Make your own free website on Tripod.com
Ukuran (Miqiyas) Tindakan

Ramai orang melalui kehidupan melakukan tindakan tanpa matlamat. Melakukan sesuatu tanpa ukuran-ukuran (miqiyas) tertentu. Akibatnya mereka melabelkan sesuatu yang mereka suka sebagai baik dan sesuatu yang mereka tidak suka sebagai buruk. Seterusnya, apa-apa yang menghasilkan faedah dilabelkan sebagai baik dan apa-apa yang mendatangkan kemudaratan diistilahkan sebagai buruk. Ini berlaku ke atas orang-orang Islam dan bukan Islam.

Orang-orang bukan Islam mentafsirkan baik dan buruk dalam istilah keseronokan dan penderitaan kerana sistem nilai dalam kehidupan dan tingkah lakunya tidak berasaskan Islam. Walaubagaimanapun, oleh kerana ramai orang Islam tidak sedar akan ukuran(miqiyas) yang betul untuk sebarang tindakan, mereka juga telah melakukan kesilapan yang sama. Atas sebab tersebut mereka telah melakukan tindakan yang buruk dengan memikirkannya sebagai baik dan meninggalkan perbuatan baik dengan memikirkannya sebagai buruk.

Sebagai contoh: Seorang perempuan Islam yang berjalan di Chow Kit dengan tidak menutup rambutnya dan memperlihatkan kejelitaannya dengan keyakinan bahawa dia telah melakukan perkara yang baik. Tetapi pada hakikat sebenar, perempuan ini telah melakukan dosa kerana memperlihatkan aurat dan kejelitaannya kepada orang yang bukan mahramnya.

Dia melakukan perkara tersebut kerana dia tidak mengambil ukuran (miqiyas) yang betul dalam menilai akan tindakannya itu. Jika tidak, dia tidak akan melakuan perbuatan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip yang telah dia isytiharkan (syahadahkan) dan prinsip yang telah dia yakini kebenarannya (Islam).

Oleh yang demikian, miqiyas perbuatan mesti ada pada setiap individu supaya masing-masing tahu menilai sesuatu tindakan sebelum melakukannya. Islam telah membuat miqiyas yang mana semua orang boleh membezakan antara yang baik dan buruk.

Miqiyas (ukuran) ini adalah undang-undang Syariah Allah. Oleh yang demikian, apa-apa yang dinilai oleh Syariah sebagai baik adalah baik dan apa-apa yang dinilai sebagai buruk adalah buruk.

Miqiyas ini adalah suatu Ketetapan. Oleh itu, untuk menilai perbuatan seseorang, kita mesti menghubungkannya kepada apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang.

Penilaian terhadap perbuatan yang baik (Khair), buruk (Sharr), terpuji (Hassan) dan tercela (Qabih) tidak boleh menggunakan sebab yang diberikan oleh manusia. Bahkan, manusia bergantung keseluruhannya dalam hal ini kepada wahyu.

"…boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [Al-Baqarah : 216]

Jika manusia membuat sesuatu tindakan atau perbuatan dan bergantung kepada keputusan dan alasannya yang tersendiri semata-mata, maka tindakannya itu adalah merupakan suatu kesalahan kerana , sesuatu perbuatan itu boleh menjadi baik dalam satu situasi dan buruk dalam situasi yang lain. Oleh itu, penilaian akan menjadi tidak seimbang dan baik-buruk menjadi hal peribadi disebalik kebenaran yang hakiki.

Manusia pada hakikatnya, tidak dapat menentukan sesuatu perbuatan itu adalah baik (Khair) atau buruk (Syarr), terpuji (Hassan) atau tercela (Qabih) tampa bantuan daripada wahyu.Untuk itu, wahai Umat Islam ! kembalilah kepada kehidupan yang berlandaskan Islam.Apabila Allah dan Rasul telah menetapkan sesuatu perbuatan itu sebagai baik (Khair) atau buruk (Syarr), terpuji (Hassan) atau tercela (Qabih) maka itulah setepat-tepat penilaian.Maka apabila kehidupan Islam ini kembali kepada kita (Ummah Islam), insyaalah kebangkitan Islam yang akan bermula dengan pendirian semula Daulah Islamiah (Khilafah) akan menjadi kenyataan.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri" [Ar Ra'd : 11]


                                                 International Islamic And Development Studies