguasa" (HR. Abu Na’im)

Kita dapat melihat simptom-simptom penyakit sosial daripada pengambilan fahaman-fahaman yang jelas terkeluar daripada aqidah Islam ini: bohsia, bohjan, buang bayi, sumbang mahram, fenomena ketagihan pil ectacy, penagihan dadah yang membawa kepada kehancuran akhlak secara total...dan sebagainya sudah tidak dapat lagi dibendung. Setiap tahun kes-kes yang terlibat terus meningkat, walaupun pelbagai program telah dilaksanakan. Bahkan kes-kesnya semakin bertambah!!.Antara gejala lain: Individualisma (sikap mementingkan diri sendiri), hedonisma(hidup hanya mementingkan kenikmatan/hiburan semata-mata,tidak ada yang lain.). Semangat Individualisma yang di pegang oleh kebanyakkan daripada individu muslim terutamanya di bandar-bandar besar menyebabkan hubungan sesama muslim lebih kepada : "mind your own business" yang bermaksud "jangan jaga tepi kain orang" . Manakala fahaman hedonisma pula menyebabkan umat lebih bertumpu untuk mencapai keseronokan, kenikmatan, kemewahan yang total di dalam kehidupan, mahukan kereta besar, isteri yang cantik, kondominium yang hebat, dan duit yang banyak sementara ibadat hanya dilakukan sekali-sekala tatkala merasai diri sudah memikul dosa yang banyak.

Kedua-dua fahaman individualisma dan hedonisma ini juga adalah berpunca dan berakar-umbi daripada fahaman dominan umat masa kini, sekularisma. Inilah fahaman yang telah diterima pakai oleh Turki setelah institusi Khilafah diruntuhkan oleh Mustafa Kamal Pasha Attarturk (terkutuk) laknatullah alaih kafirun mubin. Akar umbi sekularisma ini mestilah dicabut dan digantikan dengan aqidah Islam yang sebenar agar umat kembali kepada ajaran-ajaran Islam yang sebenar.

Sedarlah bahawa fahaman sekularisma inilah yang menyebabkan umat masih lagi terlena dalam keadaan hina umpama akibat ubat bius yang telah menguasai hingga ke urat sarafnya sehingga tidak menyedari yang semua daging-dagingnya sedang dilapah oleh kuasa-kuasa kuffar laknatullah alaihim!!....ini adalah merupakan kesesatan yang nyata!!!

Khatimah

Daripada huraian diatas menunjukkan bahawa bukan sahaja fahaman-fahaman ajaran Tok Guru yang patut dilabelkan sebagai sesat, malahan pemikiran-pemikiran kufur seperti sekularisma, individualisma, hedonisma dan yang lainnya yang dianuti oleh individu muslim serta perilaku-perilaku dan perwatakan-perwatakan yang berasaskan pemikiran-pemikiran tersebut yang dibawa ke dalam kehidupan seharian juga adalah satu kesesatan; kesesatan yang tersembunyi... berwaspadalah!

Maka adalah sangat penting bagi umat Islam untuk menyedari perkara ini dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Kembalikanlah kehidupan cara Rasulullah SAW. Usahakanlah agar tertegak sistem Khilafah yang sangat dirindui lebih 74 tahun lamanya!! Hanya dengan Daulah Khilafah Islam dapat dijalankan dengan sempurna.

 

International Islamic and Development Studies