PERPADUAN: Bagaimana ?
“Perpaduan Ummah Membawa Kejayaan” slogan sambutan maal hijrah yang telah
disambut secara besar-besaran di Stadium Putra, Kompleks Sukan Negara. “Perpaduan sangat penting, lebih-lebih lagi
dalam usaha untuk mencapai taraf negara maju”, ucapan pembesar negara semasa mengulas peristiwa besar hijrah
yang berlaku 1420 tahun yang lampau.”Keamanan
dan keharmonian yang dialami sekarang belum tentu dapat dinikmati sekiranya
tidak ada perpaduan di kalangam rakyat.”, satu kenyataan yang perlu
diteliti dari sudut idea dan aplikasinya dalam masyarakat. Dalam usaha untuk
menyingkap isu ini kita perlu melihat bentuk perpaduan ummah yang bagaimana
yang akan membawa kepada kejayaan atau kemajuan dan apakah iktibar dari hijrah
rasul dan kesannya kepada perpaduan ummah.
Realiti yang berlaku ke
atas umat Islam ketika ini adalah sangat mendukacitakan. Kita telah berpecah
kepada lebih 50 buah negara Islam dilihat dari keanggotaan OIC dengan konsep
negara bangsa. Ini adalah natijah dari kejatuhan daulah Islam yang terakhir
berpusat di Turki pada tahun 1924 oleh Mustafa Kamal laknatullah alaih.
Racun nasionalisme dan
patriotisme yang telah meresap ke dalam jiwa umat Islam adalah penghalang yang
paling utama yang perlu dipecahkan dan disucikan dari sanubari umat. Umat telah
dipisahkan mengikut bangsa dan terpecah pula oleh sempadan-sempadan ciptaan
barat. Ikatan yang tinggal hanya, persahabatan dan kerjasama ekonomi. Ikatan
yang lemah ini telah menggantikan ikatan aqidah Islam.
Kesadaran umat telah
mulai bergelora untuk bersatu, tetapi matlamat yang baik ini tidak akan dapat
dicapai jika kaedah yang ditempuh adalah salah atau keliru. Di satu sisi kita
menyerukan persatuan, di sisi lain kita masih mengekalkan sempadan dan
membanggakan sempadan, sehingga saudara seIslam yang datang dari negara jiran
untuk perlindungan atau mencari nafkah, kita halau mereka balik. Adakah
ini perpaduan.
Jadi apakah yang dapat
membawa kepada matlamat ini? Allah SWT telah memberikan jawapan dalam firmannya:
“Dan jika
mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan
memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan
pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.. Dan (Dia lah)
yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau
belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat
juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah
menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.”
(QS Al-Anfal: 60-63)
Jadi yang akan mempersatukan umat
Islam adalah Allah. Adakah Allah memaksa kita? Tidak, tetapi dengan memeluk
aqidah Islam.
Persatuan
Aqidah
Sesungguhnya prinsip utama persatuan
dan persaudaraan Islam adalah aqidah Islam. Segala benteng-benteng sempadan
geografi, tembok-tembok nasionalisme dan patriotisme, jurang kaya dan miskin,
perbezaan warna kulit dan bahasa akan runtuh apabila telah memiliki aqidah
Islam yang sama, maka mereka bersaudara dan diperintahkan untuk bersaudara
dalam firman Allah:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah)
itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al-Hujuraat:10)
“Dan
berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara
hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah
kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”(QS Al-Imran 103)
Rasulullah SAW. bersabda:
“Hai
manusia, sesungguhnya Rabb kalian satu dan bapak kalian pun satu. Tidak ada
keutamaan orang Arab atas orang Ajam(bukan arab) dan tidak ada keutamaan Orang
Ajam atau orang Arab, tidak ada keutamaan orang hitam atas orang merah, dan
tidak ada keutamaan kulit merah atas kulit hitam, kecuali taqwanya.” (HR. Ahmad)
Dalil-dalil di atas menegaskan
kepada kita bahawa satu-satunya ikatan yang menghubungkan antara sesama muslim
adalah ikatan Aqidah Islam. Persatuan berdasarkan aqidah ini tidak boleh kalah
oleh persatuan lainnya yang tidak diakui oleh hukum syara’ seperti ikatan
kesukuan, nasionalisme, patriotisme, kemanusiaan atau ikatan asabiyah yang
lainnya. Ikatan nasionalisme (asabiyyah)
merupakan ikatan yang sempit, yang lahir dari gharizatul baqa’ (naluri mempertahankan diri/survival instinct)
yang selanjutnya melahirkan keinginan untuk memimpin(hubbus siadah). Ikatan ini tidak layak untuk menjadi pengikat di
antara sesama manusia dan juga tidak layak untuk menyatukan mereka dalam satu
pemikiran. Sebab nasionalisme memang kosong dari pemikiran (tidak membuahkan
pemikiran) dan bahkan tidak ada hubungan dengan pemikiran dan peraturan.
Dengan demikian
nasionalisme tidaklah layak untuk membangkitkan umat Islam, sebab kebangkitan
adalah meningkatnya taraf berfikir umat. Apabila ikatan ini tidak mempunyai
atau tidak menerbitkan sebarang peraturan maka pejuang-pejuang nasionalisme adalah
pengemis-pengemis peraturan-peraturan yang mereka pinjam dari ideologi
kapitalis dan sosialis, kerana persatuan mereka adalah persatuan emosi yang
kosong dari penyelesaian kepada masalah kehidupan. Ikatan ini hanya dipenuhi
dengan pertarungan merebut kekuasaan dan mengekalkan kekuasaan sahaja seperti
yang berlaku di semua negeri kaum muslimin dewasa ini iaitu menyeru kepada
Arab, Turki, Parsi, Negro, Melayu, Pakistan dan lain-lain.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa saja yang menyeru kepada ‘asabiyah(fanatisme golongan,
seperti nasionalisme) maka dia tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” (HR. Abu Daud)
“Dan
sesiapa yang berperang di bawah panji kejahiliahan , ia marah kerana ‘asabiyah,
atau menyeru kepada ‘asabiyah, atau ikut menolong (membantu) demi ‘asabiyah,
kemudian ia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyah” (HR Muslim)
“Sesiapa yang berbangga-bangga dengan kebanggaan jahiliyah, maka hendaklah kalian menyuruh mereka menggigit kemaluan bapaknya dan jangan kalian mengatakan hal(menyuruh) itu secara samar-samar(mengubah matan hadith)”
(HR
Ahmad, Nasa’I, Ibnu Hibban dan Ath Thabrani)
Hadith yang pertama
perkataan “…tidak termasuk golongan kita (kaum muslimin)” di atas bukan bererti
kafir tetapi qarinah menunjukkan larangan yang membawa hukum haram jika
dilanggar. Hadith kedua dan ketiga adalah pencelaan kepada perjuangan atas
dasar ‘asabiyah yang juga membawa hukum haram.
Islam memandang bahawa
semua manusia sama tanpa mengira bangsa, warna kulit dan keturunan kecuali
taqwa, firman Allah:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari
lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang
lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan
keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat: 13)
Islam sebagai sebuah agama sekaligus
ideologi sangat mementingkan perpaduan, ini dapat dilihat melalui
perintah-perintah atau hukum-hukum dalam Islam. Contohnya konsep kenegaraan dalam Islam.
Kaum muslimin di seluruh dunia
diwajibkan hanya memiliki satu daulah khilafah. Mereka juga dibenarkan hanya
membai’at seorang khalifah sahaja. Bahkan Allah telah mengharamkan kaum
muslimin mempunyai lebih dari satu negara. Dalil yang menerangkan perintah ini
adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Abdullah bin Amru bin
Ash yang berkata, bahawa dia mendengarkan Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa saja yang telah membai’at seorang imam, lalu
memberikan uluran buah hatinya(untuk mentaati perintahnya, maka hendaklah ia
mentaati imam tersebut selagi masih mampu, dan jika ada orang lain yang hendak
mengambil alih kekuasaan darinya, maka penggallah leher orang itu”.
Juga berdasarkan hadith yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Arfajah yang berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa
saja yang datang kepada kamu sekelian sedangkan urusan kalian berada di tangan
seorang (Khalifah) kemudian dia hendak memecahbelahkan kesatuan jamaah kalian,
maka bunuhlah dia’.”.
Hadith yang pertama menjelaskan, bahwa ketika memberikan kepimpinan, atau Khalifah kepada seseorang maka menta’atinya adalah wajib. Jika ada orang lain yang datang merebut jawatan tersebut, memeranginya adalah wajib selagimana dia masih meneruskan cita-citanya.
Hadith kedua menjelaskan,
bahawa ketika jama’ah kaum muslimin telah bersatu di bawah pemerintahan seorang
Khalifah, jika ada orang lain yang datang ingin memecahkan kesatuan jamaah kaum
muslimin, maka membunuh orang itu adalah wajib.
Kedua hadith di atas
menjelaskan makna kinayah (kiasan) terhadap larangan memecah atau
membahagi-bahagi negara, serta memerintahkan agar tidak membenarkan sesiapa jua
untuk memecahkan kesatuan jama’ah, daulah dan kepimpinan kaum muslimin.
Kesimpulan dari pembahasan di atas memberikan kita pengertian yang tegas bahawa
wujudnya lebih dari 50 buah negara Islam pada waktu ini adalah haram dan
sesiapa yang menerima keadaan ini adalah berdosa.
Kebelakangan ini gerakan
penyelewengan terhadap pengertian hijrahnya Rasulullah SAW telah sangat berleluasa.
Pengertian hijrah dihadkan sebagai perubahan dari keadaan yang tidak baik
kepada yang lebih baik sahaja, atau hijrah bermakna memperbaiki akhlak atau
dari melakukan dosa kepada tidak melakukan dosa atau seperti slogan maal hijrah
iaitu iktibar hijrah untuk perpaduan atas asas dan matlamat yang kabur. Makna
di atas adalah makna bahasa.
Hijrah yang dilakukan
oleh Rasulullah SAW. juga bukan perlarian dari rancangan bunuh. Tetapi atas
bimbingan wahyu dari Allah SWT. Bahkan perancangan hijrah ini telah dilakukan
terlebih awal dari yang didakwakan, maknanya bukan gerakan tergesa-gesa takut
dibunuh.
Kedatangan Rasulullah SAW
ke Madinah sebenarnya adalah sebagai ketua negara yang telah diangkat semasa
Bai’atul Aqabah yang kedua. Beliau datang untuk memulakan sebuah masyarakat
baru di Madinah dalam konteks masyarakat sebagai kelompok individu yang hidup
dalam satu wilayah yang berlaku interaksi yang intensif antara anggota
masyarakat yang mempunyai pemikiran yang sama (wahdatul afkar), perasaan yang sama (wahdatul masyaair) dan diatur oleh satu set peraturan yang mengatur
urusan kehidupan (wahdatul andzimah).
Tindak-tanduk Rasulullah
SAW sebagai ketua negara dapat dilihat dari peristiwa Bai’atul Aqabah II iaitu
perlantikan sebagai ketua negara. Pembentukan Piagam Madinah adalah
perlembagaan sebuah negara yang baru ditubuhkan. Dilihat dari timbunan
hadith-hadith yang menceritakan tentang aktiviti Rasulullah SAW di Madinah yang
berbeza dengan di Mekah adalah dari sifat aktiviti sebagai ketua negara yang
menjalankan fungsi ri’ayatu suunil ummah
dakhilian wa kharijian (menjaga hal ehwal ummah dalam dan luar negara).
Antara urusan dalam
negara yang ditangani oleh beliau adalah mengurus urusan pemerintahan negara,
mengurus aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, pengadilan dan ketenteraan.
Hubungan luar negara berupa dakwah kepada negara sekitar dapat dilihat dari
surat-surat Rasulullah SAW kepada lebih 30 buah negara di sekitar Madinah
hingga ke Afrika, Eropah dan Asia tengah.
Perkembangan dakwah yang
berlaku selepas hijrah adalah sangat pesat dimana dalam masa 10 tahun seluruh
Jazirah Arab telah berada di bawah naungan Islam. Manakala dalam masa 100 tahun
Islam telah menjalar meliputi 2/3 dunia. Kesan atau makna hijrah ini adalah
sangat besar ertinya kepada kaum muslimin sehinggakan Saidina Umar tidak
memulakan pengiraan tahun Islam dari lahirnya Rasulullah seperti yang dilakukan
oleh penganut agama Masehi tetapi penghijrahan Rasul yang menandakan bermulanya
episod kehidupan yang baru bagi kaum muslimin di mana seluruh kehidupan mereka
diatur oleh Islam.
Jadi peringatan kepada
peristiwa hijrah kepada selain yang dihuraikan di atas merupakan penyelewengan
yang besar perhatian umat dari yang sepatutnya. Ini akan melalaikan umat dari
Sunnah yang berbentuk af’al Rasul yang hukumnya wajib dikala kehidupan kaum
muslimin tidak diatur oleh Islam sejak 75 tahun yang lampau.
Perpaduan ummmah mestilah
diasaskan kepada Aqidah Islam. Perpaduan adalah natijah dan bukan asas. Ikatan
selain dari asas ini seperti nasionalisme, patriotisme dan lainnya adalah
diharamkan. Syariat Islam secara fitrinya jika diamalkan akan menyatukan ummah
dilihat dari konsep kesatuan Daulah dan Kepimpinan yang mampu menghilangkan
sempadan kaum, bahasa dan warna kulit. Makna hijrah yang sebenarnya yang perlu
diambil tindakan oleh kaum muslimin adalah lonjakan kepada keadaan dimana Islam
diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.