IFTITAH


[ISLAMIKA September][ISLAMIKA Okt-Nov]



JUAL KHABAR ANGIN

Assalamu'alaikum Wr. Wb.

ANWAR. Pastinya nama dan public figure yang menjadi berita utama selama berhari-hari disemua media massa. Sama ada elektronik, cetak mahupun yang lainnya. Semuanya menjual berita tentang Anwar. Pemberitaan yang berpunca daripada kes pelucutan Anwar daripada seluruh jawatannya; Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri hingga Timbalan Presiden Parti UMNO dan keahliannya daripada UMNO, berikutan tuduhan salah laku yang dilakukannya.

Semua media massa berusaha memberitakan isu tersebut, termasuklah analisa dan spekulasi politik disebalik berita tersebut. Ada yang menyerang, membela dan ada yang mengambil sikap berhati-hati terhadap Anwar. Ada juga yang menyerang dan membela kerajaan. Semuanya menjual berita. Seakan ianya merupakan masalah utama orang Islam. Mereka semua lupa, akan masalah utama, kerana kasihan, bagi yang memihak Anwar dan kerana marah, bagi yang menyerang Anwar.

Khabar 'angin'. Mungkin itulah istilah yang paling tepat untuk maklumat yang dijual oleh media. ISLAMIKA kini hadir bukan ikut serta menjual berita Anwar, namun berita tersebut cuba dibahas oleh ISLAMIKA dengan visi dan perspektif yang jelas, iaitu Islam. Visi dan perspektif yang menjadi ciri khas media kita ini. ISLAMIKA cuba menempatkan kes-kes tersebut sebagai masalah yang dikaji secara mendalam dalam visi dan perspektif yang jelas. Kerana ini hanyalah simptom (kesan) daripada masalah utama orang Islam. Dalam hal ini, ISLAMIKA sebagai hasil kajian terhadap realiti yang ada pastinya tidak memihak, kecuali untuk kepentingan Islam.

Pembaca boleh menemukan wajah Politik Islam yang Agung dalam ruangan Tadzkirah untuk membina persepsi dan perasaan sesuai dengan rujukan politik agung Rasul, sahabat dan tabi'in, untuk membangun pendirian politik pembaca ditengah permasalahan politik ketika ini. Juga tentang Islam: Politik dan Spiritual, yang merupakan konsep Islam yang sebenar, yang boleh dijumpai dalam ruangan Fikrah. Juga input yang membangun bagi seluruh pembaca, yang juga menjadi tujuan utama yang ditonjolkan oleh media kita ini, samada dalam masalah sosial: Belajar dari Kes Anwar mahupun dalam masalah ekonomi: Strategi Imperialisme Baru: Ancaman Bagi Dunia Islam. Masing-masing dalam ruangan Mujtama'una dan Iqtishaduna. Dan untuk membina kepekaan masyarakat, Pembaca sengaja diberi sajian Reformasi Prematur dan Agenda Utama Politik Umat, yang pastinya menanggapi isu dan fakta yang terjadi dengan matlamat Islam. Agar masyarakat mengerti politik, asas politik, masalah politik juga agenda utama umat Islam yang sebenar menurut Islam. Semuanya boleh dijumpai oleh Pembaca dalam ruangan Siyasatuna. Di samping itu, Pembangkang Kerajaan, Parti Pembangkang dan 'Bughat' Menurut Fiqih Islam juga boleh dijumpai dalam ruangan Fiqih Mu'ashir. Dan ruangan Tafsir akan menyegarkan Pembaca melalui nas-nas yang secara tematik, diketengahkan dalam pembahasan tafsir.

Akhirnya, Mir'at dan Ikhtitam melengkapi media kita ini. Pembaca diharapkan dapat mengambil renungan daripada keduanya. Figure Nabi saw. dalam membina pendirian politik dan parti politik sahabat serta reformasi yang baginda lakukan. Demokrasi Barat yang Menipu melengkapi renungan Pembaca, yang selama ini mengidolakannya. Dan, selamat membaca. Dijamin puas dan cerdas.


Sidang Pengarang