Make your own free website on Tripod.com

MENGKAJI STRATEGI DAKWAH RASULULLAH (1)

Parti Politik Nabi saw


 Titik Awal Dakwah Nabi saw

Titik Awal Dakwah Nabi saw. Ketika Nabi saw. diutus, mula-mula baginda mengajak isterinya, Khadijah binti Khuwaid untuk memeluk Islam, maka Khadijah pun beriman. Baginda lalu mengajak saudara sepupunya, iaitu Ali bin Abi Thalib, dan Ali pun beriman. Kemudian baginda mengajak hambanya, Zaed, dan Zaed pun akhirnya beriman. Baginda juga mengajak temannya, Abu Bakar, maka Abu Bakar pun beriman. Setelah itu, baginda mengajak pada semua orang, sehingga berimanlah orang yang beriman, dan kufurlah orang yang kafir.

Setelah Abu Bakar ra. memeluk Islam, Abu Bakar sengaja mengisytiharkan keislamannya pada orang yang boleh dipercayai serta mengajak mereka agar beriman kepada Allah dan RasulNya. Abu Bakar adalah orang yang berpengaruh bagi kaumnya, menyenangkan dan ringan tangan. Oleh itu, ahli-ahli kaumnya datang kepadanya dan mereka menyerahkan kepadanya bukan hanya untuk satu urusan, disebabkan oleh kerana ilmu, niaga dan akhlak baiknya. Utsman bin Affan adalah orang yang memeluk Islam kerana ajakan beliau. Demikian pula dengan Zubair bin Al-Awwam, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqash dan Thalhah bin Ubaidillah.

Mereka dibawa menghadap Rasulullah saw. ketika mereka telah bersedia memenuhi ajakan beliau. Mereka lalu memeluk Islam dan solat. Setelah itu, Abu Ubaidah, yang nama asalnya adalah Amir bin Al-Jarrah, Abu Salamah, yang nama asalnya adalah Abdullah bin Abdi Al-Asad, Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, Utsman bin Al-Mathghun dan sebagainya memeluk Islam. Kemudian orang ramai memeluk Islam, baik dari kalangan lelaki mahupun wanita, sehinggalah Islam mulai diperkatakan di Mekah dan ramai orang membicarakannya. Mula-mula Nabi saw. mendatangi rumah-rumah mereka. Baginda menyampaikan kepada mereka, bahawa: "Allah memerintahkan kalian agar kalian menyembah Al- lah dan tidak menyekutukanNya dengan yang lain."

Beliau mengajak orang ramai di Mekah secara terbuka agar mereka memeluk Islam, kerana memenuhi perintah Allah: "Wahai orang yang berselimut, bangkit dan berilah peringatan" (Al-Mudatsir: 1-2)

Baginda juga terus melakukan interaksi dengan orang ramai untuk menyampaikan agama Islam, serta mengajak mereka bergabung bersama baginda dengan asas agama tersebut secara rahasia. Sahabat Rasulullah saw. apabila melakukan solat, mereka pergi ke lembah-lembah dan menyembunyikan solat mereka agar tidak diketahui oleh kaumnya. Rasul juga selalunya mengirim orang yang lebih dahulu memeluk Islam, dan telah mendalam pemahaman agamanya untuk mengajari Al Quran pada sesiapa sahaja yang baru memeluk Islam. Baginda pernah mengutus Khubab bin Al-Art agar mengajarkan Al-Quran kepada Zainab binti Al-Khattab dengan suaminya, Said. Di mana, melalui halaqah inilah, Umar akhirnya memeluk Islam. Ketika mereka dikejutkan oleh kedatangan Umar, mereka sedang berada di rumah Said, yang sedang mempelajari Al-Qur’an.

Bukan setakat itu sahaja, baginda bahkan telah mempergunakan sebuah rumah untuk mendidik kaum muslimin dengan Islam, serta menjadikannya sebagai pusat kelompok orang-orang mukmin tersebut, sekaligus menjadikannya sebagai sekolah dakwah baru. Rumah itu adalah rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Di situlah kaum musliniin dikumpulkan untuk dibacakan Al-Quran dan dijelaskan maknanya, serta memerintahkan mereka agar mengisytiharkan Islam. Ketika seseorang memeluk Islam, baginda akan memasukkannya ke rumah Al-Arqam.

Baginda menahan diri selama tiga tahun, sementara itu baginda terus membina orang-orang Islam tersebut. Baginda solat dan bertahajud dengan mereka di malam harinya, sehingga lahirlah pada diri mereka kekuatan spritual melalui solat dan membaca Al-Quran. Baginda banyak membangkitkan pemikiran mereka dengan merenungkan ayat-ayat Allah, menganalisa penciptaannya. Baginda juga mendidik intelektual mereka dengan makna dan lafadz Al-Quran, serta pemahaman dan pemikiran Islam. Baginda melatih mereka agar bersabar dalam menerima penganiayaan, taat dan tunduk sehingga tumbuh keikhlasan semata untuk Allah. Nabi dengan kaum muslimin tetap tidak mengisytiharkan ajarannya, ketika masih di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, hingga turun firman Allah:

"Maka, isytiharkan apa yang diperintahkan kepada kamu, serta tentanglah orang-orang musyrik."(Al-Hijr: 94)

 


ISLAMIKA September-Oktober 1998