SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM
ADALAH DARI ALLAH
DAN BUKANNYA DARI MANUSIA
Tarikh 7 Jun
1999 yang lepas menyaksikan penduduk sebuah negara yang mempunyai jumlah umat
Islam yang tertinggi di dunia iaitu Indonesia keluar mengundi bagi
menentukan kerajaan baru selepas setahun berakhirnya era pemerintahan Suharto.
Dianggarkan
lebih 100 juta rakyat Indonesia telah keluar mengundi dalam pilihan raya kali
ini, di mana ianya dianggap pilihan raya yang paling demokrasi dalam sejarah 32
tahun Indonesia. Pilihan raya kali ini adalah yang paling hangat diperkatakan
kerana telah menarik sejumlah 48 buah parti untuk bertanding.
Apa yang
lebih menariknya ialah “Keperihatinan”
kafir laknatullah Amerika untuk terlibat secara langsung dan tidak langsung
dalam kancah percaturan politik di Indonesia. Ini dapat dilihat dengan
kehadiran bekas Presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter bersama “Kuda-kuda tunggangan” yang membentuk Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU)
ke Indonesia yang didakwa sebagai pemerhati untuk memastikan perjalanan pilihan
raya kali ini berjalan dengan adil.
Sebagai umat
Islam kita perlu memahami siapakah mereka itu dari segi realitinya?. Firman
Allah swt:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang
kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (TMQ Al-Baqarah:
120)
Perkembangan
yang berlaku di Indonesia ini sebenarya amat menarik diikuti oleh kerana ianya
akan memberikan kesan yang besar kepada Islam khususnya dari segi politik,
ekonomi dan ketenteraan dalam menuju alaf baru ini.
Isu kali ini
akan menyentuh soal politik pemerintahan Islam supaya ianya akan membuka
kerangka pemikiran kita terhadap bentuk sistem pemerintahan masa kini.
Jelas jika
dilihat kepada realiti kini seolah-olah umat Islam seperti kehilangan arah
untuk menentukan bentuk sistem pemerintahan yang akan dilaksanakan.
Masing-masing kini memandang ke arah “Sistem Demokrasi” yang mana ia
sebenarnya menipu diri umat Islam. Ini adalah kerana jelas HARAM hukumnya kita
mengambil, menerapkan dan menyebarluaskannya serta menerima pakai sistem
demokrasi sebagai sistem pemerintahan negara.
Perlu
diketahui demokrasi adalah berasal dari ciptaan manusia itu sendiri dan tidak
akan mampu memberikan penyelesaian kepada seluruh permasalahan kehidupan
manusia di dunia hari ini dan masa-masa yang akan datang.
Maka di
sini, kami akan membentangkan apakah bentuk sistem pemerintahan yang sepatutnya
diperjuangkan oleh umat Islam pada hari ini? dan bukannya terus ditipu oleh
kuasa kuffar Amerika dengan meniupkan hembusan racun demokrasi yang berjaya
menggerakkan lebih 100 juta rakyat Indonesia untuk mengundi bagi terus
mengekalkan sistem pemerintahan kufur demokrasi di Indonesia.
Sistem
pemerintahan Islam adalah suatu sistem yang unik sama sekali berbeza dengan
sistem-sistem pemerintahan yang ada di dunia masa kini. Ianya berbeza baik dari
segi asas yang menjadi landasan berdirinya, pemikiran, konsep, tolok ukur serta
hukum-hukum yang digunakan untuk memelihara kepentingan umat. Secara jelasnya
sistem pemerintahan Islam bukanlah dalam bentuk:
i.
Pemerintahan Beraja.
ii.
Pemerintahan Republik/Demokrasi.
iii.
Pemerintahan Kekaisaran.
iv.
Pemerintahan Persekutuan.
Tegasnya
sistem pemerintahan di dalam Islam adalah sistem Khilafah dan ini telah
disepakati dari Ijma’ Sahabah terhadap kesatuan Khilafah, kesatuan negara serta
ketidakbolehan berbai’at selain kepada seorang Khalifah sahaja pada satu-satu
masa.
Sistem
pemerintahan Islam tertegak di atas empat rukun seperti di bawah ini:
i.
Kedaulatan di tangan syara’
ii.
Kekuasaan adalah milik ummat.
iii.
Mengangkat seorang khalifah hukumnya adalah
fardhu bagi seluruh kaum muslimin.
iv.
Hanya Khalifah yang berhak melakukan tabanni (menerima pakai) terhadap
hukum-hukum syara. Khalifah juga berhak membuat undang-undang dasar dan semua
undang-undang yang lain.
Prinsip ini
menjelaskan kepada kita bahawa kedaulatan bukanlah berada di tangan ummat
sebagaimana yang berlaku di dalam sistem demokrasi. Ini jelas dengan memandang
kepada keadaan di mana semua urusan dan aspirasi individu adalah ditangani dan
diatur oleh syara’ bukanlah individu itu sendiri dengan sesukanya. Seluruh
perbuatan dan tindakan setiap individu adalah terikat dengan perintah dan
larangan Allah swt. Dalil yang berkaitan dengan hal ini adalah sebagaimana
firman Allah swt:
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak
beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka
perselisihan” (TMQ
An-Nisa: 65)
“Hai orang-orang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah Rasul-Nya dan Ulil amri di antara kamu kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Kitab) dan Rasul (Sunnahnya), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian” (TMQ An-Nisa: 59)
Pengertian
“Kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul”
adalah “Kembalikan kepada Hukum
Syara’”.
Oleh
yang demikian, yang “berautoriti”
ditengah-tengah umat dan individu serta yang menangani dan mengendalikan
aspirasi umat dan individu itu adalah apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. Di
mana umat dan individu itu kesemuanya wajib tunduk kepada syara. Kerana itulah
kedaulatan di tangan syara’.
Kekuasaan di Tangan Umat
Adapun
prinsip kedua iaitu kekuasaan di tangan umat diambil dari fakta bahawa syara’
telah menjadikan pengangkatan Khalifah oleh umat, dimana seorang Khalifah hanya
memiliki kekuasaan melalui bai’at. Dalil bahawa syara’ telah menjadikan
pengangkutan Khalifah oleh umat adalah tegas sekali di dalam hadith-hadith
tentang bai’at.
Imam
Muslim telah meriwayatkan dari Ubadah bin Shamit yang berkata:
“Kami telah membai’at
Rasulullah saw untuk setia mendengar dan menta’ati perintahnya, baik dalam
keadaan susah maupun baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun tidak kami
senangi”.
Dari
Jarir bin Abdillah yang berkata:
“Aku memba’at
Rasulullah saw untuk mendengar dan menta’ati (perintah)-Nya dan aku akan
menasihati tiap kaum Muslimin”.
Bai’at
tersebut diberikan oleh kaum Muslimin kepada Khalifah, bukan oleh Khalifah
kepada kaum Muslimin, kerana merekalah yang sebenarnya mengangkat Khalifah
sebagai penguasa mereka.
Kenyataan
ini menunjukkan bahawa kekuasaan di tangan umat. Nabi saw sekalipun beliau
adalah Rasul namun beliau tetap mengambil bai’at dari umat, menunjukkan bahawa
bai’at adalah untuk mendapatkan kekuasaan dan pemerintahan, bukan bai’at
terhadap kenabian. Beliau telah mengambil bai’at tersebut baik dari lelaki
maupun wanita dan beliau tidak mengambil bai’at dari anak-anak kecil yang belum baligh kerana kaum musliminlah yang mengangkat
seorang Khalifah dan membai’at mereka dengan Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya, di
samping Khalifah mendapatkan kekuasaan hanya dengan adanya bai’at tersebut,
maka semuanya tadi telah menjadi dalil yang tegas bahawa kekuasaan adalah milik
umat di mana umat boleh memberikannya kepada siapa sahaja yang dikehendakinya.
Mengangkat Seorang
Khalifah Hukumnya Fardhu Bagi Seluruh Kaum Mulimin.
Prinsip
yang ketiga adalah mengangkat seorang Khalifah hukumnya merupakan suatu
kefardhuan bagi seluruh kaum muslimin. Ini adalah berdasarkan hadith Imam Muslim
telah diriwayatkan oleh Nafi’ yang berkata:
Abdullah
bin Umar berkata kepadaku:
Aku
mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Siapa sahaja yang
melepaskan tangan dari keta’atan, ia akan bertemu dengan Allah di hari kiamat
tanpa mempunyai hujah dan siapa sahaja yang mati sedangkan di atas pundaknya
tiada bai’at, maka ia mati dalam keadaan mati jahiliyah”.
Sedangkan
Khalifah itu mesti seorang sahaja, ini didasarkan kepada hadith yang
diriwayatkan dari Abi Said Al Khudri dari Nabi saw yang bersabda:
“Apabila dibai’at dua orang
Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya”.
(H.R
Imam Muslim)
Hadith
ini dengan tegasnya mengharamkan kaum muslimin untuk memiliki Khalifah lebih
dari satu orang.
Hanya Khalifah Yang Berhak Melakukan
Tabanni (Menerima Pakai) Terhadap Hukum-Hukum Syara’.
Prinsip
yang keempat adalah, bahawa hanya Khalifah sahaja yang berhak melakukan “Tabanni” (menerima pakai) terhadap
hukum-hukum syara’. Perinsip ini ditegaskan berdasarkan dalil dari ijma’
sahabah. Ijma’ sahabah telah menetapkan, bahawa hanya Khalifah yang berhak
untuk menerima pakai hukum-hukum syara’. Berdasarkan ijma’ ini diambil kaedah
ushul fiqih yang sangat popular.
“Perintah imam (Khalifah)
menghapuskan perselisihan (di kalangan fuqaha)”.
“Perintah imam (Khalifah) berlaku,
baik secara lahir mahupun batin”.
“Bagi seorang Sulthan (Khalifah
diperbolehkan untuk mengambil keputusan hukum sesuai dengan masalah yang
terjadi”.
STRUKTUR DAULAH ISLAM
Daulah
Islam berdiri di atas lapan struktur iaitu:
1.
Khalifah (ketua negara).
2.
Mu’awin Tafwidh.
3.
Mu’awin Tanfidz.
4.
Amirul Jihad.
5.
Wali.
6.
Qadhi.
7.
Mashalih Daulah.
8.
Majlis Umat.
Dalil
struktur di atas adalah af’al (perbuatan)
Rasulullah saw. Ini adalah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh baginda
dalam membangun dan membina sturktur negara dengan bentuk dan model seperti di
atas semasa berdirinya Daulah Islam di Madinah.
Di
antara fokus yang perlu dilihat dan diperhatikan di dalam membahas struktur
Daulah Islam seperti yang dinyatakan di atas ialah: Nabi Muhammad saw selain
sebagai seorang Rasul yang membawa
risalah Islam ke seluruh alam ini, juga adalah merupakan seorang ketua negara
yang berkuasa dan memerintah dengan melaksanakan dan menerapkan seluruh
hukum-hukum Allah swt yang diturunkan kepada beliau. Allah swt berfirman:
“Maka putuskanlah
perkara atau urusan mereka menurut apa yang Allah swt turunkan dan janganlah
kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah
datang kepadamu”.(TMQ Al Maa-idah: 48)
Dalil
tentang keberadaan para Mu’awin (pembantu Khalifah samaada dibidang
pemerintahan dan pentadbiran iaitu Mu’awin Tafwidh ataupun Mu’awin Tanfidz)
adalah jelas dari tindakan Rasulullah saw yang telah memilih Abu Bakar r.a dan
Umar bin Khatab r.a sebagai Mu’awin beliau.
Imam Al-Hakim dan At Tirmidzi telah meriwayatkan dari Abi Sa’id Al
Khudri yang mengatakan, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Dua wazir
(pembantu)-ku (yang aku pilih) dari penduduk bumi ini adalah Abu Bakar dan
Umar”.
Perlu
diketahui bahawa Mu’awin adalah orang yang diberi kuasa untuk membantu Khalifah
di dalam melaksanakan semua aktiviti secara umum, bahkan tidak dibenarkan untuk
mengkhususkannya dalam bidang tertentu sahaja.
Dalil
tentang wali adalah dilihat dari tindakan Rasulullah saw yang telah mengangkat
para wali di wilayah-wilayah tertentu. Rasulullah saw pernah mengangkat Utab
bin Usaid untuk menjadi wali di Mekah setelah pembukaan Kota Mekah dan setelah
Badzan bin Sasan memeluk Islam, beliau mengangkatnya untuk menjadi wali di
Yaman, begitu juga di wilayah-wilayah lain yang berada di bawah kekuasaan
Islam.
Dalil
tentang qadhi adalah di rujuk dengan perbuatan Rasulullah saw yang telah
melantik para qadhi untuk memberikan keputusan (terhadap sengketa yang terjadi)
ditengah-tengah masyarakat. Rasulullah saw pernah mengangkat Ali bin Abi Thalib
untuk menjadi qadhi di Yaman, Mu’ads bin Jabal dan Abu Musa sebagai qadhi dan
wali sekaligus di Yaman. Imam At Tabrani telah mengeluarkan satu hadith dari
Masruq yang menyatakan:
“Orang-orang yang
memegang jawatan qadhi pada zaman Rasulullah saw ada enam: Umar, Ali, Abdullah
bin Mas’ud, Ubai bin Ka’abm, Zaid bin Tsabit dan Abu Musa Al Asy’ari”.
Dalil
tentang jabatan untuk mengurus Mashalih daulah (kepentingan-kepentingan negara)
adalah dilihat kepada tindakan Rasulullah saw yang pernah mengangkat para
penulis untuk mengurus kepentingan tersebut. Rasulullah saw pernah mengangkat
Mu’aiqih bin Abi Fatimah sebagai penulis ghanimah (harta hasil rampasan
perang). Huzhaifah bin Al Yaman dilantik menjadi penulis hasil penduduk Hijaz
bahkan, beliau juga pernah mengangkat selain kedua orang tersebut untuk
mencatat kepentingan-kepentingan yang lain dan masih banyak lagi yang lainnya.
Dalam
masalah kuasa Amirul Jihad (Panglima Perang), Rasulullah saw, sendiri secara
langsung pernah menjadi panglima yang memimpin dan mengurusi urusan pasukan
perang. Baginda juga pernah mengangkat panglima perang dalam beberapa
peperangan untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai ketua pasukan perang.
Rasulullah saw pernah mengirim Abdullah bin Jahsy untuk pergi bersama sekelompok
kaum muslimin mencari maklumat tentang orang-orang Quraisy lalu disampaikan
kepada baginda. Baginda juga pernah mengutus Abu Salamah bin Al Asad sebagai
komander perang yang berjumlah 150 orang dan Rasulullah saw sendiri yang
menyerahkan panji perang kepadanya. Di mana utusan perang ini terdiri dari
mereka yang menjadi pahlawan kaum muslimin yang terbaik. Mereka diantaranya
ialah Abu Ubaidah Al Jarah, Saad bin Abi Waqqas dan Usaid bin Hudhair.
Adapun
dalil tentang Majlis Umat yang fungsinya adalah syura (bermusyawarah) dan “Muhasabah lil hakim” (menegur tindakan
penguasa) sebenarnya dalam hal ini Rasulullah saw tidak memiliki lembaga khusus
yang tetap, tetapi baginda meminta pendapat kaum muslimin ketika beliau
memerlukannya. Beliau pernah mengumpulkan mereka pada saat perang Uhud lalu
meminta pendapat mereka. Baginda juga mengumpulkan mereka ketika ada kes “haditsu ifki” (berita bohong tentang
tindakan “serong” Aisyah) lalu beliau
meminta pendapat mereka, bahkan baginda juga mengumpulkan mereka diluar keperluan
tersebut. Walaupun beliau mengumpulkan kaum muslimin dan meminta pendapat
mereka, namun beliau dalam musyawarahnya selalu mengajak orang-orang tertentu
untuk bermusyawarah. Mereka adalah pimpinan dan tokoh masyarakat iaitu Hamzah,
Abu Bakar, Ja’far, Umar, Ali, Ibnu Mas’ud, Salman, Amar, Hudzaifah, Abu Dzar,
Miqdad dan Bilal. Fungsi mereka saat itu adalah layaknya sebagai lembaga syura
Rasulullah saw kerana pengkhususan beliau yang selalu meminta pendapat mereka.
Khatimah
Dari
sini jelas kepada kita, bahawa Rasulullah saw telah membangunkan struktur yang
khas bagi sebuah negara, dengan bentuk dan aturan yang tertentu pula. Baginda
sering menjalankan pemerintahannya sesuai dengan bentuk dan model tersebut.
Setelah itu pimpinan Khalifah yang datang selepas kewafatan baginda terus
mengikuti apa yang telah baginda tempuhi. Para Khalifah tersebut memimpin
sebuah negara dan pemerintahan yang menyamai dengan struktur yang telah
dibangun oleh Rasulullah saw di mana semuanya itu dilihat dan didengarkan oleh
para sahabat.
International
Islamic and Development Studies