MASALAH SOSIAL DAN PENYELESAIANNYA MENURUT ISLAM

Sejak zaman dahulu sehinggalah abad moden kini, di merata dunia tidak pernah sunyi dari masalah sosial. Masalah yang sentiasa mengganggu fikiran dan perasaan manusia sekarang. Manusia berusaha untuk menangani masalah sosial. Masalah ini telah lama berakar umbi dalam sejarah kehidupan manusia. Manusia menghadapi masalah ini sejak mereka mula membentuk kehidupan bermasyarakat. Entiti masyarakat wujud daripada ikatan antara individu-individu yang dijalin antara satu sama lain. Ikatan-ikatan ini datang dari pemikiran dan perasaan yang dibawa oleh mereka. Pengikatan ini sudah tentu memerlukan pengurusan dan pengarahan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul daripada kehidupan seharian. Sudah semestinya, masalah sosial adalah satu masalah yang paling ketara dalam kehidupan. Dalam kerumitan serta keanekaragaman penyelesaian yang dicadangkan untuknya, ia boleh menjadi sumber merbahaya bagi ummat manusia, kerana dalam menyelesaikan masalah kehidupan manusia, sudah tentu akan melibatkan suatu sistem yang mempengaruhi ciri entiti masyarakatnya.

Malaysia adalah satu entiti masyarakat yang telah dimerdekakan oleh British pada 31 Ogos 1957. Taraf sosial masyarakat Malaysia telah berubah sejak ia mencapai kemerdekaan. Dalam suasana ini bangsa Malaysia telah melahap pelbagai bentuk "pembangunan dan kemajuan" sejak sedekad yang lalu, krisis moral telah mencapai ke tahap yang kritikal. Sistem Demokrasi Kapitalis yang didirikan telah membentuk bangsa Malaysia yang ketandusan moral. Masyarakat yang mengikuti sistem ini telah mengantikan tujuan hidup untuk mendapat keredhaan Allah SWT kepada untuk mencapai kesenangan materialistik, menukar sikap tolong-menolong dan mengambil berat masalah ummat kepada sikap individualistik dan mementingkan diri sendiri(self-interest). Masyarakat Malaysia tidak lagi peka kepada isu-isu yang melibatkan ummat. Sebahagian besar daripada daripada masyarakat tidak lagi mencegah kemungkaran yang berlaku dihadapan matanya. Mereka memandang kemungkaran sebagai perkara yang terpaksa diterima sebagai satu pakej sekali dengan pembangunan dan kemajuan. Adakah ini semua hasil yang mesti diterima dari kemajuan yang ingin dinikmati oleh bangsa Malaysia?

Golongan remaja adalah barisan hadapan yang sangat sensitif untuk disentuh oleh derasnya arus peradaban(hadharah), merekalah yang mula-mula sekali akan disentuh oleh berbagai perkembangan peradaban, malang sekali kebanyakan daripada mereka menerima tanpa berfikir dan lebih buruk lagi ada yang mempropagandakannya kepada orang lain dengan alasan untuk melancarkan lagi arus kemajuan zaman.

Keruntuhan akhlak dikalangan remaja Malaysia kini dikatakan amat meruncing. Krisis moral membimbangkan. Perangkaan statistik kes jenayah dan salah laku membabitkan remaja di Malaysia kian serius dan bertambah kronik. Ini dapat dilihat daripada kes-kes sumbang muhrim(Rajah 1), penagihan dadah(Rajah 2), pembuangan bayi(Rajah 3), perhubungan seks bebas(Rajah 4), bohsia/bohjan, lari dari rumah, rasuah, pecah amanah, peminum arak, ecstasy dan kes jangkitan HIV/AIDS(Rajah 5). Kesemuanya menunjukkan angka pertambahan. Misalnya 'Haruan makan anak' adalah satu bukti kerosakan sosial yang kian meningkat bagi kita di Malaysia. Menurut laporan polis, pada tahun 1995 terdapat 173 kes, 1996 sebanyak 200 kes dan sehingga April pada tahun ini sudah 56 kes dilaporkan. Kes pencabulan atau rogol yang melibatkan anggota keluarga semakin membimbangkan. Dari 173 kes yang berlaku pada tahun 1995, 62 kes adalah melibatkan bapa kandung (35.8%); 1996 dari 200 kes, 65 membabitkan bapa kandung (32.5%); dan 1997 (sehingga April) dari jumlah 56 kes, 20 kes melibatkan bapa kandung (35.7%). Ini membuktikan pencabulan bapa kandung merupakan pelaku utama iaitu antara 32.5 peratus ke 35.8 peratus, diikuti bapa tiri dan saudara mara yang terdekat. Sesungguhnya perbuatan ini bukan sahaja merupakan jenayah tetapi juga menggelapkan masa depan anak gadis yang menjadi mangsa oleh keluarga sendiri yang sepatutnya menjadi pelindung. Keluarga terdekat sebaliknya sanggup melempiaskan nafsu ghairahnya terhadap keluarga atau anak sendiri. Seganas-ganas harimau tidak ada yang sanggup memakan anaknya sendiri. Apakah kehidupan manusia yang berakal dan penuh tatasusila ini jauh lebih ganas daripada binatang.

Pihak kerajaaan memang merasa bimbang terhadap gejala keruntuhan moral ini. Timbalan Perdana Menteri mengatakan pembangunan negara haruslah seiring dengan pembangunan sosial dan menambah lagi bahawa tiada gunanya membicarakan persoalan masyarakat madani sekiranya masalah moral dan sosial masih lagi berleluasa. Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik, Presiden MCA mengatakan bahawa Malaysia perlu belajar daripada kesilapan negara maju yang gagal mengimbangi antara pembangunan kemanusiaan dengan kebendaan. Kita perlu menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat dan rakyat mesti memberi kerjasama kepada kerajaan. Antara tindakan yang terbaru adalah mewujudkan Pelan Tindakan Gejala Sosial Selangor (Petugas). Ia menyediakan 90 jenis latihan dan kemahiran dan 60 jenis perkhidmatan dan usaha pemulihan. Berbagai aktiviti diadakan dan bermacam-macam slogan dilaungkan untuk menangani masalah sosial ini. Tetapi realitinya masalah sosial masih belum dapat diselesaikan bahkan semakin hari semakin bertambah kritikal. Slogan-slogan pula nyaris menjadi slogan kosong kerana tidak dapat dibuktikan dalam kenyataan.

Banyak pemimpin di Malaysia mencari punca dan memberikan cara penyelasaian untuk masalah sosial yang semakin ketara sekarang. Datuk seri Sanusi Junid, Menteri Besar Kedah menegur supaya ibubapa perlu prihatin terhadap aduan jiran tetangga mengenai perilaku anak-anak mereka di luar rumah. Institusi keluarga banyak memberi sumbangan dalam menangani masalah sosial sekiranya hubungan baik dan tolong menolong antara satu sama lain. Ibubapa bertanggungjawab dalam mendidik anak. Datuk Abdul Ghani Othman , Menteri Besar Johor menyatakan pihak kerajaan negeri akan mengarahkan khatib menyampaikan khutbah mengenai bagaimana peranan ibubapa menangani masalah sosial supaya ibubapa yang beramal di mesjid dapat menginsafi peranan sebenar ibubapa. Datuk Seri Rafidah Aziz, menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula mencadangkan supaya keluarga yang anaknya terlibat dalam jenayah dipenjarakan kerana telah mengabaikan tanggungjawabnya. Ibubapa sepatutnya memperhatikan dan mendisiplinkan anak mereka dan tidak meninggalkan tanggungjawab mereka kepada kerajaan dan pihak sekolah.

Daripada penelitian terhadap pendapat-pendapat yang diberikan untuk menangani masalah sosial ini adalah dengan pembaikan individu dan orang yang bertanggungjawab dalam hal ini adalah ibubapa sehingga mereka boleh dipenjarakan walaupun bukan mereka yang melakukannya. Sebenarnya tidak ada seorang pun ibubapa yang mahukan anak mereka terlibat dalam jenayah dan ada diantara mereka yang telah berusaha untuk mendidik anak mereka tetapi dapatkah ibubapa mengawal anak mereka apabila ia berada dalam masyarakat yang ditiup badai peradaban yang jauh lebih kuat. Selain daripada itu, ada yang mencadangkan supaya kerajaan mestilah menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat supaya masyarakat tidak berani dan berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu gejala kerosakan sosial. Persoalan yang timbul disini ialah Apakah dengan hanya membaiki individu maka dengan sendirinya akan menjadikan masyarakat itu menjadi baik? Dan Bolehkah sekelompok kecil yang menguasai golongan majoriti membuat undang-undang dan pada yang sama mempunyai mentaliti kapitalis yang kecenderungan, arah dan tujuan-tujuannya adalah keuntungan kebendaan?

Seseorang individu yang berada dalam masyarakat, ia sebenarnya mudah meniru atau terpengaruh dengan peradaban masyarakat dimana ia berada. Ini adalah kerana pemikiran dan perasaan seseorang itu dibentuk oleh pemikiran dan perasaan umum masyarakatnya. Jika ia mempunyai pendiriannya sendiri pun, ia terpaksa mengorbankannya dan bertolak-ansur menerima suatu pendapat umum masyarakat sebagai satu hakikat yang tidak boleh ditolaknya. Tambahan pula ransangan-ransangan yang berada disekelilingnya yang tersebar luas dan mudah didapati dengan bebas, ini mendorongnya untuk melakukan gejala sosial.

Peradaban(Hadharah) merupakan hasil yang dicurahkan oleh sesebuah ideologi(mabda) yang ditegakkan. Jika sesuatu peradaban yang muncul dan dibentuk oleh ideologi tertentu telah dilahap, maka sukar untuk membuang kerosakannya walaupun bencana dan sengsara telah dirasakan daripada pelbagai aspek. Hadharahlah yang akan mewarnai berbagai bentuk sikap yang akan dilakukan oleh sesuatu masyarakat. Apabila hadharah itu rosak, maka dengan mudah boleh dijangkakan ia akan menimbulkan berbagai salah laku yang akan mencerminkan kerosakan itu kerana seseorang itu akan bertindak berdasarkan apa yang difahaminya dan piawaiannya biasanya dirujukkan kepada asas ideologi yang diikutinya. Ideologi yang rosak adalah umpama payung yang telah koyak-rabak, yang tidak layak untuk manusia bernaung dibawahnya. Sesiapa yang bernaung dibawahnya, pasti akan ditimpa hujan. Orang yang tinggi pemikirannya pasti akan menukarkannya dengan payung yang baru dan lebih selamat.

Demokrasi Kapitalis diasaskan kepada satu kepercayaan bahawa dengan menjaga kepentingan individu dengan sendirinya menjamin kepentingan masyarakat dan pemerintahan yang dibentuk hanyalah untuk melindungi individu dan kepentingan-kepentingan peribadinya. Ia boleh diringkaskan dalam perjuangan kebebasan iaitu kebebasan berpendapat, kebebasan pemilikan(ekonomi), kebebasan beragama dan kebebasan individu. Sistem pemerintahannya berkaitan secara langsung dengan kehidupan setiap individu. Oleh itu setiap individu mempunyai hak untuk terlibat dalam sistem, sama ada pemimpin ataupun rakyat untuk membangunkannya. Masalah sosial mempengaruhi kebahagiaan dan kesengsaraan mereka maka wajar untuk mereka menangani sendiri urusan sosial dan membaiki kelemahan-kelemahan yang muncul.

Atas dasar inilah, hak bersuara dan pemilihan umum rakyat diberikan untuk menjamin pemimpin yang memerintah mewakili majoriti penduduk walau apa pun pemikiran dan tujuannya dalam membuat sesuatu keputusan. Dalam berekonomi pula, ia didasarkan kepada kebebasan pemilikan tanpa batasan (termasuk barang-barang yang haram seperti barang curi, arak, dan sebagainya), memonopoli pasaran dan pengeluaran dan menimbun modal sebanyak-banyaknya tanpa batasan. Setiap individu mempunyai kebebasan memiliki dengan apa cara sekalipun termasuk rasuah, menindas, mengugut dan sebagainya untuk mengumpul, menambah dan memperbanyakkan harta kekayaan demi kepentingan dan keuntungan peribadi. Kepentingan peribadi merupakan motif utama dan tujuan yang paling nyata seseorang individu itu dalam setiap kerja dan kegiatannya. Kebebasan berpendapat bererti manusia bebas mempunyai doktrin-doktrin yang sesuai dengan pemikiran mereka sendiri atau apa yang diinspirasikan oleh kecenderungan dan manfaat mereka dan kebebasan individu pula membenarkan manusia dalam menentukan tindakan perilakunya. Ia berhak melaksanakan kehendaknya serta bebas untuk melakukannya lagi sesuai dengan dorongan peribadinya tanpa memperdulikan hasil dan akibat daripada apa yang dilaksanakan olehnya, kecuali apabila tindakannya itu bertembung dengan kebebasan orang lain.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa kepentingan masyarakat dikaitkan dengan kepentingan-kepentingan individu, kerana individu adalah dasar dimana sistem masyarakat didirikan. Pemerintah yang baik adalah pemimpin yang dapat memberikan pemuasan dan keuntungan bagi individu dan alat yang digunakan untuk menjaga dan melindungi kepentingan-kepentingannya. Jelaslah bahawa sistem masyarakat ini adalah sistem materialis tulen yang diikuti oleh kebanyakan orang sekarang, ia hanya terbatas kepada aspek manfaat(utilitarian) daripada kehidupan materialisnya.

Hasil daripada pemikiran materialis ini, moral dan nilai etika telah ditolak dalam semua pertimbangan ataupun boleh dikatakan bahawa konsep kapitalis yang keji ini telah dijadikan keutamaan(prioriti) dan kebebasan telah dicanangkan sebagai alat untuk mencapai prioriti ini. Akibatnya timbul segala kerosakan sosial yang dikeluhkan oleh masyarakat Malaysia sebagai bencana, malapetaka, kerumitan dan kesengsaraan. Para pembela dan pejuang demokrasi kapitalis selalu membela sikapnya terhadap individu dan kepentingan peribadinya dengan mengatakan:

"Kepentingan peribadi dengan sendirinya membawa kepentingan masyarakat. Apabila seseorang melakukan kegiatan kemasyarakatan dia juga mencapai keuntungan peribadi kerana dia adalah sebahagian daripada masyarakat dimana ia bekerja untuk nya dan akan kembali kepadanya sendiri. Oleh itu motif peribadi dan utilitarian sudah cukup untuk menjamin kepentingan-kepentingan sosial, kerana apabila dianalisa akan menuju kepada kepentingan peribadi dan kepentingan individu".

Anggapan ini lebih kepada khayalan daripada masuk akal. Bayangkan, sekiranya kriteria perbuatan dalam kehidupan setiap individu dalam sesuatu masyarakat adalah mencapai keuntungan dan kepentingan semaksimumnya untuk dirinya sendiri dan negara pula telah memberikan kebebasan maka masih adakah lagi erti dan nilai kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan dalam diri individu ini? Mungkinkah perkaitan antara kepentingan masyarakat dengan kepentingan individu cukup untuk mengarahkan seseorang untuk melakukan pekerjaaan yang dituntut oleh etika dan moral sedangkan mengikut pengetahuannya ia tidak membawa sesuatu keuntungan pun untuknya? Meskipun secara kebetulan kegiatan itu mempunyai keuntungan baginya kerana ia termasuk dalam masyarakat tetapi seringkali berlaku keuntungan yang sedikit ini akan bertentangan dangan keuntungan-keuntungan yang lebih jelas atau kepentingan-kepentingan peribadi yang lebih dijamin untuk dicapai.

Oleh itu individu yang berada dalam hadharah(peradaban) yang tidak islami ini akan memijak-mijak seluruh sistem etika dan kesedaran spiritual. Kita ummat Islam mestilah sedar bahawa ideologi kapitalis yang dibuat oleh manusia ini adalah hasil dari akal manusia yang terbatas dan sudah pasti mengandungi kesilapan dan kelemahan-kelemahannya. Untuk itu harus ada suatu sumber lain selain daripada ideologi kapitalis ini. Sumber yang dapat menjawab persoalan tentang manusia, alam dan kehidupan dengan mendalam dan menyeluruh(jernih/mustanir), dan daripadanya didirikan sistem masyarakat yang sempurna untuk membina kehidupan baru yang dinamik untuk memenuhi dan menjaga kepentingan masyarakat. Sumber itu adalah Islam. Islamlah satu-satunya penyelesaian kepada masalah tersebut. Kita mesti memberikan kepercayaan kepada Islam untuk memimpin kepimpinan dunia ini dengan payung Sistem Khilafah.

Islam sebagai cara hidup yang telah dibawa dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada masyarakat manusia menangani masalah sosial dengan cara yang menyeluruh. Ia dapat direalisasikan dengan berdirinya masyarakat seperti yang diasaskan oleh beliau di Madinah iaitu sebuah masyarakat yang adil dan makmur di bawah naungan Ridha Allah.

Seseorang yang berada dalam masyarakat Islam akan terhalang dari melakukan kemungkaran bermula dengan keyakinan terhadap fikrah-fikrah Islam yang dibawanya, pandangan-pandangan dan perasaan-perasaan umum masyarakat terhadap hidup dan berpegang dengan Islam, dan terakhir adalah uqubat yang merupakan tindakan-tindakan negara terhadap perlanggaran hukum atau pemastian pendirian hukum.

Setiap individu dalam masyarakat Islam (kelompok muslim dan non-muslim yang Islam mengatur urusan kehidupan mereka) diberikan pendidikan yang berasaskan kepada aqidah Islam. Tujuan pendidikan ini adalah untuk membekalkan aqal dengan pemikiran dan idea-idea yang jernih, semada mengenai aqaid (cabang-cabang aqidah), maupun hukum.

Pendidikan Islam akan melahirkan individu yang mempunyai syakhsiyah Islam yang menjadikan aqidah Islam sebagai asas berfikir dan menerbitkan mafahim-mafahim yang menghasilkan tingkah laku yang Islami dalam semua urusan-urusan kehidupan seperti hubungan lelaki dan wanita, ekonomi, politik, dan lain-lain.

Segala pelajaran tersebut yang juga diterapkan dalam masyarakat akan menerbitkan pandangan-pandangan dan perasaan umum dalam masyarakat. Contohnya zina atau perbuatan-perbuatan yang membawa kepadanya adalah haram, sesiapa yang melakukan perkara-perkara tersebut akan dipandang hina oleh masyarakat dan menaikkan kemarahan masyarakat. Suasana yang seperti ini akan menghalang atau mencegah seseorang dari melakukan perlanggaran terhadap sebarang larangan. Disebalik iman yang mendorong seseorang untuk berusaha mendapatkan harta dengan cara yang halal dan mengeluarkan zakat atau sedekah sebagai salah satu cabang ibadah bagi dirinya, keyakinan masyarakat terhadap nilai rohani yang wujud dalam amalan tersebut sedikit sebanyak menyebabkan semua ahli masyarakat terdorong untuk berusaha mendapatkan rezeki yang halal dan membelanjakannya dengan cara yang dibenarkan oleh syara'.

Bagi individu yang tidak terhalang oleh pemikiran dan perasaan umum tersebut, Islam telah sedia dengan mekanisme praktik atau tariqah yang merupakan tindakan-tindakan fizikal iaitu uqubat bagi pelanggaran hukum. Pesalah-pesalah zina yang belum berkahwin akan dikenakan hukuman sebat 100 kali dan hukuman rejam bagi yang telah berkahwin jika sabit kesalahan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam bukan agama yang hanya mengandungi nasihat dan bimbingan tetapi mencakup penyelesaian-penyelesaian dalam masalah hidup dan mekanisme praktik penerapan hukum.

Penerapan tersebut adalah penerapan yang tidak pilih bulu. Ini dapat dilihat semasa zaman Rasulullah sendiri, apabila terdapat usaha-usaha golongan bangsawan untuk meminta pengecualian bagi seorang wanita bangsawan daripada hukuman potong tangan atas kesalahan mencuri. Mendengarkan berita ini nabi s.a.w. dengan marah naik ke mimbar dan bersabda "....demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti ku potong tangannya". Ketegasan ini diteruskan oleh khalifah-khalifah yang seterusnya. Penerapan syariah bukan disebabkan samada manusia suka atau tidak suka.

Penerapan Islam berasaskan taqwa kepada Allah ini sangat berbekas dalam jiwa sehingga pesalah zina pada ketika itu datang menyerah kepada Rasulullah untuk disucikan dengan uqubat kerana takutkan siksa akhirat. Hukuman yang dikenakan bukan sekadar ditujukan kepada pesalah, tetapi memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat, yang menunjukkan pandangan Islam terhadap masyarakat yang tidak mementingkan hanya individu atau kelompok semata. Hukuman bagi pesalah zina dijalankan dengan disaksikan oleh khalayak ramai atau disiarkan secara langsung di televisyan ke seluruh negara, berdasarkan firman Allah :

"dan hendaklah disaksikan azabnya oleh segolongan orang-orang beriman." (TTQ : An-Nuur : 2)

Misi menubuhkan masyarakat yang bersih, suci, adil dan makmur sebenarnya telah dilakukan dan terbukti dalam sejarah iaitu bermula di Madinah di bawah pengawasan Rasulullah. Sejak dari itu khalifah-khalifah yang seterusnya bersama ribuan ulama' dan mujtahidin berusaha untuk mengekal, mempertingkatkan dan memperluaskan kewujudan masyarakat itu dengan mengembangkan kaedah-kaedah penyelesaian bagi masalah-masalah baru yang digali dari sumber hukum iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Hasilnya kita lihat beribu-ribu kitab hasil kerja meraka, bukan untuk tujuan ilmiah tetapi telah diterapkan dalam kehidupan. Proses pengajaran atau penghasilan para ilmuan dan mujtahid baru untuk menyambung tugas tersebut juga berlaku dengan menggalakkan kerana penggalian ilmu dan penarikan hukum baru bagi masalah yang baru timbul berlaku dihadapan mereka. Hasilnya bukan kitab-kitab bergerak tetapi problem solver yang cekap menghubungkan realiti dengan syara' dan menarik hukum.

Tidak hairanlah mereka ini ramai yang telah hafal al-Quran pada peringkat umur yang masih kanak-kanak. Malahan Imam as-Syafiee telah hafal al-Quran pada umur 9 tahun. Beliau telah hafal kitab al-Muata' Imam Malek sebelum kuliah. Imam al-Bukhari penghulu Muhadditheen hafal ratusan ribu hadith ada pengaruh dari penerapan keseluruhan al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan. Iaitu mereka melihat ayat-ayat dan hadith hidup dalam kehidupan mereka.

Manusia bergerak atas dorongan naluri (gharizah) dan keperluan organik (hajatul uduwiyyah). Naluri mengekalkan keturunan (gharizatun nau') menurut Muhammad Muhammad Ismail, Pensyarah Universiti Al-Azhar Kairo, dalam bukunya "Al-Fikrul Islami" mengatakan bahawa nafsu seksual yang lahir dari naluri ini tidak muncul begitu sahaja tanpa adanya rangsangan.

Memang selayaknya Islam amat ketat menjaga perkara "rangsangan". Daulah Islam akan sentiasa memastikan bahawa segala sumber-sumbar maklumat seperti media cetak, elektronik atau multimedia dan suasana yang negatif menurut pandangan syariat Islam di benteras sama sekali. Seseorang yang tidak pernah memegang, melihat, berbincang atau menggunakan landing valve1 dalam sejarah hidupnya tidak akan terlintas di fikirannya untuk menghargai atau ingin menggunakannya. Maklumat atau perlakuan negatif jika di canangkan atau dibenarkan berlaku di hadapan masyarakat terutama generasi muda yang sedang ghairah untuk mencuba apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Maka kita tidak akan dapat saksikan dua orang lelaki dan dua orang perempuan yang tiada hubungan pernikahan bergaul bebas seperti suami isteri dan difilemkan untuk dipertontonkan dan diambil pengajaran daripadanya oleh masyarakat dalam daulah Islam.

Perkahwinan sebagai penyelesaian daripada Islam untuk menjawab panggilan naluri mengekalkan keturunan dengan anjuran supaya dimudahkan perlaksanaannya dan direndahkan kosnya sehingga jika perlu ada subsidi dari negara.

Mafahim Islam berkenaan wanita, pakaian wanita, aturan-aturan pergaulan antara lelaki dan wanita, mafahim tentang perkahwinan. Salah faham tentang mafahim Islam menimbulkan persepsi bahawa Islam membelenggu wanita di celah dapur. Di Algeria misalnya, ribuan wanita menunjuk perasaan di jalanraya, membantah kemenangan parti Islam, FIS disebabkan mereka takut, kalau FIS menang mereka akan disuruh berhenti kerja atau dipaksa memakai 'hijab'. Yang paling mengejutkan baru-baru ini bekas Miss Malaysia Tourism 1994 mempertahankan anjuran pertandingan ratu cantik atau penyertaan wanita Islam di dalamnya seolah-olah wanita Islam hanya dilarang 'berbogel' tetapi sebaliknya dibenarkan memakai minimum pakaian renang dengan dibelitkan 'pareo'. Ada bekas ratu yang mengatakan terdapat banyak perkara-perkara positif yang boleh diperolehi dari pertandingan ratu cantik. Kenyataan-kenyataan seperti ini yang datangnya dari wanita beragama Islam adalah satu penyelewengan yang sangat memalukan dan membahayakan masyarakat kerana kata-kata orang seperti ini sangat laris di pasaran media masyarakat ketika ini untuk ditelan generasi kita terutama muda-mudi.

Menurut Dr. Samih Athif dan Dr. Mustafa As Sibaie dalam tulisan mengenai kaedah-kaedah Sistem Sosial dalam Islam iaitu "Syariat Islam dan wanita diantara Hukum Islam dan Perundang-undangan", menegaskan, fungsi dasar wanita adalah sebagai ibu dan pengatur urusan rumahtangga. Namun Islam memberi kebenaran wanita melakukan pekerjaan di luar rumah, seperti berniaga, mengajar, belajar, berbincang dengan jiran-jiran, dan berbagai aktiviti-aktiviti yang halal. Wanita dibenarkan berkomunikasi dengan lelaki jika perlu, dengan syarat tidak terjadi khalwat. Beliau juga menegaskan bahawa "Wanita adalah terhormat, harus dijaga".

Perlu ditegaskan bahawa aturan-aturan Islam bukan dibatasi hanya nilai-nilai moral sahaja. Tariqah atau kaedah-kaedah praktik pendirian hukum termasuk hukuman-hukuman bagi perlanggaran mesti dijalankan untuk memastikan aturan-aturan dipatuhi. Walaupun Islam biasanya bersikap preventif, hukuman-hukuman dalam Islam bersifat deterensif (pembersihan). Dalam masyarakat Islam, pasti tidak akan dijumpai wanita yang keluar rumah dengan sengaja mempamerkan betisnya, apa lagi yang lebih teruk dari itu. Jika ada kemungkinan besar wanita itu gila kerana orang gila tidak dikenakan beban hukum (taklif) ke atasnya. Jika terjadi juga maka hukuman (ta'zir) akan dikenakan ke atasnya, mungkin dia akan disuruh lari (masuk ke dalam rumah), didenda, atau hukuman lain yang sewajarnya bergantung kepada keputusan qadi am (hakim mahkamah am).

Yang terpenting , menurut Abdul Aziz Al-Badri, sistem Islam memiliki keunggulan yang tidak dimiliki oleh mana-mana sistem lain. Sistem ini mempunyai dorongan taqwa di dalamnya. Maknanya, setiap individu menjalankan aturan-aturan Islam, semata-mata atas dorongan taqwanya kepada Allah, bukan kerana takut hukuman dunia. Kejelasan terhadap aqidah Islam menyebabkan lahir kesedaran akan hubungan dengan Allah (idra' sillah billah) dalam melakukan perbuatan. Kesedaran bahawa Allah Maha Mengetahui, segala perbuatan manusia, di mana sahaja ia berada. Maka dengan dorongan taqwa dan ancaman hukuman yang berat di dunia, masyarakat akan terbebas dari segala tindakan yang keji dan kotor.

Bayangkan jika majoriti warga masyarakat, terutama para pemimpin dan pegawai kerajaan, memiliki sifat taqwa dan menegakkan hukum seperti yang demikian. Tidak sukar untuk membayangkan, betapa indahnya bentuk masyarakat seperti ini. Mudah diterima aqal, peristiwa datangnya seseorang dari hujung Madinah (Maidz Al-Aslami) kepada Rasulullah, mengaku bahawa ia telah berzina, dan minta dihukum.

Juga tidak sukar membayangkan, jika konsep semacam itu diterapkan di dalam masyarakat, maka dengan sendirinya pelacuran, pornografi, judi, arak, disko, dadah dan lain-lain agen-agen gejala tidak diperlukan lagi. Oleh yang demikian, simtom-simtom gejala akan dapat di elakkan atau malah dihapuskan sama sekali.

Namun kini, kita tidak perlu bertanya, pelacuran, haruan makan anak, buang bayi, lepak, dadah, arak sudah dianggap biasa. Bahkan dianggap seolah-olah sudah suatu identiti. Pelacur, anak haram, kaki dadah, kaki arak, kaki judi, kaki lepak telah banyak berkeliaran di tengah-tengah masyarakat. Kita perlu beringat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah memperingatkan bahawa jika riba dan zina telah bertebaran di tengah masyarakat, maka saat itulah, Allah akan menurunkan azab-Nya. "Bila riba dan zina telah berkembang nyata di suatu negeri, maka(bererti, mereka-penduduk negeri itu) telah menghalalkan untuk diri mereka azab Allah." (HR Hakim)

Celakanya, sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran surah al-Anfal ayat 25, azab Allah tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja. Tetapi semua warga masyarakat akan terkena, tanpa pandang bulu.

"Dan takutlah (kamu sekelian)akan fitnah (bencana, kerusakan, azab) yang tidak hanya menimpa pada orang yang zalim (orang yang suka membuat kerosakan) saja di antara kamu" (TTQ. Al-Anfal:25)

Maka jangan salahkan, jika ribuan bayi yang tidak berdosa pun kini tidak lepas dari bahaya jangkitan penyakit maut AIDS. Dan isteri-isteri yang setia juga kena penyakit laknat itu.

Adakah kita masih sayangkan payung baru tetapi bocor yang tidak meninggalkan sedikitpun kawasan kering di tubuh kita walaupun hujan renyai-renyai menimpa. Payung hadiah barat yang tak sampai seabad digunakan telah mengorbankan ribuan nyawa, kehormatan, pemikiran, perasaan dan kemulian ummat ini. Rindukanlah payung rahmat Allah kesan penerapan syariatnya secara total dalam kehidupan.


International Islamic And Development Studies