BERARAK DALAM KEKALAHAN

Pada 26hb Jun 1999, bersamaan 12 Rabiul Awal 1420H, kira-kira 12,000 umat Islam menyertai perarakan Maulidur Rasul dari padang letak kereta Stadium Hoki ke Stadium Putra, Bukit Jalil. Perarakan ini, yang diketuai oleh Datuk Paduka Dr. Abdul Hamid Othman diadakan sempena sambutan hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Selesai perarakan, umat Islam berkumpul untuk mendengar titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Stadium Putra sempena hari Maulidur Rasul ini yang bertemakan "Perpaduan Ummah Membawa Kejayaan". Sambutan yang sama diadakan di seluruh negara dan dalam setiap sambutan tersebut seruan-seruan menghayati kembali pengajaran Rasulullah dan perpaduan ummah terus dilaung-laungkan. Seri Paduka Baginda dalam titahnya mengatakan:

"Beta yakin tidak ada seorang pun dikalangan umat Islam yang sanggup melihat masa depan umat Islam dan negara mereka hidup dalam keadaan berpecah-belah, lemah dan terjajah."

Memang benar, tidak ada seorang pun Muslim yang mempunyai masyair (perasaan) Islam akan rela melihat umat Islam terus tertindas, terpecah, lemah dan terjajah. Namun begitu, meskipun seruan-seruan yang sama didengari setiap tahun di setiap sambutan yang bertemakan perpaduan ummah, umat Islam masih dalam keadaan yang tertekan, tertindas dan lemah. Ramai umat Islam merasakan bahawa kehadiran syiar-syiar Islam di negara-negara Islam, kebebasan untuk melakukan ibadah-ibadah khusus, adanya mahkamah-mahkamah syariah dan terbinanya masjid-masjid yang besar dan cantik sudah cukup membuktikan bahawa Islam ada…bahawa Islam mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat, bahawa Islam sudah dijalankan. Namun begitu, pada realitinya, umat Islam terus lemah dan terjajah, Islam sebenarnya tidak wujud dalam kehidupan dan Islam hanyalah sekadar perhiasan yang menghiasi kehidupan yang pada dasarnya kosong dari Islam.

Tidak perlu kita pergi terlalu jauh dalam mempersoalkan sejauh mana Islam mempengaruhi hidup kita sehari-hari. Marilah kita melihat sejauh mana Islam dijadikan sebagai tolok ukur dalam menjalankan sebarang aktiviti yang berbentuk ibadah. Sebelum kita berbincang mengenai perpaduan ummah dan autoriti Islam dalam ummah marilah kita kaji terlebih dahulu persoalan hukum memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW yang jarang sekali dipersoalkan oleh umat Islam dalam melaksanakannya.

Hukum Maulidur Rasul

Islam datang sebagai satu cara hidup yang dapat menyelesaikan semua permasalahan manusia. Islam datang dengan makna-makna umum (garis global) yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Islam melihat manusia dalam sifatnya sebagai manusia dan tidak terikat dengan waktu, tempat dan keadaan. Dari makna-makna umum inilah seseorang mujtahid akan menjelaskan dengan lebih terperinci hukum-hukum tertentu. Syariat Islam meliputi seluruh perbuatan manusia; oleh itu, wajib bagi setiap muslimin untuk mengaitkan seluruh perbuatannya dengan hukum syarak serta tidak melakukan sesuatu perbuatan kecuali jika ia sesuai dengan perintah dan larangan Allah SWT.

Merayakan Maulidur Rasul tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, begitu juga halnya para sahabat yang mulia, para tabi'in, para tabi'it tabi'in tidak pernah menyambut hari keputeraan junjungan besar SAW. Kegiatan berbentuk perayaan ini muncul di masa berikutnya, iaitu ketika waktu Fathimiyyin di Mesir yang sangat jauh masanya dari zaman Rasulullah. Dari sini, persoalan mengenai hukum menyambut perayaan ini mula timbul - apakah perbuatan ini termasuk bid'ah atau tasyabbuh (meniru orang kafir) ataupun ianya adalah merupakan satu ibadah?

Sabda Rasulullah SAW:-

"Barangsiapa yang membuat sesuatu tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut ditolak"(HR Bukhari- Muslim)

Ini memberikan makna bid'ah yakni sesuatu perbuatan yang dilakukan seseorang dengan niat beribadah dan bertaqarrub kepada Allah SWT tapi tanpa didasari oleh dalil syara'. Agar ibadah dikatakan benar, maka wajib disandarkan kepada sesuatu yang diperintahkan oleh Allah. Sekiranya seseorang muslim hanya berniat taat dan ingin bertaqarrub kepada Allah tetapi dengan cara yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah maka hal ini disebut bid'ah. Adapun ada segolongan ulama' yang mengatakan bahawa ada terdapat perbuatan yang disebut bid'ah hasanah maka perbuatan ini haruslah diletakkan dalam larangan hadis diatas yang bersifat komprehensif atau hadis-hadis yang serupa seperti sabda Rasulullah SAW:

"Setiap perbuatan bid'ah itu sesat" (HR Abu Daud, Tirmidzi, Ahmad dll)

( Imam As-Syaukani - Nailul Athar Jilid 2, Hal. 89)

Dalam hal ini, kita kembalikan pertanyaan tersebut kepada orang-orang yang merayakan Maulidur Rasul. Adakah mereka melakukannya dengan niat ibadah atau tidak?

Jika kita benar-benar mengamati sambutan Maulidur Rasul yang dirayakan sejak dahulu lagi maka kita akan sampai kepada kesimpulan bahawa peringatan ini dilakukan sebagai sikap taqlid dan menyerupai orang-orang Nasrani merayakan hari Krismas bagi Isa a.s. Kebiasaan ini membangkitkan keghairahan/ semangat kaum muslimin dimasa kemunduran sehingga mereka berkata:-

"Nabi Muhammad SAW lebih utama dari Isa a.s. Mengapa mereka boleh memuliakan Isa dan kita tidak boleh memuliakan Nabi Muhammad SAW?"

Dengan analogi yang salah dan tidak berdasarkan nas ini, mereka menganggap bahawa ianya adalah baik jika diadakan. Bagi mereka yang melakukan hal ini berdasarkan analogi tersebut maka mereka telah terjerumus kedalam perbuatan yang haram. Banyak hadis sahih yang melarang tasyabbuh bil kuffar ini. Diantaranya:-

"Tidak termasuk golongan kita orang yang menyerupai bangsa lain"

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka" (HR Ahmad dan Muslim)

Rasulullah begitu menekankan perlunya kita berbeza dari golongan kafir sehingga orang-orang Yahudi berkata:-

"Muhammad ini tidak meninggalkan sesuatu urusan kita melainkan melakukan hal-hal yang sebaliknya"

Diantara kebiasaan kaum muslimin yang dilakukan pada perayaan Maulid adalah keluar secara berombongan dan menghias jalan atau rumah atau pejabat. Apa yang dilakukan oleh kaum Nasrani pada hari Krismas maka kaum muslimin pun mengikutinya. Ini termasuk menyerupai kaum kafir dan adalah merupakan perbuatan yang haram.

Sekiranya umat Islam ingin memuliakan Rasulullah SAW maka hendaklah ia dilakukan dengan cara yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Secara ringkasnya, terdapat 3 cara untuk kita memuliakan Rasulullah SAW:

1) Memuliakan Nabi dengan mengikuti Sunnahnya ( Al-Imran : 31' Al-Ahzab : 21)

2) Memuliakan Rasul dengan cara berpegang teguh kepada ajaran-ajarannya.

 'Telah kutinggalkan kepada kalian dua pusaka yang bila kalian berpegang teguh kepadanya nescaya kalian tidak akan tersesat sesudahku selamanya iaitu kitabullah dan Sunnahku'

 3) Memuliakan Rasul dengan cara membaca selawat di setiap waktu, bukan hanya di hari Maulid (12 Rabiul Awal)

Umat Islam dizaman Rasulullah begitu berhati-hati dalam menjalankan sebarang perbuatan kerana bimbang akan melakukan bid'ah. Pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa para sahabat pernah bertanya :

"Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Maka nabi pun menjawab agar dibacakan selawat :-

(tolong isikan ARABICnya)

 

Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan keutamaan berselawat kepada Rasul setiap masa dan ini terpulanglah kepada pembaca untuk mencarinya. Yang jelas, perbuatan selawat sekalipun, haruslah mengikuti dalil-dalil syarak yang telah ditetapkan. Kini umat Islam terlalu berpegang kepada fatwa-fatwa yang kadangkalanya terpesong jauh dari hukum syarak dan umat Islam terlalu banyak bertaqlid membabi buta tanpa mendapat penjelasan dalil-dalilnya. Keadaan menjadi lebih parah apabila kita perhatikan realiti bahawa Islam kini wujud hanyalah sekadar memuaskan kehendak kerohanian umat tanpa kesedaran bahawa ia sebenarnya turun sebagai penyelesaian kepada seluruh permasalahan manusia.

Berbalik kepada persoalan perayaan Maulidur Rasul. Dari penjelasan sebelumnya, dapat kita simpulkan bahawa:-

  1. Apabila fatwa membenarkan perayaan ini didasarkan kepada dalil, maka tidak ada yang perlu dipermasalahkan lagi. Namun begitu sekiranya kebolehan merayakan Maulid ini dipengaruhi oleh kebiasaan orang-orang kafir maka ini adalah haram.
  2. Jika mereka melakukan atau memfatwakan boleh dengan alasan hal ini dianggap baik, maka tindakan mereka termasuk bid'ah dan telah melakukan dosa.
  3. Sedangkan sekiranya ia dilakukan bersandar kepada nas syara' dan berdasarkan ijtihad yang benar, maka perbuatannya termasuk umumnya ayat:

"berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya" (Al Ahzab :56)

Berarak dalam kekalahan

Dari penjelasan mengenai hukum mengadakan Maulidur Rasul jelas menampakkan bahawa umat Islam kini dalam semangat mereka untuk melakukan ibadah ramai yang tidak menyedari bahawa pada hakikatnya umat Islam sebenarnya semakin jauh dari Islam. Dalam menjalankan aktiviti sehari-hari, umat Islam jarang sekali berpaling kepada Islam dalam mencari penyelesaian dan kalau ada pun, lebih bersifat taqlid yang melulu tanpa pemerhatian yang mendalam keatas dalil-dalil syara'.

Pernah pada satu masa dahulu, umat Islam pernah bersatu di bawah payung kekhalifahan. Umat Islam berlindung dibawah panji-panji Islam dimana Islam merupakan satu-satunya tolok ukur dalam segala jenis permasalahan. Perpaduan umat pada waktu itu membawa erti yang komprehensif. Umat Islam bersatu bukan sahaja dari aspek Deen yang satu, malahan umat Islam bersatu dibawah satu kerajaan yang berteraskan hukum Allah 100%. Meskipun demikian, atas faktor-faktor dalaman dan luaran, terutamanya penjajahan kuasa kolonial barat, Negara Islam menjadi semakin lemah. Umat Islam telah menjadi begitu parah sekali sehinggakan mereka tidak lagi faham apa yang dimaksudkan dengan kebangkitan Islam. Tambahan pula pada masa ini, tsaqofah (budaya dan pemikiran) barat telah mula menyerang negeri-negeri Islam. Telah mula muncul kelompok-kelompok Muslim yang mula dipengaruhi oleh tsaqofah asing ini, dan menjadikan ia sebagai cara hidup mereka. Mereka ini disatukan oleh pemikiran-pemikiran asing serta perasaan nasionalisma dan patriotisma yang telah dihembuskan oleh orang-orang kafir. Akhirnya mereka ini berjuang menentang Khilafah di atas nama kemerdekaan bagi bangsa Arab. Hasilnya, kekuasaan kafir dan penjajah ke atas tanah umat Islam menjadi semakin besar. Umat Islam akhirnya larut di dalam kehidupan yang tidak Islami dan Islam terus jauh dari hati dan pemikiran mereka.

Para penjajah merancang berbagai usaha untuk terus menjauhkan umat Islam dari Islam dan menanamkan tsaqofah mereka dalam diri setiap muslimin. Para penjajah menjadikan keperibadian mereka sebagai satu-satunya tolok ukur tsaqofah kita umat Islam. Mereka menjadikan hadharah (budaya), mafahim (konsep-konsep), struktur negara mereka, sejarah dan lingkungan mereka sebagai tolok ukur untuk pemikiran kita. Mereka mengubah paradigma pemikiran kita yang sebelum ini berbentuk Islami kepada paradigma mereka yang kufur kepada perintah Allah. Bukan setakat itu sahaja, mereka malahan memutarbelitkan fakta dalam menanamkan keperibadian mereka agar kita merasakan ianya sebagai sesuatu yang mulia. Akhirnya kita terdidik dengan tsaqofah yang rosak. Kita telah belajar, secara alami, cara orang lain berfikir. Akhirnya keperibadian kita, sejarah dan cara hidup kita tidak lagi bersandar kepada mabda' (ideologi) kita, yakni Islam.

Masa terus berlalu sejak kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 secara rasmi dan hingga kini, umat Islam terus hanyut. Kita hanya mampu melaungkan kata-kata serta ungkapan 'perpaduan' tanpa dapat memahami ertikata ungkapan ini secara benar dan komprehensif. Ia hanya sekadar ungkapan yang tiada didalamnya masyair dan pemikiran Islam yang sebenarnya. Kita hanya bercakap mengenai pegangan kepada Sunnah dan pengajaran Nabi Muhammad sedangkan penghinaan terhadap Sunnah semakin berleluasa. Dalam kejahilan kita berfikir berlandaskan paradigma barat, kita terus berarak dan bergembira menyambut Maulidur Rasul. Pada hakikatnya, kita berarak dalam kekalahan, dalam kehinaan.

Sedarlah wahai umat muslimin. Marilah kita sama-sama berusaha menghidupkan semula kehidupan Islam secara syumul. Marilah kita sama-sama berusaha menegakkan semua Daulah Khilafah. Hanya dengan naungan Khilafah Islam sahaja perpaduan ummah dapat direalisasikan. Hanya dengan ini sahaja laungan perpaduan ummah memberi erti yang sebenarnya.

Wallahua'lam

International Islamic And Development Studies