KEKUATAN YANG TELAH LENYAP

"…..DAN KEKUATAN ITU HANYALAH BAGI ALLAH, BAGI RASULNYA DAN BAGI ORANG-ORANG MUKMIN.." (Al-Munafikun :8)

Sejenak kita renungkan ayat di atas, realiti umat Islam hari ini tidak sebagaimana yang di gambarkan dalam ayat tersebut. Tiap masa dan detik kita terbaca atau terdengar berita orang-orang Islam diperlecehkan. Perhatikan di Syria, bagaimana perempuan-perempuan Muslim dirogol, disiksa dan dibunuh oleh puak nasionalis di penjara Syria. Tidakkah kita terdengar rintihan mereka. Demikian juga halnya di Bosnia. Tidakkah kita terdengar berita bagaimana puak fanatik Kristian dengan bantuan tentera Israel menembak mati kebanyakannya wanita dan kanak-kanak Islam di perkhemahan Sabra Shatila pada Jumaat 17 September 1982. Yang terbaru pembunuhan beramai-ramai penyokong parti FIS yang juga melibatkan orang-orang Islam oleh pihak kerajaan di Algeria. Sampai bilakah keadaan umat Islam hari ini yang diperlecehkan oleh musuh Islam akan berakhir?

Adakah kita terlupa bagaimana mulia dan sejahteranya kehidupan umat Islam semasa zaman kekhilafahan. Wahai umat Islam bangunlah dari lena anda dan hayatilah kisah bagaimana peristiwa seorang wanita Islam yang meminta pertolongan kepada Khalifah Mu’tazim kerana dizalimi, maka seluruh bala tentera Islam telah dikerahkan untuk menyelamatkan muslimat tersebut. Atau kita tidak pernah terbaca bagaimana di Zaman Khalifah Abdul Hamid yang memberi amaran kepada kerajaan Pranchis dan Britain kerana membuat pertunjukan teater yang menghina Rasulullah lalu kedua-dua kerajaan itu menghentikan pertunjukan teater itu dengan serta merta kerana takut kepada kerajaan Islam pada masa itu .

Oleh itu bergeraklah untuk menuju kehidupan yang sejahtera dengan mewujudkan kembali Negara Islam yang telah lenyap yang merupakan tunjang kekuatan umat keseluruhannya.

Negara Islam

 Syariat Islam adalah peraturan hidup yang paling sesuai dan unggul untuk diterapkan kepada seluruh manusia bukan sahaja untuk kaum Muslimin tetapi juga untuk manusia lainnya. Sistem yang dibuat oleh manusia walaupun dianggap mempunyai nilai yang tinggi dan dibuat oleh akal yang genius, namun tetap akan menimbulkan pelbagai masalah seperti mana yang kita lihat hari ini. Kaum Muslimin pada masa ini berjumlah kira-kira 1 milion, namun demikian penindasan berlaku ke atas mereka tidak henti-henti berlaku misalnya di Bosnia, India dan beberapa negara lain lagi. Oleh itu jumlah yang banyak ini tidak dapat menjamin terhadap keunggulan kehidupan manusia. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah saw. dalam sabdanya :

"Hampir datang satu masa di mana-mana bangsa-bangsa selain Islam bersatu padu dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak mengerumuni talam hidangan mereka.Maka salah seorang sahabat bertanya "adakah kerana kami pada masa itu sedikit?". Rasulullah saw. menjawab: "tidak bahkan kamu sangat banyak seperti buih di lautan. Ketika itu Allah telah mencabut rasa takut dari hati kamu dan Allah telah memasukkan di dalam hati kamu penyakit wahan. Sahabat bertanya "apakah penyakit wahan itu?". Rasulullah menjawab "cinta dunia takut mati". ( Riwayat Bukhari dan Muslim).

 Hadis di atas mengambarkan dengan tepat keadaan umat Islam hari ini. Sesungguhnya penyakit yang dideritai oleh kaum Muslimin pada hari ini ada dua macam iaitu cinta dunia dan takut mati.

 Prinsip-prinsip Pemerintahan Islam.

Persoalan Negara Islam adalah satu isu yang telah lama dilupai oleh umat Islam hari ini. Kebanyakan umat Islam hari ni tidak tahu bagaimanakah yang dikatakan sebuah Negara Islam itu. Yang lebih memarahkan lagi ada tokoh agama yang mengatakan dalam Islam tidak ada negara. Setengah-setengah pemimpin negara pula cuba mendakwa dan menonjolkan bahawa negara mereka adalah Negara Islam seperti Iran, Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain yang kebanyakannya diduduki oleh orang-orang muslim. Dakwaan-dakwaan seperti ini sering kita dengar sehingga kita keliru dan lupa maksud sebenar Negara Islam. Malah lebih parah lagi keadaan ini, kita semakin leka dengan slogan-slogan nasionalisme yang ditanamkan oleh musuh-musuh Islam.

Sebagai penjernihan keadaan ini kita seharusnya mengkaji apakah yang dikatakan Negara Islam itu. Difinisi yang jelas dan disetujui oleh para ulama ialah sepertimana yang dikatakan oleh Imam Abu Hanifah r.a. " Negara Islam itu sekurang-kurang mempunya dua ciri iaitu undang-undang yang dijalankan secara keseluruhannya berdasarkan hukum syara’ dan kedua kekuasaan negara di tangan umat Islam." Melihat kepada apa yang diutarakan oleh Iman Abu Hanifah ini jelas terbukti tidak ada satu pun negara di dunia pada saat ini yang mempunyai kedua-dua ciri ini. Oleh itu renung dan fikirlah secara dalam kenyataan hari ini.

Secara jelas lagi kita seharusnya cuba mengkaji prinsip-prinsip yng diterima pakai oleh pemerintahan Islam itu. Sistem pemerintahan Islam adalah berdasarkan kepada 4 prinsip, iaitu :-

 (a). Kedaulatan adalah tertakluk ditangan syara dan bukan di tangan ummah (rakyat).

" Maka demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan." (An Nisa :65)

 "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya, dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-kitab) dan Rasul (sunnahnya), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. (An Nisa :59).

 (b). Kekuasan adalah di atas tangan umah (rakyat).

" Kami telah membai’ah Rasulullah saw. Untuk taat setia mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan susah maupun mudah, baik dalam keadaan yang kami senangi atau pun tidak senangi" (Muslim)

Dari Jarir bin Abdillah yang berkata ;
" Aku membai’ah Rasulullah saw. Untuk mendengar dan mentaati (perintah)-nya, dan aku akan menasihati tiap muslim."  (Muslim)

 (c). Perlantikan seorang khalifah adalah kewajipan ke atas semua umat Islam.

Imam Muslim telah meriwayatkan dari Nafi yang berkata " Abdullah bin Umar berkata kepadaku " aku mendengar Rasulullah saw bersabda " sesiapa saja yang melepaskan tangan dari ketaatan, ia akan bertemu Allah di hari kiamat tanpa mempunyai hujjah, dan siapa sahaja yang mati sedangkan di atas pundaknya tiada bai’ah, maka ia mati dalam keadaan Jahiliyah".

 Diriwayatkan oleh Abi Said Al-khudri dari Nabi saw, bersabda " Apabila dibai’ah dua orang Khilafah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya ". (Muslim)

 (d). Khalifah mempunyai hak untuk menguatkuasakan (tabbani) undang-undang.

Ini diambil dari dalil ijma sahabat. Ijma sahabat telah menetapkan, bahawa hanya Khalifah yang berhak untuk mengadopsi hukum-hukum syara . Berdasarkan ijma ini diambil kaedah ushul fiqh yang populer iaitu ;

" Perintah imam (khalifah) menghilangkan perselisihan di kalangan fuqaha".

 "bagi seorang sulthan (khalifah) diperbolehkan untuk mengambil keputusan hukum sesuai dengan masalah yang terjadi).

 Inilah prinsip-prinsip yang diterapkan dalam sebuah Negara Islam yang sama sekali jauh berbeza dengan corak pemerintahan yang wujud di dunia hari ini seperti federalisme, sosialisme dan demokrasi berperlembagaan atau apa bentuk pemerintahan yang wujud pada hari ini.

Kejatuhan Negara Islam

Negara Islam atau dikenali sebagai Khalifah dihancurkan oleh Mustafa Kamal di Turki pada 3 Mac 1924.Peristiwa yang menyedihkan ini menyebabkan umat Islam telah kehilangan kepimpinan Islam dan mengakibatkan umat Islam dilanda pelbagai penderitaan dan sering dipermainkan oleh kuasa-kuasa barat seperti Amerika sehingga ke hari ini. Sejak kurun ke 16 lagi, negara-negara kafir telah membentuk pakatan untuk menyatukan usaha mereka untuk menghancurkan Negara Islam. Pada Julai 1924, menteri Luar Britain, Lord Curzon memaklumkan kepada Dewan Rakyat (House of Commons) " Turki ibu kota Negara Islam telah mati dan tidak akan bangkit lagi kerana kami telah menghancurkan perpaduan ini kekuatan moralnya iaitu khilafah dan Islam".

Negara-negara kafir mengakui kekuatan perpaduan umat Islm di bawah Khilafah. Untuk menghancurkan perpaduan ini, mereka memecahbelahkan umat Islam dengan mengapikan semangat nasionalisma dan perkauman. Mereka mewujudkan dan menyokong individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan yang melaungkan nesionalisma dan berusaha memusnahkan khilafah. Agen-agen seperti T.E. Lawrence telah dihantar untuk menyusup masuk dan menghasut umat Islam. Britain berjaya menggerakkan gebenor Mekah Hussein untuk membantunya. Lawrence menulis pada Januari 1916.

" ....aktiviti (Hussein) selaras dengan matlamat kami untuk memecahbelahkan Negara Islam, mengalahkan dan menghancurkan Khilafah Usmaniyah...jika diuruskan dengan baik mereka (umat Islam) akan berada dalam bentuk ‘mosaic’ politik iaitu suatu tisu yang terdiri daripada kerajaan-kerajaan kecil yang cemburu terhadap satu sama lain dan tidak mampu untuk bersatu-padu".

Walaubagaimana pun umat Islam tidak sepatutnya patah semangat, mereka mesti sentiasa berusaha untuk menegakkan kembali Negara Islam dan Allah swt juga telah memberi berita gembira :-

"wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menjadi pembantu Allah, Allah akan membantu kamu ".
( Muhammad :7)

"sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta itu, kemudian mereka akan menyesal dan mereka akan dikalahkan. Dan dalam neraka jahanam orang-orang kafir dikumpulkan" (al Anfal :36)

Untuk memastikan bahawa umat Islam tidak akan bangkit lagi, negara kafir telah menghasut supaya sekularisme (pemisahan Islam dari kehidupan seharian) dikuatkuasakan :-

"undang-undang khianat (di Turki) telah dilanjutkan melalui satu fasal (clause) yang menetapkan bahawa adalah satu perbuatan khianat kepada negara untuk membincangkan tentang isu Khilafah atau cuba untuk mencampur adukkkan agama dengan politik dan urusan pentadbiran" Kegagalan untuk mematuhi hukuman kufur ini akan dijatuhkan hukuman mati oleh tribunal Kemerdekaan.

Walau apa pun cubaan mereka untuk untuk melenyapkan Islam namun Allah SWT akan sentiasa melindunginya. Di merata dunia kebangkitan Islam semakin hebat hingga menggoncang musuh-musuh Islam. Islam adalah kebenaran (haq) dan segala kepalsuan yang terdapat di dunia ini akan tewas kepada kebenaran.

 Kewajipan Menegakkan Negara Islam

Ramai di kalangan umat Islam pada hari ini tidak sedar bahawa selain daripada kewajipan-kewajipan lain dalam Islam, mereka juga diwajibkan untuk menubuhkan Negara Islam. Kewajipan ini ditegaskan dalam al-quran, hadis dan ijma sahabat dan mereka seharusnya mengambil perkara ini dengan serius sebagaimana dengan kewajipan-kewajipan lain. Sikap acuh tak acuh yang terdapat di kalangan sesetengah umat Islam adalah mengecewakan kerana itu menunjukkan mereka tidak menghayati tuntutan Islam.

Kewajipan menegakkan Islam secara menyeluruh adalah jelas dibuktikan oleh daili-dalil yang sahih yang tidak boleh dipertikaiakan lagi. Walau bagaimanapun, perlaksanaan Islam secara menyeluruh tidak dapat dilakukan kecuali jika ada pemerintah yang memiliki kekuasaan untuk melaksanakannya. Oleh itu tanggungjawab diletakkan di atas bahu umat Islam ini untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh hanya boleh ditunaikan dengan wujudnya khalifah. Dalam konteks ini prinsip syariah mengatakan :

"Apa yang perlu dilakukan untuk menunaikan sesuatu kewajipan, maka ia dengan sendirinya menjadi wajib "

Oleh itu berdasarkan prinsip ini kewajipan menegakkan khalifah adalah wajib untuk memastikan kewajipan menegakkan Negara Islam tercapai.

 (i). Dalil Al-quran

" maka putuskankanlah hukum di antara kamu menurut apa yang diturunkan oleh Allah kepadamu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang sudah datang kepada mu"(Al-maidah :48)

 "dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara kamu menurut apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan waspadalah terhadap mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dari sebahagian yang telah diturunkan Allah kepadamu" (Al-maidah :49)

 "Wahai orang-orang beriman taatilah dan taatilah rasulNya dan mereka yang berkuasa di kalangan kamu ..."
(An Nisa : 59 )

 (ii). Dalil hadis Rasululah saw.

Rasulullah saw. Dengan jelas mewajibkan ditegakkan Negara Islam sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis berikut:

" Abdullah bin Omar meriwayatkan " aku dengar Rasulullah saw. Mengatakan " barangsiapa yang menarik tangannya dari memberi baiah (kesetiaan) kepada Allah akan menemuiNya pada hari kebangkitan tanpa sebarang bukti untuknya dan barangsiapa yang mati tanpa ada kesetiaan pada lehernya , maka ia mati dalam keadaan jahiliah". (Riwayat Muslim)

Hisham bin Urwa meriwayatkan dari Abi Salleh dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. Bersabda : "pemimpin-pemimpin akan menjaga urusanmu selepasku. Peminpin yang bertakwa akan memimpin kamu dengan ketakwaannya dan yang tidak bertakwa akan memimpin dengan ketidaktawaannya. Oleh itu dengarlah dan patuhi mereka dalam setiap perkara yang bersesuaian dengan kebenaran. Jika tindakan mereka benar, maka ia adalah suatu perkara yang baik bagi kamu dan jika mereka melakukan kesalahn maka ia akan dipertanggungjawabkan ke atas kamu dan ke atas mereka ". (Almawardi ).

 Abdullah ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. Bersabda : Jika sesiapa melihat dalam amirnya (ketua Negara Islam ) sesuatu yang tidak disukainya, biarlah ia bersabar. Sesiapa yang memisahkan dirinya dari Sultan walaupun dengan jarak sejengkal tangan kemudiannya mati, beliau akan mati dalam kematian jahiliah".
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

 Hadis-hadis di atas jelas memberi perkhabaran kepada kita kewajipan menegakkan atau mewujudkan Khalifah. Hadis-hadis ini turut mengandungi larangan ke atas umat Islam untuk memisahkan diri mereka dengan pemerintahan yang menguatkuasakan Islam dan seterusnya ia merupakan kewajipan ke atas umat Islam untuk mewujudkan kekuasaan iaitu pemerintahan berdasarkan kepada Islam. Di samping itu Rasululah saw. memerintahkan kepada umat Islam mematuhi para Khalifah dan memerangi mereka yang mempertikaikan kuasa khalifah yang seterusnya bermakna ia adalah suatu perintah untuk melantik seorang khalifah dan untuk melindungi khalifah itu dengan memerangi mereka yang mempertikaikannya. Oleh itu Islam telah melatakkan kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk menegakkan sistem khalifah. Ketiadaan khalifah merupakan satu dosa yang besar.

 Kesimpulan.

Renungkanlah keadaan hari ini, sesungguhnya kita telah kehilangan kekuatan akibat ketiadaan Negara Islam. Oleh itu sama-samalah kita berusaha dan menyusun langkah mengikut jejak Rasulullah dalam menegakkan semula kekuatan yang telah hilang ini. Sesungguhnya jawapan segala masalah umah hari ini akan terjawab dengan wujudnya Negara Islam. Semoga kita bergerak demi untuk mencari keredhaan Allah…amin..

Yakinlah dengan janji Allah dalam al-quran :-

" dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sesunguhnya akan menjadikan mereka berkuasa di muka buni, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang tetap kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. " (Annur :54)