CARA MENERIMA BERITA

Ustaz Muhammad Al-Mu’iz Li Dinillah

""Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum, tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [al-Hujurat:6]


Sebab Nuzul

Imam Ahmad mengatakan: Kami diberitahu oleh Muhammad bin Sabiq yang mengatakan: Kami diberitahu oleh Isa bin Dinar yang mengatakan: Saya diberitahu oleh ayah saya, bahawa beliau mendengar Al-Haris bin Abi Dharar Al-Khaza’i ra. yang mengatakan: "Saya mendatangi Rasulullah saw. dan beliau mengajak saya untuk memeluk Islam, maka saya masuk dan berikrar untuk Islam. Baginda meminta saya untuk membayar zakat, maka saya melaksanakannya. Saya sampaikan kepada baginda: Wahai Rasulullah, saya akan kembali kepada mereka, dan saya akan mengajak mereka agar memeluk Islam dan menunaikan zakat. Sesiapa sahaja yang memenuhi ajakan saya, zakatnya akan saya kumpulkan. Dan kirimlah utusan kepada saya, wahai Rasulullah pada masa ini dan ini, juga agar dia dapat membawa zakat yang saya kumpulkan untuk diserahkan kepadamu." Apabila Al-Haris mengumpulkan zakat daripada orang yang bersedia memeluk Islam, lalu tiba masa yang dikehendaki oleh Rasul saw. agar beliau mengirimkan utusan kepadanya, baginda saw menahannya dan tidak mengirimkan utusan itu. Al-Haris mengira bahawa telah terjadi sesuatu kemurkaan dari Allah dan Rasul-Nya. Beliau memanggil kaumnya, untuk menjelaskan kepada mereka: "Bahawa Rasul saw. telah menetapkan masa untukku untuk mengirimkan utusannya, agar dapat mengumpulkan zakat yang ada pada kami, sedangkan Rasul saw. tidak pernah ingkar janji. Saya tidak mempunyai pandangan lain, mengenai penahan baginda mengirim utusannya, kecuali kerana kemurkaan Allah, maka mari pergi bersama kami untuk menemui Rasulullah saw." Rasulullah kemudian mengutus Al-Walid bin Uqbah kepada Al-Haris untuk mengumpulkan zakat yang telah mereka kumpulkan. Apabila Al-Walid berangkat sampai di pertengahan jalan, beliau berpatah balik kerana takut. Kemudian kembali menemui baginda saw. dan mengatakan: "Wahai Rasulullah, Al-Haris telah menolak untuk memberikan zakat kepada saya, bahkan beliau hendak membunuh saya." Baginda saw. kemudian murka, lalu mengirim utusan kepada Al-Haris ra. Al-Haris pun menghadap bersama teman-temannya, sehingga bertemu dengan utusan tersebut di luar Madinah. Mereka bertemu dengan Al-Haris, mereka mengatakan: "Ini Al-Haris." Al-Haris bertanya kepada mereka: "Kalian mau diutus kemana?" Mereka menjawab: "Kepada kamu." Al-Haris bertanya kembali: "Untuk apa?" Mereka mengatakan: "Rasulullah saw. telah mengutus Al-Walid kepadamu, baginda mengira bahawa kamu tidak mahu memberikan zakat kepadanya, bahkan bermaksud membunuhnya." Al-Haris menjelaskan: "Tidak. Demi Zat yang mengutus Muhammad saw. dengan membawa kebenaran, saya tidak pernah bertemu dengannya (Al-Walid) sama sekali. Beliau juga tidak pernah mendatangi saya." Apabila Al-Haris datang kepada Nabi saw. beliau bertanya: "Engkau menolak memberikan zakat dan hendak membunuh utusan saya?" Al-Haris menjelaskan: "Tidak. Demi Zat yang mengutusmu dengan membawa kebenaran, saya tidak pernah melihatnya, beliau juga tidak pernah mendatangi saya, dan kami semua tidak bermaksud menghadap kecuali ketika utusan Rasulullah saw. tidak dikirim, kerana saya khawatir itu menimbulkan kemurkaan dari Allah dan Rasul-Nya." Beliau mengatakan: "Pada saat itulah surat Al-Hujurat ini diturunkan." (Tafsir Al-Qur’an Al-Adzim, Ibnu Kasir, IV/252)

Makna Lafadz

1. Ya Ayyuha: Adalah harfu an-nida’ (kata yang dipergunakan untuk memanggil), yang maksudnya: "wahai". Kata tersebut terdiri dari dua bahagian: Ya dan Ayyuha, yang masing-masingnya berupa harfu an-nida’. Sebenarnya dalam kaedah bahasa Arab, dalam konteks Ya Ayyuha Al-Ladziina Aamanu boleh digunakan Ayyuha Al-Ladziina Aamanu saja. Namun, Al-Qur’an tidak pernah menggunakannya.

2. Al-Ladziina: Adalah isim al-maushul (kata yang dipergunakan untuk menyambung). Biasanya kata tersebut dipergunakan untuk menyambung antara kata isim ma’rifat (kata benda yang telah spesifik, dalam bahasa Inggeris biasanya dipakai The) dengan kata kerja (kalimat fi’il). Biasanya diertikan dengan "yang". Dan ini berbentuk jama’ (banyak), sebab yang disambung adalah kata kerja yang berbentuk jama’ iaitu Aamanu (orang-orang yang beriman).

3. Aamanu: Adalah fi’il madhi (kata kerja yang bermakna lampau, atau dalam bahasa Inggeris disebut past tense). Ertinya adalah "orang-orang (banyak) yang telah beriman".

4. In Jaakum: Adalah lafaz yang terdiri dari tiga kata: (1) In yang merupakan harfu syartin (kata yang dipergunakan untuk syarat), yang ertinya: "Jika"; (2) Jaa yang merupakan fi’il madhi, yang ertinya: "telah datang"; (3) Kum yang merupakan isim dhamir jama’ mudzakar muhatab (kata ganti orang banyak ke-2 lelaki), yang ertinya: "kalian". Meskipun berbentuk lelaki, namun bukan hanya khusus untuk lelaki, sehinggalah wanita termasuk di dalam makna lafadz ini. Erti keseluruhannya: "Jika kalian (lelaki dan wanita) didatangi oleh…"

5. Faasiqun: Adalah kalimat isim (kata benda) yang berbentuk mudzakar (lelaki), mufrad (tunggal) dan nakirah (tidak spesifik, atau umum). Ertinya adalah "orang fasik". Meskipun ini berbentuk lelaki, namun bukan berarti hanya khusus untuk "orang fasik lelaki" yang wanita tidak. Demikian juga dengan bentuknya yang tunggal, bukan bererti hanya menjelaskan satu orang sahaja. Sebab, bentuk lafaznya adalah nakirah (umum dan tidak spesifik). Oleh kerana itu, ertinya meliputi orang yang sebelumnya tidak fasik, lalu menjadi fasik, seperti Al-Walid dalam Sebab Nuzul di atas, atukah sebelumnya telah dikenal kefasikannya. Sebab, fasiq di sini merupakan sifat.

6. Bi Naba’in: Adalah lafaz yang terdiri dari dua kata, iaitu: (1) Bi yang merupakan harfu jarrin, juga menjadi ideom kata "Jaa" sebelumnya, yang ertinya: "datang dengan membawa"; Naba’in yang merupakan kalimat isim yang berbentuk mufrad dan nakirah, yang ertinya adalah semua jenis berita, sama ada berkenaan dengan politik, ekonomi, sosial, pendidikan atau apa sahaja. Sedangkan bentuk mufrad yang ertinya "satu berita" boleh diambil mafhum muwafaqat-nya, iaitu "jika satu berita sahaja mesti dicek, lebih-lebih apabila beritanya lebih banyak lagi."

7. Fa Tabayyanu: Adalah lafaz yang terdiri dari dua kata, iaitu: (1) Fa yang merupakan harfu al-jawab dari harfu syartin sebelumnya, yang ertinya: "maka"; (2) Tabayyanuu yang merupakan fi’il amar (kata perintah) yang berbentuk jama’, yang ertinya: "periksalah, telitilah."

8. An Tushiibuu: Adalah lafaz yang terdiri dari dua kata: (1) An yang merupakan harfu nashbin yang dalam konteks ini boleh diertikan: "sehinggalah"; (2) Tushiibu yang merupakan fi’il mudhari’ yang berbentuk jama’ mudzakar mukhatab (untuk orang lelaki ke-2 banyak), yang ertinya: "kalian semua boleh menjatuhkan (keputusan).."

9. Qauman: Adalah isim mufrad nakirah yang menjadi objektif daripada Tushiibu, yang ertinya adalah: "kepada suatu kaum." Kerana bentuknya nakirah, maka kaum yang dimaksud di sini adalah semua kaum, samada orang Kristian, Islam, Hindu, Konghuchu, Melayu, Cina, India, Arab, Indonesia, Malaysia ataupun yang lain. Dimana ini menunjukkan keadilan hukum Islam, agar tidak menjatuhkan keputusan kepada kaum tersebut dengan zalim (kebodohan).

10. Bi Jahaalatin: Adalah lafaz yang terdiri daripada dua kata: (1) Bi yang merupakan harfu jarrin, juga menjadi keterangan daripada kata "An Tushiibu" sebelumnya, yang ertinya: "dengan atau berasaskan.."; Jahalatin yang merupakan kalimat isim yang berbentuk mufrad dan nakirah, yang ertinya adalah semua jenis kebodohan secara mutlak, terutama berkenaan dengan maklumat yang salah, tidak cukup atau sebab yang lain. Ini juga menjadi illat syar’i mengenai perintah memeriksa dan meneliti maklumat, iaitu supaya tidak menyesal di belakang hari kerana menjatuhkan keputusan yang salah kepada orang, kerana tidak tahu. Jadi, illat syar’i-nya adalah: "merugikan orang, kerana salah mengambil sikap atau pendirian, sebab tidak tahu".

11. Fa Tushbihuu: Adalah lafaz yang terdiri dari dua kata, iaitu: (1) Fa yang merupakan harfu al-jawab dari harfu syartin sebelumnya, yang ertinya: "maka dengan begitu", kerana merupakan jawaban kedua; (2) Tushbihuu yang merupakan fi’il mudhari’ (kata kerja sekarang, atau dalam bahasa Inggeris disebut present tense) yang berbentuk jama’ mudzakar mukhatab, yang ertinya: "kalian menjadi.."

12. ‘Ala Maa Fa’altum: Adalah lafaz yang terdiri dari tiga kata, iaitu: (1) ‘Ala yang merupakan harfu jarrin yang berfungsi sebagai keterangan dari konteks sebelumnya: "Sehinggalah kalian menjatuhkan keputusan kepada suatu kaum berdasarkan kebodohan, maka dengan begitu kalian menjadi….(menyesal).", yang ertinya: "terhadap atau atas"; (2) Maa yang merupakan harf al-umum, yang ertinya: "apa sahaja"; (3) Fa’altum yang merupakan fi’il madhi jama’ mudzakar mukhatab, yang ertinya "engkau telah lakukan."

13. Nadimin: Adalah isim jama’ mudzakar yang merupakan khabar daripada Tushbihu, yang ertinya: "menyesal". Ini juga menjadi keterangan yang menerangkan alasan mengapa Allah memerintahkan kita untuk meneliti maklumat dari orang fasik: Pertama: Supaya tidak salah dalam membuat keputusan, sehingga merugikan diri sendiri ataupun orang lain, kerana tidak tahu (bi jahalatin) yang kerana itu kemudian menjadi kezaliman. Kedua: Supaya dengan begitu tidak timbul penyesalan di kemudian hari, terhadap sikap kita sebelumnya.

Makna Global

Secara global, ayat di atas boleh ditafsirkan: "Wahai orang-orang yang telah beriman, jika ada orang fasik, samada sebelumnya tidak kalian ketahui kefasikannya kemudian tampak kefasikannya ketika menyampaikan maklumat, ataukah sebelumnya telah kalian ketahui kefasikannya, samada lelaki ataupun wanita, satu atau banyak orang, secara perseorangan ataupun lembaga, samada kerajaan ataupun bukan kerajaan, membawa maklumat kepada kalian, samada satu, dua atau banyak maklumat, samada berkenaan dengan ekonomi, politik, sosial, pendidikan, budaya ataupun yang lain, maka telitilah, periksa dan analisislah. Supaya kalian tidak menjatuhkan keputusan atau mengambil sikap dan pendirian kepada suatu kaum, samada lelaki ataupun wanita, Islam atupun non-Islam, Melayu, India, Cina ataupun Arab, berasaskan ketidaktahuan sehingga zalim kepada kaum tersebut, sehinggalah dengan demikian kalian menyesali apa sahaja yang telah kalian lakukan."

Dan dari ayat di atas, juga boleh diambil mafhum mukhalafah berdasarkan jumlah syarthiyah (kalimat bersyarat) yang ada pada ayat tersebut, iaitu: "…..,jika ada orang yang tidak fasik (adil), samada sebelumnya tidak kalian ketahui keadilannya, kemudian tampak keadilannya ketika menyampaikan maklumat, ataukah sebelumnya telah kalian ketahui keadilannya, samada lelaki ataupun wanita, satu atau banyak orang, secara perseorangan ataupun lembaga, samada kerajaan ataupun bukan kerajaan, membawa maklumat kepada kalian, samada satu, dua atau banyak maklumat, samada berkenaan dengan ekonomi, politik, sosial, pendidikan, budaya ataupun yang lain, maka tidak perlu kalian teliti, periksa dan analisis."

Kesimpulan Hukum

Dari huraian di atas, boleh diambil kesimpulan berkenaan dengan kandungan surat Al-Hujurat: 6 di atas sebagai berikut:

1. Orang Islam yang beriman wajip mengambil sikap (tindakan) dengan asas ilmu, iaitu pengetahuan yang akan dipergunakan untuk mengambil sikap pendiriannya. Dan haram mengambil sikap dengan tanpa asas ilmu. Ini diperkuat dengan firman Allah SWT.:

"Dan janganlah engkau mengikuti dengan apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenai perkara itu. Sebab, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya pasti dimintai pertanggungjawaban atas sikapnya." (Q.s. Al-Isra’: 36)

2. Apabila menerima maklumat apapun, samada berkenaan dengan ekonomi, politik, sosial, pendidikan ataupun yang lain, wajib diteliti sumber maklumatnya. Jika yang menyampaikan maklumat tersebut adalah fasik, sama ada berbentuk perseorangan, atau lembaga, akhbar, televisyen, radio yang tidak diasas berdasarkan Islam dan kepentingan kaum muslimin, termasuk lelaki, wanita, ulama’ ataupun bukan ulama’, maka wajib diteliti kebenarannya. Sebaliknya, jika maklumat tersebut disampaikan oleh pembawa maklumat yang adil, iaitu Islam dan berasaskan Islam serta berjuang untuk Islam, maka boleh diterima langsung.

3. Orang yang adil berkenaan dengan sumber maklumat adalah: (1) Muslim, (2) Baligh, (3) Berakal, (4) Tidak fasik dan (5) Tidak diragukan kredibilitinya sebagai orang yang baik, iaitu: Orang yang senantiasa menjaga takwa, dengan menjauhi dosa besar, dosa kecil dan sebagian perbuatan mubah. Dosa besar adalah dosa yang disebutkan hukumannya di dunia, siksanya di akhirat dan laknat Nabi kepada pelakunya, sebagaimana dijelaskan oleh Ad-Dzahabi. Sedangkan dosa kecil, seperti ingkar janji, tidak dapat menghindari dusta. Sementara perkara mubah yang mesti dijauhi adalah perkara yang boleh mengurangi kehormatan, seperti makan di jalan, pasar, berteman dengan orang yang fasik dan sebagainya (Taisir Musthalah Al-Hadis, Dr. Mahmud At-Thahhan, 34; Al-Kabair, Ad-Dzahabi, 6; Al-Ihkam Fi Ushuli Al-Ahkam, Al-Amidi, I/263). Maknanya, selain daripada itu semuanya, maklumatnya wajib diteliti dan diperiksa dan diperiksa. Termasuk di antaranya adalah maklumat yang disampaikan oleh: (1) Ahli Bid’ah, yang perbuatan bid’ahnya menyebabkannya murtad daripada Islam, seperti Ahmadiyah, Anti Hadis atau yang lain. Ini merupakan pandangan Imam As-Syafi’i, Shufyan As-Sauri dan Jumhur Ahli Ilmu; (2) ) Ahli Bid’ah, yang perbuatan bid’ahnya tidak menyebabkannya murtad daripada Islam, yang mengajak kepada kelompoknya (Ushul Al-Hadits, Dr. ‘Ajaj Al-Khatib, 273; As-Syakhshiyah Al-Islamiyah, An-Nabhani, I/333-334).

4. Haram menjatuhkan keputusan, atau berpendirian dengan tanpa ilmu, sehingga menimbulkan kezaliman kepada orang lain. Termasuk tidak boleh menghakimi sesiapapun dengan maklumat yang salah, sehingga menyerang sesiapa sahaja dengan emosional. Ini dijelaskan oleh illat syar’iyah: "sehingga kamu menjatuhkan keputusan berdasarkan kebodohan, tanpa ilmu." Ini juga menjelaskan bahawa orang Islam tidak boleh mendukung atau mencela pihak-pihak manapun, kecuali dengan asas ilmu, iaitu hukum Islam. Artinya, siapa yang membela atau mencanggah orang lain wajib dilandasi dengan pertimbangan siapa yang melaksanakan Islam, dengan asas Islam, cara Islam dan semuanya untuk kepentingan Islam. Sehingga, orang Islam tidak jatuh dalam pengambilan sikap yang salah, karena kebodohannya, iaitu membela orang yang tidak melaksanakan Islam, atau mencela orang yang memperjuangkan Islam yang hakiki.

5. Yang juga terkait dengan illat di atas, adalah haram menjatuhkan hukuman kepada sesiapapun dengan informasi sepihak, atau maklumat dari satu pihak. Ini juga ditegaskan oleh Nabi saw.:

"Wahai Ali, jika di hadapan kamu ada dua pihak yang bersengketa, maka engkau jangan memberikan keputusan, sehinggalah engkau mendengarkan daripada pihak yang lain, sebagaimana engkau mendengarkan daripada pihak yang pertama." (H.r. At-Turmidzi dan Ahmad).

  1. Haram berbuat zalim kepada mana-mana kaum, samada lelaki, wanita, kecil, besar ataupun yang lain, serta wajib mengambil sikap adil kepada mereka. Adapun standard keadilan tersebut adalah Al-Haq, iaitu Islam. Adil bermakna lawan kezaliman, dan bukannya menempatkan sesuatu pada tempatnya secara sama dan seimbang. Sebab, yang paling memahami fitrah manusia adalah Al-Khaliq, sehingga Dia-lah yang berhak menentukan keadilan. Kerana, manusia kadang-kala melihat sesuatu yang baik, sedangkan hakikatnya buruk. Dan melihat sesuatu yang buruk, sedangkan hakikatnya baik. (Ad-Dimuqrathiyah Fi Dhau’i As-Syari’ah Al-Islamiyah, Dr. Mahmud Al-Khalidi, 139-144: 1986).

Wallahu A’lam Bi As-Shawab.


ISLAMIKA Oktober-November 1998