KRISIS KOSOVO: KISAH DI BALIK DERITA

Sejak minggu kebelakangan ini, berita di akhbar-akhbar tempatan dan luar negara, termasuklah media massa yang lain, semuanya sedang hangat memperkatakan isu Kosovo iaitu salah satu wilayah yang terletak di sebelah selatan Serbia, di mana Serbia merupakan peneraju pemerintahan terbesar dalam negara Republik Yugoslavia itu terutamanya setelah NATO melakukan serangan udara ke atas pusat-pusat kekuatan tentera Serb, di Pristina, Kosovo. Setelah NATO gagal menghentikan keganasan Serb ke atas kaum muslimin Albania. Dan setelah juru runding, iaitu Kumpulan Penghubung enam negara, yang terdiri dari British, Itali, Jerman, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat yang telah bertemu di Paris gagal memperolehi kesepakatan untuk melaksanakan Kesepakatan Belgrade. Sedangkan pada masa yang sama, ramai kaum muslimin yang menyelamatkan diri dari negeri mereka untuk menghindari keganasan tentera Serb. Apakah sebenarnya yang terjadi di wilayah Kosovo ini? Mengapa masalah ini baru muncul sekarang, iaitu lebih kurang setahun yang lalu? Dan bagaimanakah sikap yang mesti diambil oleh kaum muslimin di seluruh dunia?Dan pastinya umat Islam terus menjadi mangsa kepada perancangan dan keonaran yang berlaku. Buletin Islam kali ini kembali lagi untuk melihat krisis ini sebagai salah satu persoalan yang harus dijawab.

Amerika di Belakang Krisis Kosovo

Apabila krisis Kosovo ini terjadi, timbul pertanyaan: Apa sebenarnya yang menjadi punca masalah sebenar? Dan mengapa masalah ini baru muncul sekarang, lebih kurang tujuh tahun setelah krisis Bosnia-Herzegovina, pada awal tahun 90-an, padahal berada di wilayah yang sama? Jawabnya memang tidak mudah. Termasuk mengaitkan Amerika Syarikat sebagai punca di belakang krisis ini, juga tidak mudah. Tetapi, apabila kita memahami strategi politik antarabangsa Amerika, maka tentu tidak sukar untuk menjawabnya. Sebab, Amerika Syarikat, ketika ini merupakan satu-satunya negara kuasa dunia yang dapat menciptakan terjadinya krisis di mana-mana. Terutama setelah runtuhnya USSR, Amerika ingin mengekalkan kedudukannya sebagai satu-satunya kuasa dunia dan mula menyingkirkan kuasa-kuasa dunia yang lain, termasuklah Russia, dan negara-negara Eropah. Wilayah-wilayah yang dikuasai oleh kedua-dua bekas negara kuasa dunia (Russia dan Eropah) ini pun berusaha dikuasai oleh Amerika (Lihat, Siyasatu Amrika Al-Isti’mariyah fi Amerika Al-Latiniyah, Abdul Hadi Al-Abid, Al-Waie, 138/11/1998).

Yugoslavia adalah merupakan salah satu negara Eropah yang merupakan bekas wilayah jajahan USSR sebagaimana Afghanistan di Timur Tengah. Negara Republik Yugoslavia ini merupakan wilayah Balkan, yang dahulunya merupakan wilayah kekhilafahan Islam, Turki Othmani. Sebahagian wilayahnya terdapat penduduk yang majoritinya adalah muslim, seperti Bosnia-Herzegovina dan Albania. Apabila dalam kes Afghanistan, Amerika Syarikat membantu pejuang Mujahidin untuk mengusir Russia dengan tujuan mengambil alih kedudukan Russia di Afghanistan, maka di Yugoslavia, Amerika Syarikat membantu tentera pembebasan Kosovo (KLA) untuk melepaskan diri dari wilayah Yugoslavia, agar wilayah yang menjadi bahagian dari negara Eropah itu bergolak, yang akibatnya akan langsung dirasai oleh negara-negara di Eropah dan bagi Russia pula, setidaknya wilayah tersebut akan terlepas dari tangannya, sebagaimana Korea Selatan dipisahkan oleh Amerika Syarikat daripada Korea Utara, yang asalnya satu negara.

Ini dapat dilihat daripada pernyataan Pegawai Kementerian Luar Amerika, pada tarikh 10/8/1998, yang menyatakan bahawa tentera pembebasan Kosovo (KLA) bukan merupakan gerakan dan pertubuhan pengganas (Al-Waie, 133/6/1998). Ibrahim Roghaba, pemimpin Kosovo, sebelumnya iaitu pada tarikh 30/5/1998, telah bertemu dengan Presiden Bill Clinton, dan setelah pertemuan yang juga dihadiri oleh utusan Kumpulan Penghubung itu, dia menjelaskan bahawa: "Iltizam Amerika Syarikat yang sungguh-sungguh ini telah memberikan semangat kepada kami." Roghaba juga meminta agar Clinton melakukan tindakan segera untuk meringankan kekejaman yang terjadi di Kosovo, serta meminta agar kehadiran Amerika di wilayah tersebut ditingkatkan (Reuter, 30/5/1998).

Target Amerika Syarikat yang sebenar adalah memberikan sokongan keatas wujudnya pemerintahan autonomi Kosovo, dan bukannya kemerdekaan penuh, seperti mana yang dilakukannya terhadap Palestina. Oleh kerana itu, Amerika juga meminta agar segera diadakan pilihan raya, untuk membentuk pemerintahan autonomi Kosovo. Setelah itu, jelas wilayah ini akan menjadi kekuasaan Amerika. Dengan demikian, sebahagian wilayah Yugoslavia yang sebelumnya dikuasai Russia berkurang lagi. Disamping itu, tindakan pembebasan wilayah ini adalah untuk menciptakan krisis yang tidak pernah henti-hentinya di wilayah Eropah, setelah tujuh tahun yang lalu Bosnia-Herzegovina juga telah melakukan tindakan yang sama, yang kemudiannya berjaya diselesaikan oleh Amerika melalui perundingan, juga dengan cara yang sama, iaitu dijadikan sebagai pemerintahan autonomi Bosnia, dan bukannya merdeka penuh.

Apa tujuan Amerika dengan menjadikan wilayah-wilayah tersebut sebagai wilayah autonomi, tetapi tidak diberi kemerdekaan penuh? Tujuannya yang pertama adalah untuk menimbulkan krisis bila-bila masa di wilayah tersebut, agar negara-negara Eropah sibuk dan terkena padahnya. Dan dengan begitu, negara-negara Eropah yang sebelumnya bersatu melalui Perjanjian Maastricht, pada tarikh 7/2/1992, yang berjaya menyatukan 12 negara Eropah itu untuk melawan kekuatan Amerika di peringkat antarabangsa, akan terus-menerus mengalami kesulitan kerana krisis dalaman di wilayahnya. Kedua, Amerika Syarikat ingin mengambil alih kuasa di wilayah-wilayah tersebut dari cengkaman negara kuasa dunia yang lain. Palestin, diambil dengan menyingkirkan British dari Timur Tengah, Bosnia-Herzegovina dan Kosovo diambil dari cengkaman Yugoslavia yang masih dikuasai dengan kuatnya oleh Russia.

Mengapa Eropah Menyokong NATO, Russia dan Cina Membantah

NATO adalah Perjanjian Atlantik Utara yang dianggotai oleh negara-negara Eropah untuk mengimbangi Perjanjian Warsaw, manakala USSR merupakan pakatan yang ketika ini dikuasai oleh Amerika khasnya setelah Amerika Syarikat menjadi satu-satunya kuasa besar dunia. Sedangkan sikap negara Eropah menyokong tindakan NATO ke atas Serb dalam kes Kosovo, yang berbeza dengan sikap mereka ke atas Bosnia, adalah kerana dua perkara: Pertama, Eropah belum lagi bersatu ketika menghadapi krisis Bosnia, tahun 1990, tetapi Kesatuan Eropah yang meliputi politik dan ekonomi luar negara baru sahaja diwujudkan pada tahun 1992, setelah Perjanjian Maastricht di Belanda. Ketika itu, mereka menyokong Serb, untuk melakukan ethnic cleansing. Kedua, sikap Eropah menyokong Amerika ketika ini, adalah untuk mengembalikan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa untuk bersama-sama dengan Amerika, sehingga Amerika Syarikat tidak akan menyingkirkan mereka. Dan, mereka justeru sangat serius mengusahakan terjadinya perdamaian di wilayah tersebut, semata-mata untuk menyelesaikan krisis dalaman mereka, sehingga mereka boleh bebas mengikuti ke mana sahaja perginya Amerika.

Jadi, perbezaan sikap Eropah dan Amerika terhadap Kosovo, adalah hanya masalah kepentingan dalaman negara masing-masing yang ingin mengambil alih kuasa dari masing-masing. Hanya ketika ini, Eropah belum berani secara terbuka, kerana belum mampu menandingi kekuatan ekonomi, politik dan kekuasan Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa. Maka, yang lebih selamat bagi Eropah adalah berdiri di belakang Amerika, sambil menyembunyikan maksud yang sebenar. Sedangkan sikap Russia dan Cina yang membantah serangan NATO jelas, kerana Yugoslavia adalah bekas jajahan USSR, yang Sosialis. Sikap ini merupakan sikap dua negara Sosialis, terhadap bekas wilayah mereka, yang ingin diambil oleh negara Kapitalis, iaitu Amerika Syarikat.

Jadi, dengan demikian, jelaslah bahawa ini merupakan bentuk kejahatan negara-negara imperialis (penjajah) kafir, iaitu Amerika, Eropah dan Russia untuk menghancurkan kaum muslimin. Amerika, ingin menyelesaikan masalah ini sebatas sebagai negara autonomi, yang berpotensi menimbulkan krisis dalaman di wilayah Eropah bila-bila masa, dan bukan sebagai negara merdeka yang berkedaulatan penuh. Sedangkan Eropah, juga tidak ingin di wilayahnya berdiri negara yang diterajui oleh kaum muslimin. Dan Russia pun demikian, tidak ingin wilayah tersebut lepas dari tangannya. Inilah keadaan kaum muslimin, yang sebenar.

Sikap Kaum Muslimin

Perjanjian Maastricht yang diadakan oleh negara-negara Eropah di Belanda yang bertujuan menyatukan kekuatan mereka, seharusnya telah menyedarkan kita, bahawa Eropah yang dahulu pertama kali merumuskan konsep divide and rule (pecah dan perintah), yang merupakan asal-usul konsep Nasionalisme, ketika ini merasai sendiri padah konsep tersebut, dimana ketika ini konsep itu telah melemahkan mereka sendiri sehinggakan mereka tidak kuasa untuk menghadapi kekuatan Amerika Syarikat, maka mereka sedar bahawa untuk melawan kekuatan Amerika Syarikat mestilah bersatu padu dengan meninggalkan nasionalisme.

Konsep Nasionalisme ini memang sangat merbahaya bukan sahaja bagi kaum muslimin, tetapi juga bagi kaum bukan Islam, seperti Eropah. Lihatlah, bagaimana kekuatan Russia dihancurkan dari dalam, melalui ekonomi yang akhirnya mahu tidak mahu mesti meminta bantuan kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Sama halnya seperti yang dilakukan oleh negara-negara Asia, mereka akhirnya dapat dikuasai oleh Amerika Syarikat, kecuali beberapa negara tertentu. Tetapi, apabila terjadi kegawatan ekonomi, meskipun negara asal tidak dikuasai oleh Amerika, misalnya Malaysia, tetapi tetap sahaja Malaysia mempunyai keterbatasan, sebab ia telah dihadkan oleh batas wilayah dan hukum internasional yang membatasi hubungan diplomatiknya dengan negara lain meskipun negara lain itu adalah sama-sama negara muslim. Padahal dengan kesatuan negara Islam di seluruh dunia secara ekonomi, ketenteraan dan politik, akan menjadikan mereka negara yang kuat. Juga perhatikan, bagaimana sejarah runtuhnya Khilafah Islamiyah, 3 Mac 1924, setelah wilayahnya dibebaskan oleh negara-negara Eropah, melalui gerakan-gerakan pembebasan dalaman, seperti Revolusi Arab tahun 1916, untuk membebaskan diri dari wilayah Khilafah Islam dengan pujukan negara Eropah. Dan setelah itu, nasib negara-negara Arab tidak lebih baik, malah sebaliknya. Inilah bahayanya konsep Nasionalisme. Maka, Islam mengharamkan Nasionalisme ini. Sebagaimana sabda Rasulullah saw.:

"Bukanlah golongan ummatku, orang-orang yang menyeru kepada nasionalisme (perkauman), orang yang berperang kerana nasionalisme (perkauman), serta orang yang mati kerana nasionalisme (perkauman)." (H.r. Abu Dawud).

Oleh itu, masalah yang dihadapi kaum muslimin ketika ini, seperti krisis Kosovo, Palestin, Afghanistan, Iraq, Ambon (Indonesia) atau kegawatan ekonomi di rantau Asia adalah akibat tidak bersatunya dan hilangnya ikatan kesatuan ummat Islam dalam sebuah kekuatan politik yang bertaraf antarabangsa, yang dapat melawan kekuatan negara penjajah seperti Amerika, Eropah, Russia dan sebagainya. Baik dari segi ketenteraan, ekonomi, politik mahupun pendidikan. Maka, seluruh kaum muslimin mestilah bersatu untuk mewujudkan pemerintahan Islam yang bertaraf antarabangsa, iaitu Khilafah Islam, yang akan mengurusi dan melindungi urusan kaum muslimin. Tanpa mewujudkan kesatuan seluruh kaum muslimin di seluruh dunia, maka mustahil mereka akan bersatu untuk mewujudkan kembalinya Khilafah Islam.

Dengan tidak terwujudnya Khilafah Islam yang mempunyai kekuatan militer, ekonomi, politik, pemikiran politik di peringkat antarabangsa, mustahillah krisis di seluruh dunia Islam dapat diselesaikan. Krisis Kosovo, misalnya, mustahil diselesaikan dengan serbuan NATO ke atas Serb. Sebab, mereka bukan untuk melindungi kaum muslimin, tetapi ingin menguasai wilayah tersebut dan mengambil alih dari kekuasaan negara lain, juga untuk menciptakan kekacauan di wilayah tersebut. Maka, kaum muslimin mestilah mempunyai senjata nuklear, jet pejuang yang canggih, dan pasukan yang hebat. Dan itu hanya boleh dimiliki oleh Kosovo apabila ekonominya kuat dan dananya cukup. Bukan miskin seperti sekarang. Ekonomi kuat, hanya boleh dimiliki apabila negara mempunyai kekuatan di peringkat antarabangsa, kerana wilayahnya luas, kaya dengan sumber alamnya, perdagangannya besar, dan penghasilannya tinggi. Ini semuanya hanya boleh dimiliki apabila negara tersebut mempunyai kekuatan politik di peringkat antarabangsa. Dan tentu sahaja bukan negara kecil, yang dihadkan wilayahnya seperti Kosovo, Bosnia-Herzegovina, Palestin, Afghanistan dan sebagainya.

Khatimah

Memang, kaum muslimin Kosovo hukumnya fardhu ‘ain untuk melaksanakan jihad melawan Serb. Namun, Allah bukan sekadar memerintahkan berjihad ke atas mereka dan kaum muslimin yang lain, tetapi bagaimana agar jihad tersebut dapat dilaksanakan sehinggalah menang. Dan sememangnya jihad tersebut merupakan penyelesaian masalah Kosovo, tetapi untuk melaksanakan jihad di Kosovo yang berakhir dengan kemenangan di pihak kaum muslimin, ada cara yang disyariatkan oleh Allah, iaitu menyiapkan kekuatan, yang boleh diusahakan oleh kaum muslimin. Sebagaimana firman Allah SWT.:

"Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (orang-orang kafir) itu, kekuatan apa sahaja yang kamu mampu, seperti menambatkan kuda-kuda. Yang dengan begitu, musuh kamu dan musuh Allah akan gentar." (Q.s. Al-Anfal: 60).

Maka, untuk memenangkan jihad di Kosovo, Allah telah mensyariatkan agar kaum muslimin menyiapkan persenjataan, kekuatan tentera, politik, ekonomi, pemikiran, sehingga kedudukan mereka diperhitungkan dan digeruni oleh musuh. Dan untuk itu, tidak ada cara lain, kecuali dengan mendirikan Khilafah Islam dan meninggalkan Nasionalisme. Di mana, pada masa yang sama, kaum muslimin di Kosovo berjihad, kerana hukumnya fardhu ‘ain, maka kaum muslimin yang lain segera meninggalkan konsep Nasionalisme dan bersatu padu untuk mendirikan Khilafah Islam, agar dapat mewujudkan keperluan yang diperlukan oleh Mujahidin Kosovo, sehinggakan mencapai kemenangan atas izin Allah dan kesatuan ummat Islam. Inilah syari’at Allah untuk menyelesaikan krisis Kosovo ini. Tanpa itu, mustahil pertolongan Allah akan diberikan, sedangkan syari’atnya tidak kita lakukan.

Ya Allah, kami telah pun menyampaikan, saksikanlah dan dengarkanlah.

Menu Analisis Pilihan Halaman Utama IINDS Analisis Seterusnya

International Islamic and Development Studies