Antara Kebebasan Beragama dan Undang-undang Murtad

 

Hang Jebat, itulah nama yang dipaparkan di dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia, 21 September 2000. Kemunculan Hang Jebat sekali lagi dalam Utusan Malaysia pada kali ini bagaikan ‘Pendekar’ yang cuba menyebarkan pemikiran sesatnya ketika mengulas Isu Undang-undang Murtad yang sedang dalam peringkat terakhir yang bermatlamat untuk ‘membendung gejala murtad dan penyelewengan aqidah’. (Utusan Mingguan, 17 September 2000). Hang Jebat dalam kes ini seumpama seorang ‘Pendekar’ yang cuba menegakkan benang yang basah dengan mengatakan bahawa sebarang bentuk Undang-undang murtad adalah melanggar dan menodai hak asasi manusia untuk kebebasan fikiran dan beragama yang telah termaktub dalam Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia (HAM) dan diterima oleh PBB pada 10 Disember 1948. Hang Jebat juga telah mengambil dalil Al Quran (Tiada paksaan dalam beragama) untuk menyokong hujjahnya namun, tanpa disedarinya tindakan meletakkan dalil Al Quran itu memperlihatkan kecetekan pemahaman Hang Jebat dalam memahami nas Al Quran. Kemunculan AJ pada minggu ini bukanlah sebagai ‘Hang Tuah’ untuk membela pihak penggubal Undang-undang Murtad tersebut bahkan untuk memperjelaskan kepada kedua-dua pihak berhubung dengan isu yang telah ditimbulkan. InsyaAllah terbitan kali ini akan memfokuskan pembicaraan kepada realiti Kebebasan beraqidah, murtad, punca dan pandangan Islam berhubung permasalahan ini.

Kebebasan Beraqidah (Beragama)

Jika ditinjau dari segi ideologi, Kapitalisma adalah suatu ideologi yang tercetus hasil dari pergolakan antara para saintis, falsafah dan cerdikiawan lain dengan kerajaan gereja di Eropah pada kurun ke 16 kerana tidak berpuas hati ke atas kekejaman dan kejumudan kerajaan teokratik tersebut. Hasilnya mereka mengadakan resolusi untuk merampas kuasa dan mendirikan negara negara yang mendirikan ideologi kapitalisma. Ciri ciri ideologi kapitalisma ini ialah agama hanya dihadkan kepada perhubungan antara manusia dengan tuhan tetapi agama tidak masuk campur dalam perhubungan antara manusia dengan manusia lain dalam masyarakat. Agama hanyalah sebagai suatu unsur perhubungan peribadi diri seorang manusia dengan tuhannya. Dalam kehidupan masyarakat pula manusia ada beberapa kebebasan iaitu Kebebasan beraqidah, kebebasan bersuara, kebebasan Hak milik dan kebebasan bertingkah laku. Namun pada terbitan kali ini AJ hanya akan memfokuskan kepada Kebebasan beraqidah (beragama).

Kebebasan beraqidah, menurut orang kapitalis, ertinya manusia berhak untuk meyakini ideologi atau agama apapun dan berhak mengubah agamanya, bahkan berhak tidak mempercayai suatu agama sama sekali. Teriakan dan laungan kebebasan beragama bukan mencermikan ajaran Islam yang sebenar, kebebasan ini lahir dari masyarakat Eropah yang merasa tertindas lantaran sikap gereja yang berkuku besi terhadap masyarakat, kerana paderi-paderi ini telah dipergunakan oleh pemimipin mereka. Sikap menghisap darah raja-raja Eropah pada masa itu yang bertopengkan ajaran Kristian adalah penjana kepada Revolusi Perancis yang memperjuangkan kebebasan. Adakah kita sebagai Muslim (umat yang terpilih) ini sanggup bertindak sedemikian, memperjuangkan idea kebebasan tanpa usul periksa dari mana ia terbit?

Bahayanya Idea Kebebasan Dan Kesannya

Islam adalah cara hidup yang sempurna seperti yang digambarkan oleh Allah dalam surah Mai’dah ayat ke 3, ‘..pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu ..’ yang mana menerangkan bahawa Islam mempunyai sistem yang unik untuk menyelesaikan permasalahan manusia dulu, hari ini dan akan datang sehinggalah ke hari Qiamat.

Kebebasan beraqidah menyebabkan manusia boleh mempercayai apa sahaja yang mereka suka. Kebebasan inilah yang menyebabkan beberapa remaja di Mesir pada tahun 1996 telah mengambil bahagian dalam pemujaan syaitan (satanic worshipping) tetapi kemudiannya ditangkap. Kebebasan dalam berfikir juga telah menyebabkan manusia seperti David Koresh di Wako, Texas (tahun 1993) dan Reverand Jim Jones tahun 70an di Guyana mempercayai bahawa mereka adalah penyelamat kepada manusia lain dan kemudiannya mempunyai ramai pengikut tetapi akhirnya telah mengalami kebinasaan. Kebebasan ini juga telah memyebabkan munculnya beberapa kumpulan kumpulan bawah tanah yang mempunyai pemikiran yang ganjil dan boleh membahayakan masyarakat seperti apa yang berlaku di Jepun pada tahun 1994 seperti kemunculan Shoko Ashara (Doomsday Sect) yang meracuni penumpang-penumpang sistem kereta api bawah tanah Jepun dengan senjata kimia. Kebebasan inilah juga yang bertanggungjawab memberikan kebebasan untuk beberapa orang untuk menyebarkan berita berita yang palsu dan menyalahi fakta sejarah atau menulis buku seperti "Satanic Verses" dan menerbitkan filem seperti "The Last Temptation of Christ" di mana menyebabkan kemarahan berjuta umat Islam di dunia.

Sistem kapitalisme juga menggalakkan kebebasan beragama, mereka berhujjah bahawa individu bebas untuk beri’tiqad ataupun menukarkan pegangan mereka semahunya, malahan individu lain tidak berkuasa melarangnya atau memaksanya menganut mana-mana agama . Mungkin pada hari ini individu itu beragama Kristian tetapi besoknya ia beragama Hindu. Sebagaimana mereka boleh menganut agama Kristian ataupun Islam malahan mereka juga boleh menolaknya tanpa ada campur-tangan mana-mana pihak. Jika ada individu yang cuba mempengaruhi seseorang kepada mana-mana agama, maka mereka akan dikenakan tindakan undang-undang kerana menyalahi Hak Asasi Manusia (Human Rights) Perkara 18 (dalam Perisytiharan yang disebutkan di atas) yang berbunyi: "Tiap-tiap orang ada hak kebebasan fikiran dan agama; kebebasan ini termasuk kebebasan untuk menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan, sama ada sendirian atau bersama dengan orang lain dan di khalayak ramai atau di tempat tertutup, untuk melahirkan agama atau kepercayaannya dalam bentuk ajaran, amalan, ibadah dan ikutan."

Lantaran daripada menganut aqidah sekularisme, individu itu akan menekankan rabithah(ikatan) kemanfaatan yang akan mereka dapati, kerana pada pandangan kapitalis kebahagiaan akan didapati apabila semakin banyak kesenangan yang mereka dapati, iaitu semakin banyak kekayaan (harta benda) maka semakin bahagialah seseorang itu. Malahan golongan missionari tidak lokek untuk membantu mana-mana pihak yang sanggup menukarkan agamanya, menghadiahkan apa sahaja seperti kereta, rumah ataupun mengumpan dengan menggunakan individu yang akan dijadikan suaminya, dan lain-lain lagi yang dijadikan senjata bagi golongan ini.

Sebenarnya bagi seorang muslim erti sebenarnya kebahagiaan hanyalah apabila mendapat keredhaan Allah. Sesuatu itu (kekasih, wang, dan segala bentuk yang ada didunia) tidaklah akan membawa kepada kebahagiaan kepada seorang muslim jika ianya akan menjerumuskan kepada kemurkaan Allah. Lantas individu Muslim yang khayal dalam alunan kapitalisme itu akan mengambil jalan pintas tanpa memerhatikan lagi pegangan mana yang betul ataupun yang salah.

Pengambilan aqidah sekularisme ini, akan menafikan peranan Dinul Islam dalam kehidupan bernegara dan juga hukum muamalat Islam diremehkan malahan sistem uqubat(pengadilan) Islam dipandang tidak sesuai dengan masyarakat majmuk, alasan-alasan yang sering digunakan adalah menghormati Hak Asasi Manusia (HAM), menghormati perlembagaan dan kita tidak boleh fanatik pada agama. Walhal mereka juga fanatik, fanatik terhadap sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) iaitu tidak mahu melihat Islam berdiri dan tertegak dalam kehidupan ini untuk mengatur kehidupan manusia. Rentetan daripada itu merencatkan lagi penubuhan negara Islam (Khilafah) yang berasakan aqidah Islam semata. Peranan pemimpin-pemimpin asuhan Barat ini menjadi semakin berpengaruh dengan ulama murahan yang tanpa segan silu berfatwa sejalan dengan apa yang diingini oleh golongan yang anti Islam.

Hidup Sejahtera Dibawah Naungan Khilafah

Wahai kaum muslimin. Tanyalah pada diri kita, adakah kita telah menyediakan suatu persekitaraan yang cukup bentengnya dalam menangani masalah murtad ini, tanya lagi pada diri kita, adakah situasi masyarakat yang tersedia pada hari ini cukup tegar dalam menghadapi gejolak murtad ini dan tanya lagi pada diri sendiri, adakah aqidah yang kita pegang ini cukup pasti kebenarannya ataupun kita cuma mengikut nenek moyang tanpa pernah memikirkan samada ianya benar atau tidak?

Saudaraku sesama Muslim, elok rasanya kalau kita melihat kembali pada suri tauladan kita iaitu Nabi Muhammad saw, baginda semasa hayatnya telah membina sebuah Daulah Islamiyah di Madinah yang berasaskan aqidah Islam. Dan setiap individu Muslim yang hidup di bawah naungannya (Daulah Islamiah), berpegang kepada prinsip taqwa kepada Allah, mereka mengikatkan diri dengan perintah Allah dan menjauhi laranganNya, mereka berpegang erat kepada Aqidah Islam dan terikat dengan hukum-hukum syara’, berbeza sekali dengan individu hari ini fikiran mereka diracuni oleh budaya Barat yang menjaja HAM.

Apa yang agak menyedihkan kita, tidak sedikit umat Islam yang tertipu dengannya, tidak terkecuali golongan yang dianggap tokoh-tokoh Islam. Negara Khilafah yang bermula dari zaman Rasulullah SAW telah menerapkan hukum-hukum Islam, mempertahankan aqidah Islam dan menyebarluaskan Islam sebagai satu cara hidup kepada seluruh manusia. Pada masa tertegaknya Daulah Islamiyyah setiap masalah yang timbul akan diselesaikan dengan merujuk kepada syara’, dalil syara’ digali dengan terperinci dan teliti dalam menangani masalah-masalah baru ataupun lama. Al-Quran dan Sunah Rasullulah saw diletakkan di barisan hadapan. Manifestasi kesyumulan Islam nampak pada sistem Khilafah ini. Masyarakat Islam secara tabii terpadu dengan hukum-hukum syara’. Tetapi selepas jatuhnya Daulah Khilafah (secara rasminya) pada 3 Mac 1924 hukum-hukum Islam diketepikan, aqidah Islam tidak dipertahankan sehingga murtad berleluasa, Islam tidak lagi tersebar sebagai satu cara hidup (peraturan hidup bagi seluruh manusia). Islam hanya dilaksanakan sebahagian (ibadah) dan sebahagian lagi (muamalat) ditinggalkan.

Sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak dalam Islam. Semua perbuatan hendaklah terikat dengan hukum-hukum Syara’. Berbalik kepada persoalan kebebasan beraqidah, walaupun Islam memberikan hak kepada golongan bukan Islam untuk memeluk aqidah yang selain daripada Aqidah Islamiah seperti firman Allah:

" Tidak ada paksaan dalam Islam..." (Al Baqarah: 266)

dan juga

"...maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir..." (Al Kahfi:29)

tetapi perlu diingati dalil-dalil (yang merujuk kepada kebebasan individu dalam beraqidah ini) adalah khas untuk golongan bukan Islam ataupun kaum kafir.

Perlu diperhatikan bahawa hudud bagi orang murtad dari Islam mengikut hadith Nabi SAW dan ijma’ sahabat hanya satu iaitu dibunuh. Kenyataan ini dapat dijelaskan dengan sabda Rasulullah:

"Sesiapa sahaja yang meninggalkan agamanya (Islam), maka bunuhlah"

(Riwayat Bukhari dari Ikrimah).

Juga hadith riwayat Imam Daruquthni dan Al Baihaqi dari Jabir, iaitu: "Bahawa Ummi Marwan telah murtad, kemudian Nabi SAW memerintah agar dipujuk memeluk Islam kembali. Sabda Baginda SAW: ‘Jika bertaubat (biarkan hidup), jika tidak maka dia harus dibunuh." dan beberapa hadith-hadith sahih yang menerangkan Rasul dan para sahabat membunuh golongan murtadin. Jadi setelah seseorang itu memeluk aqidah Islam maka ia harus memegangnya sampai mati, jika tidak mereka akan dikenakan hukuman mati, itulah hukum syara’nya. Golongan murtadin ini di letakkan dibawah penguasaaan Khilafah untuk memujuknya kembali kepada Islam dalam masa 3 hari, jikalau mereka enggan maka hukumannya bunuh. Berbeza dengan sistem kapitalisme, golongan murtad ini diberikan hak iaitu hak asasi manusia dan mereka diberi kebenaran menukar nama di Pejabat Pendaftaran, alangkah istimewanya layanan kepada penjenayah aqidah ini.

Umumnya mereka tidak lagi merasa gentar untuk menjadi murtad, kerana pada pandangan kapitalisma, murtad bukanlah satu bentuk jenayah, selagi ideologi kapitalisma ini dianuti oleh masyarakat, maka selagi itulah gejala murtad ini tidak dapat dibendung. Kalau perompak mereka akan ditendang serta diherdik, kalau pengedar dadah dihukum gantung, tetapi golongan murtad ini dibiarkan, walhal pada pandangan Islam, murtad adalah merupakan jenayah yang besar, malah murtad adalah suatu isu vital umat Islam sehinggakan isu ini ditangani oleh Islam dengan penyelesaian yang berkaitan hidup atau mati. Maka Fikirkanlah !

Naungan Khilafah adalah satu-satunya tempat yang selamat untuk berteduh di dunia maupun di akhirat, di dunia manusia dapat memenuhi keperluan jasmani dan keinginan nalurinyanya dengan betul (berlandaskan syara’), masyarakat dijaga dengan sistem uqubat, apabila berlaku penyelewengan dalam mengikut hukum syara’ mereka akan dibetulkan dengan hukuman yang dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat dan individu yang melakukannya selaras dengan perkataan Sayidina Osman bin ‘Affan r.a. "Sultan membetulkan individu yang tidak dapat dibetulakan dengan Al-Quran"

Sekiranya semua sistem yang disyariatkan oleh Allah telah dilaksanakan, maka tidak perlu lagi Undang-undang Murtad ini digubal kerana Islam sendiri telah menyediakan penyelesaian yang jelas berhubung perkara ini. Tambahan pula, apabila suatu hukum telah ditetapkan oleh Allah dan jelas mempunyai nas maka tidak ada lagi proses melakukan ijtihad mengikuti kaedah usul fiqh iaitu: "La Ijtihaada bi Wurudi An Nash" (Tidak ada Ijtihad, jika hukumnya sudah dinyatakan oleh nas). Apa yang perlu hanyalah perlaksanaannya.

Kembalilah kepada cara Hidup Islam

Manusia diciptakan oleh tuhan dengan diberikan qadarnya iaitu beberapa naluri (instincts) dan keperluan organik. Keperluan organiknya mesti dipenuhi jika tidak manusia akan mati kebuluran. Naluri manusia mestilah dipenuhi jika tidak manusia akan menjadi resah gelisah (frustrated). Tetapi dalam ideologi kapitalisma yang menjanjikan beberapa kebebasan kepada manusia, naluri manusia dipenuhi dengan cara yang tidak betul dan dengan tiada batasan yang tertentu. Yang menjadi penentu yang manakah baik atau buruk dan had atau batasan adalah manusia sendiri. Manusia yang sememangnya mengakui diri sendiri sebagai makhluk yang serba kekurangan, lemah dan memerlukan telah meletakkan dirinya sebagai pencipta sistem kehidupannya sendiri. Ini jelas suatu kontradiksi yang dibuat oleh manusia. Naluri manusia memang tercetus dalam suatu sistem kehidupan kapitalisma yang terdapat kebebasan yang tidak mempunyai had tertentu, dan ini mempengaruhi tingkah laku manusia dan seterusnya mendatangkan kebinasaan ke atas diri manusia sendiri. Kebebasan dalam sistem kapitalisma inilah yang bertanggungjawab menyebabkan provokasi ke atas naluri manusia menyebabkan manusia melakukan kebinasaan.

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia..." ( Ar-Ruum: 41).

Islam tidak menafikan naluri manusia dan tidak mengekang naluri manusia, kerana naluri adalah suatu qadar yang diberikan oleh Allah swt. Kepada manusia. Maka penyelesaian bagi masalah ini tidak juga seperti penyelesaian setengah-setengah fikrah asing yang menjadikan manusia itu hidupnya bertapa sepanjang hayat di gua atau tempat terpencil supaya boleh berubah menjadi manusia yang baik. Islam mempunyai suatu sistem yang datangnya dari pencipta menusia sendiri iaitu Allah swt. yang sendirinya tahu tentang baik atau buruk bagi manusia itu. Syariah adalah undang undang Allah swt. untuk mengatur naluri manusia dalam kehidupan manusia ke arah suatu landasan yang akan mendatangkan kebaikan di dunia ini.

"Dan sesiapa yang tidak mengadili menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir/fasiq/zalim".

( Al-Maaidah: 44/45/47).

Islam melarang manusia mengikuti nalurinya tanpa apa-apa batasan atau batasan yang lain dari Islam.

"Tetapi orang-orang yang zalim (pelaku kesalahan) mengikut hawa nafsu mereka sendiri tanpa apa-apa pengetahuan. Maka siapakah yang akan memberikan petunjuk kepada mereka yang disesatkan oleh Allah? Kepada mereka tidak akan diperoleh apa apa pertolongan." (Ar-Ruum: 29).

Jelas di sini, kebebasan yang manusia ciptakan untuk dirinya sendiri telah membawa kepada kebinasaan mestilah dihapuskan dan digantikan dengan Khilafah Islamiyah yang melaksanakan Syariah yang akan membawa rahmat sebagaimana firman Allah yang menerangkan bahawa syariat Islam pasti mengandungi maslahat:

"(Dan) tidaklah kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam" (Al-Anbiya’ 107).

Oleh yang demikian itu, kembali kepada kehidupan Islam secara menyeluruh yakni melalui penerapan seluruh sistem Islam di bawah Daulah Khilafahlah yang akan menyelesaikan segala permasalahan umat Islam dan bukannya sistem ciptaan manusia. Wallahu 'alam.

International Islamic and Development Studies